OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Isnin, 26 April 2010

BN tawan semula Hulu Selangor



P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.










Kemenangan penuh bererti - PM

HULU SELANGOR 25 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil kawasan itu hari ini membawa erti yang amat besar kepada parti tersebut.

Perdana Menteri berkata, jika dibanding dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008, kejayaan kali ini menunjukkan berlaku perubahan sokongan kepada BN apabila parti itu memperoleh hampir 2,000 undi majoriti.

''Ini satu perubahan yang sangat besar ertinya, sebab kita bertanding di negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang. Dengan kemenangan ini, kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memenuhi amanat dan akan memandang serius serta mengambil berat mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Berikutan kejayaan itu, Najib berkata, BN bukan sahaja perlu memenuhi janji bahkan mesti memenuhi harapan dan jangkaan rakyat daripada semua aspek seperti pembangunan, kebajikan dan melayani kehendak pengundi kawasan ini.

Perdana Menteri menegaskan, kemenangan BN itu juga bererti pengundi-pengundi menolak cara parti pembangkang berpolitik.

''Maknanya jika menabur fitnah dan pembohongan, pengundi sudah tidak dapat menerimanya lagi kerana mereka sudah tahu untuk membuat penilaian apa yang benar dan apa yang batil," katanya.

Mengenai sokongan pengundi Cina, Najib berkata, BN tidak boleh membuat kesimpulan terlalu cepat sebaliknya akan menganalisa keputusan yang diperoleh.

''Kita kena mengkajinya secara mendalam. Walaupun kita akui banyak peti undi di kawasan masyarakat Cina, BN kalah namun berdasarkan kepada permulaan kempen hingga hari pengundian kita dapati ada peningkatan sokongan.

''Kalau dilihat bermula hari penamaan calon sehingga hari ini, kita dapati ada pertambahan undi tetapi ia belum secara menyeluruh," katanya.

Ditanya faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan BN, beliau berkata, ia terlalu awal untuk ditentukan namun secara jelas membabitkan faktor nasional dan tempatan.

''Dari signifikannya, kejayaan ini memberikan galakan dan satu permulaan yang baik kepada BN untuk meneruskan hala tuju dan agenda baru parti. Saya percaya dengan keputusan ini kita akan teruskan apa yang rakyat mahu," katanya.

Sambil menyifatkan pilihan raya kecil itu menyaksikan persaingan sengit kerana bertanding di negeri yang dikuasai pembangkang, Perdana Menteri berkata, beliau amat berpuas hati dan gembira dengan keputusan yang dicapai serta memberikan galakan untuk meneruskan pembaharuan.

''Saya percaya kalau kita dapat memenuhi janji dan menyelesaikan segala masalah rakyat, insya-Allah majoriti dalam pilihan raya umum akan datang bertambah. Apa yang penting ialah kelangsungan kawasan ini terus berada dalam BN," katanya.

Najib juga menjelaskan, Kamalanathan akan menyenaraikan segala yang dibuat dan memastikan ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan yang saya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN mengucapkan terima kasih kepada jentera BN diketuai Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh parti komponen sama ada di peringkat nasional negeri, bahagian dan cawangan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kemenangan tersebut.

''Dari segi calon kita, ia adalah calon yang baik kerana personalitinya dapat menawan hati pengundi dan saya yakin Kamalanathan mampu menjadi ahli Parlimen yang disenangi pengundi dan dapat membawa masalah serta isu di Hulu Selangor ke peringkat atasan utnuk diselesaikan," katanya.










Kamalanathan janji tunaikan tanggungjawab


P. Kamalanathan mengangkat tangan kegembiraan selepas beliau diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan, Kuala Kubu Bharu, semalam. - BERNAMA


HULU SELANGOR 25 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan berkata, tanggunggjawab yang diberikan oleh rakyat Hulu Selangor kepada beliau akan mencerminkan bagaimana parti itu berkhidmat kepada rakyat.

Sambil melahirkan perasaan terharu berikutan kejayaan memenangi pilihan raya Parlimen kawasan itu, Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin.

''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi saya atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi saya semua pengundi adalah sama.

''Kejayaan ini bukan faktor saya, tetapi faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua komponen BN," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini, malam ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Beliau mendapat 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Mengenai perolehan undi Cina, Kamalanathan yang berjanji akan berpindah ke Hulu Selangor secepat mungkin berkata, beliau akan bekerja keras bukan sahaja untuk mendapat undi kaum tersebut tetapi juga semua kaum.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu kerana mencalonkan beliau, Kamalanathan percaya undi kaum India sudah bertambah dan semakin pulih.














Zaid dakwa sistem pemilihan tidak bersih

HULU SELANGOR 25 April - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menerima kekalahannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Bekas menteri yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu mendakwa, BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.

Zaid yang tewas dengan majoriti 1,725 undi itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 200 penyokong pakatan PKR-DAP-Pas di Mini Stadium Kuala Kubu Bharu di sini malam ini yang turut dihadiri beberapa pemimpin pakatan antaranya penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

''Saya harap suatu hari nanti perjuangan pakatan rakyat akan diterima orang di sini," kata Zaid menegaskan perjuangan pakatan itu tidak tamat di Hulu Selangor.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, jentera pakatan pembangkang perlu lebih berdisiplin dan tidak boleh bersikap sambil lewa semasa menghadapi pilihan raya.

''Perjuangan ini memerlukan kekuatan fizikal dan rohani...perjuangan ini bukan untuk dilihat orang tapi melihat ke dalam diri sendiri," katanya.

Biarpun tewas kepada BN, Abdul Khalid berkata, beliau dan Zaid akan berusaha membawa perubahan di Hulu Selangor dan membantu penduduk terutama membabitkan masalah tanah.

''Hulu Selangor tidak ditinggalkan oleh kerajaan negeri Selangor. Hulu Selangor jadi asas perjuangan kita,'' katanya.

Kit Siang pula berkata, Anwar tidak hadir kerana telah berlepas untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa di Oslo, Norway.









Calon BN bagi PRK Parlimen Sibu diumum esok - KM

26/04/2010 12:28pm

KUCHING 26 April - Ketua Menteri, Tan Sri Abd. Taib Mahmud berkata, calon Barisan Nasional (BN) yang bakal mewakili parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, akan diumumkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, nama calon tersebut akan diumumkan di Kuching sekembalinya beliau daripada menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak






BN tidak beli undi di Hulu Selangor - Najib

26/04/2010 1:25pm

PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor semalam.

Perdana Menteri berkata perlaksanaan projek-projek yang diumumkan di Hulu Selangor baru-baru ini adalah bagi menangani pelbagai yang dihadapi penduduk tempatan yang sudah berlarutan sekian lama.

"Kami tidak beli undi, tapi kami selesaikan masalah orang ramai. Ia adalah masalah sebenar yang tidak ditangani sejak sekian lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.

"Bukannya BN ke sana sini dan beritahu ”tengok sini, kami beri yang itu, kami beri yang ini”, tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di sini.

Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga penasihat Landskap Malaysia, bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah yang merupakan pengerusi Landskap Malaysia.











TAHNIAH BARISAN NASIONAL & P. KAMALANATHAN!!!

Khamis, 22 April 2010

Ragam Datuk Seri Anwar Ibrahim Yang Sebenarnya.........

Pelakon Sensasi Veteran Yang Paling Popular Di Malaysia....(Antara Bukti Untuk BN Dan Cakap-Cakap Kosong PR! ).....Selepas menonton video ni, diharap warga Kenyalang akan terus menolak PR(Pakatan Rakyat) dari diberi peluang mendapat walau satu pun kerusi ADUN Sarawak pada pilihanraya yang akan datang ni!...Yang ada kat...

Lihat seterusnya..

Jumaat, 9 April 2010

Akhlak wakil takaful



Bakal pelanggan mesti diberi penerangan yang jelas tentang manfaat yang bakal diperolehi apabila membeli atau melanggan sesuatu produk.


AKAD perwakilan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai wakalah bukanlah suatu perkara yang asing dalam masyarakat. Tidak kira sama ada individu tersebut beragama Islam atau tidak, mereka tentunya pernah berurusan dengan pihak lain dengan menggunakan akad perwakilan ini.

Contoh yang paling dekat adalah proses pilihan raya di mana masyarakat diberi peluang mengundi bagi memilih wakil yang membawa suara serta hasrat mereka ke peringkat lebih tinggi dan membela nasib rakyat.

Masyarakat juga biasa menggunakan perkhidmatan pos bagi menghantar surat-surat mereka. Itu merupakan beberapa contoh akad perwakilan yang berlangsung, sama ada disedari atau tidak.

Dari sudut bahasa, wakalah bermaksud memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti.

Dari segi syarak, ia bermaksud 'satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup'.

Para fuqaha sepakat bahawa akad perwakilan adalah harus di sisi syarak.

Menurut Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, ijmak ulama menerima perwakilan sebagai sebuah akad yang diharuskan kerana ia sangat diperlukan oleh orang ramai.

Tentunya hampir kesemua urusan seharian akan tertangguh. Allah SWT mengajar manusia tentang keharusan melaksanakan kontrak wakalah ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:Utuslah (wakilkan) salah seorang daripada kamu membawa wang kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ), kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya untuk menghilangkan lapar kamu. (al-Kahfi: 19)

Bukan itu sahaja, sekiranya diamati hadis-hadis nabi, kita akan mendapati baginda SAW juga pernah mewakilkan sahabat-sahabat dalam melakukan sesuatu urusan bagi pihaknya. Antaranya, Rasulullah SAW sering mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan diberi upah. (al-Talkhis al-Habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Demikian juga dalam hadis yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat al-Bukhari, no 3642).

Dalam industri takaful, kebanyakan syarikat pengendali menggunakan akad perwakilan dalam menjalankan operasi mereka. Sekurang-kurangnya terdapat dua aplikasi akad perwakilan dalam operasi tersebut.

lPertama, hubungan antara peserta dan syarikat pengendali takaful. Dalam konteks ini, peserta menjadi pewakil iaitu pihak yang mewakilkan urusannya kepada pihak lain.Peserta mewakilkan kepada syarikat untuk mengendalikan carumannya. Syarikat yang menjadi wakil kepada peserta akan memasukkan sebahagian carumannya ke dalam sebuah tabung yang akan digunakan sebagai dana untuk membantu peserta-peserta takaful yang ditimpa musibah. Perlu difahami bahawa dana yang disumbangkan tersebut tidak menjadi hak milik syarikat. Ia masih hak milik peserta sehinggalah ia dibayar kepada penerima. Syarikat hanya bertanggungjawab untuk pengurusan tabung mengikut kepakaran yang ada dan mestilah selari dengan prinsip-prinsip syariah. Sebagai balasan, syarikat berhak mendapat upah daripada peserta mengikut perjanjian yang dimeterai bersama pada permulaan kontrak.

lKedua, dari sudut hubungan antara syarikat dan ejen takaful. Untuk mempromosikan produk-produk takaful kepada prospek, syarikat biasanya akan menggunakan khidmat ejen-ejen takaful.Ejen-ejen tersebut akan bergerak di lapangan masyarakat untuk memperkenalkan produk-produk syarikat yang diwakili. Sekiranya mereka berjaya memikat hati prospek menjadi peserta takaful, syarikat akan membayar komisen sebagai upah kepada mereka.

Daripada penjelasan ringkas di atas, kita dapat memahami bahawa syarikat dan ejen adalah merupakan wakil takaful.

Sebagai wakil, kedua-dua entiti ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar kerana telah diberi amanah dan dibayar upah oleh pihak pewakil masing-masing.

Dalam menjayakan misi mempromosi produk-produk perlindungan yang berasaskan Islam, syarikat dan ejen takaful perlu mempunyai kefahaman tentang konsep takaful itu sendiri.

Ini kerana segala gerak kerja dan usaha tanpa memahami hala tuju dan objektif pastinya tidak akan terarah dan mungkin akan terpesong.

Justeru, perlu difahami bahawa mereka adalah sebahagian dari pasukan yang akan menyumbang ke arah pelaksanaan sistem kewangan Islam secara syumul. Melakukan amar makruf nahi mungkar serta membantu individu mendapatkan perlindungan terhadap keluarga dan harta bendanya.

Justeru, dalam menggapai peranan yang sangat besar ini, mereka perlu memastikan setiap individu yang terlibat sebagai wakil takaful mempunyai akhlak dan etika. Ia sangat penting kerana syarikat dan ejen takaful adalah pembawa panji Islam dalam meninggikan sistem kewangan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Sekurang-kurangnya terdapat empat akhlak utama yang perlu diterapkan kepada wakil takaful.

Pertama, wakil takaful perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Syarikat pengendali takaful perlu mempunyai sifat benar dalam mengendalikan tabung peserta takaful.

Setiap transaksi dan upah yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Jika ada upah yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada peserta-peserta takaful sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Oleh sebab itu, anggota-anggota Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang dilantik perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah.

Mereka perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan.

Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada MPS supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka.

Ejen-ejen takaful yang dilantik oleh pihak syarikat juga perlu benar dalam melaksanakan tugasnya bertemu para peserta. Ketika mempromosikan produk, mereka perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut.

Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat prospek untuk mengambil produk berkenaan.

Sabda Nabi SAW: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Akhlak kedua yang perlu diterapkan oleh wakil takaful adalah amanah. Dalam hal ini, peserta telah melantik syarikat untuk memikul amanah bagi mewakili mereka dalam menguruskan caruman mereka.

Setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Begitu juga dengan ejen-ejen takaful. Mereka mesti melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh kerana mereka diberikan upah oleh pihak syarikat.

Jangan melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat. Ini sekali gus akan merosakkan imej sistem kewangan Islam itu sendiri sehingga kadang-kadang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Wakil takaful perlu menggunakan wadah tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.

Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah. Sekali gus boleh menyelamatkan manusia daripada elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir(perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu untuk menggunakan kaedah yang paling berhikmah. Justeru, wakil takaful perlu mempunyai akhlak yang keempat, iaitu fatanah(bijaksana).

Jangan terlalu tergesa-gesa dalam berhadapan dengan prospek sehingga menimbulkan suasana yang tidak harmoni. Gunakanlah metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam berdakwah. Tugas kita hanya menyampaikan, bukannya memberi hidayah.

Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT, yang akan diberi kepada mereka yang dikehendaki oleh-Nya sebagaimana firman-Nya dalam ayat 159 surah ali-'Imran.

Selasa, 6 April 2010

SEJARAH PARTI MELAYU.


sejarah pas

Mengikut satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).

Walaupun di sini terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31hb. Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang).

PAS atau Persatuan Islam Se-Malaya (nama asalnya) adalah satu-satunya pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan kepada Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka sesudah Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah pada tahun 1948.

Golongan reformasi ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, tetapi turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.

Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 mereka telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam. Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.

Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan ini telah berjaya mencetuskan Revolusi lntelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit-bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa kesatuan atau pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.

Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 - 1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi - iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu. PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh.

Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.

PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.

Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.

MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.

Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah menggarap sebahagian besar dari ground work bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif. Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi.

Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).

Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth dengan penitia penajanya terdiri daripada:

Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu - iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.

Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.

Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:

Persatuan guru-guru agama dari Perlis.
Persatuan ulama dari Kedah.
Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:

PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.

KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.

KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.

KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.

Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:

Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
Tuan haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Bendahari Agung
Ahli Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:

Tuan Haji Yahya Joned
Tuan Haji Uthman Talib
Tuan Haji Mohammad Nor
Tuan Haji Zabidi Ali
Tuan Haji Abdul Wahab
Tuan Haji Assaiya
Muhammad Mahzub
Tuan Haji Ahmad Nadur.
Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.

Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar (ramai yang berpendapat di sini bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau) tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.

Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.

Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).

Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti, namun parti terus hidup, malah lebih kental dan subur.


Melayu terbahagi tiga, UMNO, PAS dan PKR.
Undi Cina undi penentu.
Tak ikut kemahuan mereka, berkemungkinan kalah.





Ahad, 4 April 2010

Setahun di Aras 5



Najib Tun Razak ketika ditemu ramah oleh Zulkefli Salleh dan Mikhail Raj Abdullah di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya baru-baru ini. – BERNAMA


BERNAMA: Pertama-tamanya setinggi-tinggi tahniah di atas genap tempoh setahun Datuk Seri menjadi Perdana Menteri. Apakah perasaan Datuk Seri sehingga ke tahap ini?

NAJIB: Pertamanya saya merasa amat bersyukur bahawa saya telah dapat menjalankan amanah rakyat dalam tempoh selama setahun. Masa setahun ini berlalu terlalu cepat. Saya rasa macam seolah-olah semalam baru saja saya mulakan tugas.

Barangkali ini disebabkan bila kita dalam keadaan sangat sibuk sepanjang masa dan banyak program dan perkara- perkara yang telah diperkenalkan, dilaksanakan daripada segi dasar, pendekatan baru dan sebagainya, itulah menyebabkan masa berlalu begitu cepat sekali.

Tetapi saya bersyukur bahawa dalam tempoh masa setahun ini, kita telah dapat memperkenalkan banyak inisiatif baru yang nampaknya telah memberi hasil yang memuaskan dan mungkin sedikit sebanyak rakyat bertambah lebih yakin kepada kerajaan.

Setahun ada 365 hari sahaja tetapi nampaknya Datuk Seri sempat meletakkan asas dan menyusun strategi untuk menentukan hala tuju bagi mencapai wawasan dan matlamat kepimpinan. Tetapi adakah urusan meletakkan asas ini telah selesai pada peringkat ini atau mungkin ada lagi yang belum?

Saya fikir sudah memadai daripada segi menentukan dan melakarkan agenda utama kerajaan. Jadi empat tonggak yang saya sebutkan sebelum ini, yang mutakhir ini ialah Model Ekonomi Baru sudah lengkap, menjadi pelengkap kepada agenda utama kerajaan. Dan selepas ini, kita mesti tumpu kepada pelaksanaan supaya segala yang kita telah perkenalkan itu bukan sahaja dapat dilaksanakan tetapi meresap kesan dan penerimaannya kepada rakyat dan juga kepada pasaran.

Beberapa bulan selepas Datuk Seri mengambil alih teraju negara, Datuk Seri memperkenalkan Gagasan 1Malaysia, yang pada saya telah mula memperlihatkan kesan yang positif dari segi sudut perpaduan rakyat, memulihkan sokongan kepada kerajaan dan juga membina harapan rakyat terhadap masa depan yang lebih baik. Apakah 1Malaysia ini hanya sekadar slogan politik untuk menarik sokongan rakyat atau lebih daripada itu?

Gagasan 1Malaysia lebih daripada itu sebab, kalau kita tak ada prinsip yang menjadi asas, prinsip utama yang menjadi asas kepada sesuatu gagasan itu, maka kita boleh kata mungkin itu satu retorik politik atau pun slogan. Tetapi 1Malaysia ini ada penghuraiannya secara terperinci umpamanya saya sebut tentang bagaimana, pokoknya ialah perubahan daripada segi mindset kita di mana bermula dengan soal toleransi (tolerance). Maknanya kita bertoleransi, menerima pada peringkat minimum selepas itu kita terima dengan acceptance, makna cara kita menerima sesuatu itu sebagai satu yang baik.

Yang ketiga, yang paling puncak kepada segala-galanya ialah apabila kita dapat meraikan kepelbagaian itu sebagai satu aset kepada negara, sebagai satu kekuatan kepada negara, dan apatah lagi kalau kita boleh menterjemahkan kepelbagaian itu menjadi sesuatu keuntungan strategik untuk negara kita sama ada dalam konteks dalam negara atau hubungan kita dengan negara-negara lain.

Tetapi Datuk Seri, adakah slogan 1Malaysia cukup untuk menang balik sokongan rakyat yang merosot pada pilihan raya umum 2008?

Saya tidak berhenti setakat 1Malaysia. Saya mengupas apa maksud dan prinsip asas di sebalik 1Malaysia itu. Saya juga kata bahawa 1Malaysia, Rakyat Didahulukan. Jadi apa pun yang kita buat kita mesti meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan yang lain. Dan yang ketiga ialah untuk menentukan pencapaian, Pencapaian Diutamakan bererti bahawa saya tidak mahu melihat kepada program atau pun pada projek tetapi keberkesanan, keberhasilan. Hasil (outcome) itu lebih penting daripada output.

Datuk Seri, begitu baiknya sambutan terhadap 1Malaysia sehingga saya lihat pihak pembangkang sendiri seolah-olah seperti takut dengan daya penariknya. Ada pula orang mengatakan bahawa Datuk Seri mendapat ilham Gagasan 1Malaysia daripada sebuah negara yang tidak peramah (friendly) dengan kita iaitu Israel?

Itu satu fitnah sama sekali dan di Parlimen pun, tidak ada apa-apa bukti yang telah dapat didedahkan bahawa kononnya ini adalah satu idea yang datang daripada negara luar, negara Israel atau mana-mana negara. Mereka cuba untuk merosakkan atau mencemar gagasan ini sebab gagasan ini sangat diterima oleh rakyat, peratusannya begitu tinggi. Mereka tak berani serang Gagasan 1Malaysia, mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya sebagai ada ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali.

Jadi kalau begitu, boleh Datuk Seri beritahu sebenarnya dari mana mendapat ilham untuk membuat gagasan seperti ini?

Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat sesuatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan. Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan (sesi) percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan brainstorming, percambahan fikiran, timbullah idea Gagasan 1Malaysia ini.

Setakat sekarang macam manakah kesan, adakah ia berkesan atau Datuk Seri perlukan lagi banyak masa?

Daripada segi mengetahui apa dia 1Malaysia ini, boleh dikatakan peratusannya tinggi cuma mereka ingin lebih lagi mengetahui kefahamannya lebih mendalam. Ini tugas kita. Sesuatu yang baru tentu makan masa untuk diterangkan, untuk disampaikan supaya ia dapat diterima dan dihayati oleh rakyat.

Tetapi saya tengok simbol 1Malaysia umpamanya begitu disambut seperti mana yang saya pakai. Begitu popular sekali pun 1Malaysia. Lepas itu banyak juga badan-badan korporat yang telah menggunakan 1Malaysia ini sebagai simbol mereka. Mereka gunakan font 1Malaysia dalam logo korporat masing-masing. Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia pula.

Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa. Kejayaan sesuatu gagasan itu jangan menjadikan sesuatu yang merupakan kenyataan kepada kerajaan dan pemimpin sahaja tetapi apabila ia benar-benar meresap dan sampai turun ke peringkat akar umbi sebagai satu gerakan massa, saya fikir itulah tanda- tanda ia mendapat sambutan.

Apakah halangan kepada pencapaian penuh Gagasan 1Malaysia?

Mungkin orang tak faham atau pun masih ada lagi pemikiran yang dalam kelompok masing-masing, dalam silo masing-masing yang memikirkan bahawa kumpulan, kelompok atau kaum masing-masing itu sahaja yang penting tetapi tidak ada usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia. Dan kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam perkarangan masjid dan sebagainya.

Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia.

Kalau dipertandingkan 1Malaysia dengan Middle Malaysia. Siapa akan menang?

Saya percaya, tak ada banyak orang sebut Middle Malaysia agaknya, hampir-hampir dah lenyap sebenarnya, pembangkang pun tak sebut sangat Middle Malaysia. Jadi, jangan tanya pada sayalah mungkin kerana saya jadi pengasas kepada 1Malaysia. Tetapi kalau tanya kepada rakyat kita boleh dapat jawapan sebenarnya.

Di bawah 1Malaysia ada juga di bawahnya NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional), GTP (Pelan Transformasi Kerajaan), Model Ekonomi Baru. Tetapi dari segi pelaksanaannya kita lihat GTP mungkin pelaksanaannya berjalan lancar tetapi penghayatan di pihak rakyat agak kurang. Jadi hasrat Datuk Seri menjadi transformist, saya rasa rakyat kurang faham. Jadi apa langkah Datuk Seri untuk merakyatkan idea Datuk Seri ini?

Ini merupakan satu perjalanan yang mungkin panjang. Saya percaya kalau kita dapat memperlihatkan kesan-kesan yang positif yang boleh diukur oleh rakyat dan rakyat boleh merasai ada perubahan, misalnya bila kita hendak memerangi jenayah dan kita tengok kepada perangkaannya, kadar jenayah sudah menurun. Sebenarnya dalam bulan pertama tahun ini berbanding dengan tahun sebelum ini, kadar jenayah, yang dikatakan jenayah jalanan atau street crime sudah pun menurun kepada 13.7 peratus dan kita telah dapat menugaskan lebih ramai lagi anggota polis. Sebenarnya sasaran saya ialah supaya lebih 7,000 lagi tambahan anggota polis akan dikerah untuk menjalankan tugas-tugas rondaan.

Balai polis bergerak sudah mula kelihatan di merata tempat dan CCTV pun akan ditambah dan Rakan Cop, kita ada lebih 300,000 Rakan Cop dan juga anggota Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan sebagainya. Jadi bila kita himpunkan segala inisiatif ini dan dalam masa setahun ini, bila kejayaan kita akan diukur atau pun sebaliknya pada akhir tahun 2010, apabila kita dapat memperlihatkan kejayaan yang positif, saya percaya, pada masa itulah rakyat akan yakin, rakyat faham. Tetapi keyakinan rakyat itu bila kita tunjuk kejayaan kita, hasil kita, pada masa itu rakyat akan merasa begitu yakin dengan GTP.

Datuk Seri, itu dari segi jenayah. Dari segi sistem penyampaian kerajaan, ada kesan tak bagi rakyat luar bandar berurusan dengan jabatan kerajaan, ada tak peningkatan atau penambahbaikan perkhidmatan oleh jabatan-jabatan berkenaan?

Saya tekankan luar bandar dalam salah satu daripada NKRA kita ialah untuk meningkatkan prasarana luar bandar iaitu jalan, api, air dan kemudahan perumahan. Kalau kita dapat tunjuk bahawa sejak NKRA dilancarkan, menjelang tahun 2010 berapa banyak jalan telah dibuat? berapa banyak kampung yang telah mendapat bekalan api, air, rumah dan sebagainya dan perangkaan ini kita dedahkan. Dan orang kampung dapat tengok bahawa kalau dulu perkara-perkara ini begitu lama mereka menunggu, tapi akhir-akhir ini mereka dapat kemudahan-kemudahan seperti mana yang saya sebutkan tadi. Kalau ini dapat kita tunjuk kepada rakyat nanti, saya percaya bahawa keyakinan rakyat akan bertambah.

Tetapi yang saya takut Datuk Seri, sekarang ini pun kita telah bina jalan-jalan di kampung-kampung. Tetapi di kampung-kampung ini, Barisan Nasional kalah. Mereka anggap soal bina jalan dan bina itu adalah tanggungjawab kerajaan. Keprihatinan mereka adalah soal hidup... soal makan. Adakah terdapat peningkatan dalam hal ini?

Itu sebab saya kata bahawa satu aspek dari segi prasarana, dan ini ada juga kaitan dengan peningkatan dari segi kualiti hidup kita dan juga memudahkan kita dapat akses kepada pasaran. Umpamanya kampung kita dulu tidak ada jalan, sekarang ni ada jalan. Bererti bahawa segala hasil dari kampung kita lebih mudah kita pasarkan, orang luar pun lebih senang untuk membuat kunjungan dan lawatan ke kampung kita. Kita tidak rasa macam seolah-olah kita ni tersisih jauh daripada aliran perdana negara.

Itu satu aspek. Yang kedua kita juga sedang memperluaskan jaringan keselamatan sosial di bawah program e-kasih, 43,000 sudah pun didaftarkan dan mereka akan dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan dan kita ada program latihan nak wujudkan 2,000 lagi usahawan wanita. Itu di bawah program NKRA kita. Di bawah program transformasi ekonomi (economic transformation programme), kita pun ada usaha dan program untuk menambahkan pendapatan rakyat luar bandar.

Tadi Datuk Seri sebut ini adalah satu perjalanan. Tetapi jerayawara (roadshow) GTP hanya diadakan di tiga tempat. Macam mana nak yakinkan seluruh rakyat kalau diadakan di PJ, Sabah dan Sarawak sahaja, bagaimana dengan Kelantan, Johor?

Berperingkat-peringkat kita akan buat sebab para pegawai kita ini dalam keadaan terlalu sibuk sekarang. Bukan sahaja perlu kita buat roadshow tetapi kita buat makmal, makmal subsidi umpamanya. Ia makan masa yang lama. Kadang-kadang para pegawai mengadakan perbincangan dan percambahan fikiran sampai malam, sampai pagi. Kita kena bagi tempoh masa. Roadshow kita akan sampai kepada semua negeri.

Berkenaan dengan rasuah, rakyat rasa susah untuk basmikannya. Bagaimanakah kerajaan hendak menyelesaikan masalah ini?

Janji kita ialah supaya dari segi International Transparency Index, yang berhubung kait dengan beberapa aspek. Umpamanya apabila saya lancar pada hari semalam portal MyProcurement di Kementerian Kewangan, itu satu langkah ke arah ketelusan yang amat baik sekali sebab hampir semua projek kerajaan dibuat secara tender. Jadi ini dimuatkan ke dalam portal maka rakyat akan dapat mengetahui. Itu juga saya percaya membantu ke arah rating kita yang lebih baik lagi.

Lepas itu kita dalam proses untuk memperkenalkan Whistleblower (Act). Itu pun satu yang baik. Maknanya sesiapa yang memberi maklumat kepada kerajaan, mereka akan dilindungi oleh kerajaan malah mereka pun boleh dapat ganjaran sekiranya maklumat yang mereka sampaikan itu membawa kepada orang yang bersalah itu diadili dan dijatuhkan hukum.

Datuk Seri, Allahyarham Tun Abdul Razak, perdana menteri kita yang kedua, banyak melakukan tinjauan mesra (walkabout) berjalan-jalan turun padang tapi banyaknya ke kawasan pedalaman dan luar bandar. Datuk Seri pun mewarisi sifat Allahyarham tetapi walkabout Datuk Seri nampaknya kalau tidak silap saya banyak di bandar daripada di luar bandar. Mungkin pada masa depan Datuk Seri ada rancangan untuk lawat kampung saya?

(Ketawa) Ia sebenarnya sama banyak, tetapi sebab keadaan demografi negara kita sudah berubah. Tahun 60-an dan tahun 2010 ini, selepas lebih 40 tahun sudah berlaku banyak perubahan di mana peratusan yang tinggal di bandar lebih daripada di luar bandar. Satu. Yang kedua, saya lebih suka membuat lawatan secara spontan. Jadi lebih mudah buat dalam sekitar kawasan bandar.

Tetapi banyak juga kawasan luar bandar yang telah saya lawati. Umpamanya saya pergi ke Sarawak, rumah panjang saya pergi. Bandar kecil di Semunjan pun saya pergi. Kawasan macam Rascom pun saya pergi. Itu memang kawasan luar bandar. Lepas itu kawasan Felda yang saya pergi. Dan di Langkawi bila saya cuti Tahun Baru Cina, waktu cuti pun saya turun tengok perkampungan nelayan dan dapat menyelesaikan masalah mereka.

Mungkin pada peringkat awal saya mula di Brickfields, Petaling Street dan Pantai Dalam. Itu di peringkat permulaan. Dan saya bercadang untuk melawat kawasan luar bandar dan juga tempat-tempat yang memerlukan perhatian daripada saya.

Lepas Datuk Seri buat tinjauan mesra (walkabout), jemaah Menteri dan anggota Parlimen BN nampak macam tak buat walkabout.

Tidak. Mereka pun buat program masing-masing dan sekarang kita ada program Juara Rakyat dan sebagainya dan banyak lagi program yang kita akan tambah. Kalau mereka buat walkabout, mereka tidak dilapor dalam surat khabar sebab mereka ahli Parlimen biasa.

Tetapi bila Perdana Menteri turun, media akan ikut serta memberi pendedahan yang meluas. Kalau kita nak ukur, itu tidak berapa adil. Jangan ukur dari segi liputan dalam media, lihat dari segi aktiviti mereka yang sebenar.

Rakyat kadangkala mendakwa mereka banyak buat walkabout hanya sebelum pilihan raya.

(Ketawa) Tidak, tidak benar. Mereka sudah tahu tanggungjawab kita, kalau nak berjaya, nak menang pilihan raya, janganlah bila dekat pilihan raya baru buat sibuk. Rakyat hari ini dah cerdik, rakyat faham. Rakyat boleh menilai kita.

Bercakap mengenai Menteri dan Ahli Parlimen, report card (kad laporan) mereka sudah diterima ke belum?

Kita monitor (pantau) apa yang dilakukan oleh mereka. Saya janji untuk buat penilaian terhadap prestasi Menteri, itu dah selesai selepas enam bulan. Wakil-wakil rakyat ini, kita ada ibu pejabat yang akan pantau dan mereka tahu siapa wakil rakyat yang rajin turun padang, balik kawasan, menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya.

Ada yang fail (gagal) tak Datuk Seri?

Biasanya bila ada pilihan raya, ada yang tidak dicalon semula, ada yang dicalon semula. Yang tidak dicalon semula tu, maknanya fail lah (gagal).

Jadi keseluruhannya baguslah?

Keseluruhannya semakin baik saya lihat. Mungkin lepas pilihan raya 2008 tu, mereka tergamam sedikit sebab keputusan itu di luar dugaa. Jadi bila dalam keadaan itu, dalam masa setahun itu agak kurang aktiviti, tetapi sekarang ini saya nampak sudah ada peningkatan yang ketara.

Dua tiga hari lepas Datuk Seri seolah- olah macam berjanji pendapatan per kapita rakyat akan meningkat 15,000 dolar... semua orang seronok. Tetapi ada juga yang mengatakan macam janji ini terlalu muluk (indah) boleh capaikah, sedangkan di Sabah dan Sarawak, kemudahan asas belum ada.

Kita kena buat secara serentak. Ini Pendapatan purata (average income). Bila saya sebut average income, ada yang lebih tinggi daripada itu, ada yang lebih rendah daripada itu. Itu maksud average income. Takkan semua akan dapat 15,000. Jadi kita mesti faham. Mana-mana negara pun begitu juga. Ada yang miskin, ada yang kaya. Tetapi kita hendak yang miskin itu jangan terlalu miskin sampai begitu daif.

Datuk Seri, ada kritikan bahawa Kerajaan Pusat mengambil sumber Sabah dan Sarawak dan tidak pulang balik untuk pembangunan. Apa komen Datuk Seri?

Itu tidak benar. Banyak daripada peruntukan kita lulus untuk Sabah dan Sarawak. Dari segi Perlembagaan, misalnya kawasan minyak itu memang bukan hak negeri tetapi kita bagi balik dalam sumbangan kita kepada kerajaan negeri, lepas itu kita buat peruntukan tambahan di bawah prasarana luar bandar, kebanyakannya untuk Sabah dan Sarawak. Kita dah janji misalnya bekalan api dan air sampai ke 90 peratus daripada sekarang yang dalam 60-65 peratus, nak dilonjakkan kepada 90 peratus menjelang akhir tahun 2012. Ini satu target yang begitu besar sekali sebenarnya. Kita perlu menjayakan objektif ini melalui peruntukan tambahan.

Mengenai isu ekonomi, bolehkah Datuk Seri berikan contoh tentang kecekapan sistem penyampaian dalam menjadikan Malaysia satu tempat yang selesa untuk menjalankan perniagaan?

Pertamanya, kita telah berjaya mengubah ekonomi dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada suku keempat di mana kita berjaya mencapai 4.5 peratus pertumbuhan dalam jangka masa tiga bulan pada suku terakhir itu. Ini adalah kerana pakej rangsangan bukan sahaja berjalan lancar tetapi telah disampaikan ke akar umbi. Beratus dan beribu projek, kecil dan besar telah dilaksanakan. Ini, saya rasa adalah petunjuk yang jelas dan satu manifestasi kejayaan pentadbiran kerajaan termasuk penjawat awam yang telah bekerja keras untuk mengagihkan pakej rangsangan. Jadi, memandang ke hadapan, saya percaya dengan penekanan yang kita berikan, bahagian perkhidmatan awam akan menghasilkan keputusan yang baik.

Dengan reformasi pasaran modal, liberalisasi pasaran dan sebagainya, hanya tiga syarikat dari China yang disenaraikan di sini, mengapakah terdapat sambutan yang kurang memberangsangkan dan menyebabkan pelabur menjauhi pasaran. Serta, ada juga yang berkata garis panduan FIC mengenai pegangan saham Bumiputera telah terlalu lewat?

Kita tidak boleh menghakiminya berdasarkan tahun lepas kerana ia adalah tahun yang teruk. Maksud saya, seluruh dunia mengalaminya tahun lepas dan keadaan kita yang tidak sebegitu teruk terjejas adalah, pada pendapat saya, menunjukkan tahap keyakinan terhadap Malaysia dan bahawa tahun ini akan menjadi lebih baik. Kita harus membuat pasaran teruja dengan reformasi kita.

Tetapi, pada hari pelancaran MEB, pasaran telah ditutup bercampur-campur?

Pasaran selalu mengabaikan apa-apa pengumuman yang dibuat, tetapi mereka mahu melihat butir-butir spesifik, penanda aras, tempoh waktu dan peruntukan, insentif. Perkara-perkara inilah yang saya kata akan dibuat secara berperingkat kerana ia adalah pengumuman dan pelaksanaan berperingkat. MEB telah diumumkan pada 31 Mac dan kemudian, kita ada 10 Jun untuk Rancangan Malaysia ke-10. Butiran lanjut juga akan diketahui pada Ogos apabila EPU mengumumkan program transformasi Islam dan Rancangan Malaysia ke-10, dan kemudian pada Oktober apabila saya membentangkan bajet, akan terdapat peruntukan spesifik untuk aktiviti ekonomi utama yang kita mahu galakkan.

Terdapat beberapa perubahan fikiran dilihat dalam dasar Datuk Seri mengenai GST (cukai barangan dan perkhidmatan), dua harga petrol dan undang-undang mengenai kenderaan berusia lebih 15 tahun. Adakah kerajaan mengalah kepada tekanan politik?

Sebenarnya, tidak. GST memerlukan sedikit lagi masa untuk sokongan dan kepercayaan masyarakat. Ini adalah kerana pembangkang telah memutar belitkan fakta. Jadi, kita perlu waktu untuk menjelaskan kepada rakyat kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk rakyat pada jangka masa panjang. Kami mahu memastikan pelaksanaan yang lancar, jadi kami bukan mengambil keputusan untuk menghentikannya, tetapi untuk menangguhkannya sehingga projek itu mendapat lebih penerimaan umum.

Mengenai GST dan perkara lain, kita turut mengambil kira tindak balas orang ramai. Jika kita rasa sesuatu yang ingin dilaksanakan tidak mendapat sokongan penuh, kita bersedia untuk menimbang semula. Maksud saya, mungkin ada pihak berkata kerajaan mengubah fikiran tetapi itu menandakan kami sensitif kepada kemahuan dan keperluan rakyat. Saya selalu kata rakyat didahulukan, bukan? Jadi, rakyat didahulukan. Jika rakyat tidak bersedia untuk menerima sesuatu, kami akan menangguhkannya atau membatalkannya, tetapi ini tidak bermakna kita mengalah kepada tekanan. Ia adalah mengenai kerajaan kepunyaan masyarakat. Saya selalu menekankan perkara itu, ia adalah kerajaan kepunyaan masyarakat.

Datuk Seri juga menyebut tentang pengstrukturan semula subsidi, dua harga petrol. Adakah ini bermaksud kami akan menikmati subsidi itu buat jangka masa yang agak panjang?

Ya, kerajaan telah mengambil keputusan bahawa terdapat cara yang lebih sesuai kerana struktur dua harga adalah terlalu kompleks dan tidak berbaloi. Apabila kita menganalisis data, ia didapati tidak setimpal dengan apa yang harus kita lakukan berbanding apa yang akan kita dapat. Jadi, kerajaan akan tetap mengurangkan subsidi, cuma ia akan dilakukan secara berperingkat dan kerana kerajaan tidak mahu membebankan rakyat, ia harus dilaksanakan dengan teratur dan berhati-hati.

Tetapi ada yang berkata ia akan dilakukan selepas Pilihan Raya Umum?

(Ketawa) Tentunya akan ada yang sinis dan skeptikal tetapi ia harus dihadapi sebagai cabaran dan kita harus membuktikan yang mereka salah.

Sekarang adalah waktu yang sukar kerana mereka memenangi empat negeri. Dan dalam membincangkan Rakyat Didahulukan, adakah kerajaan BN bersedia untuk bekerja dengan kerajaan pembangkang bagi membawa pembangunan kepada orang ramai. Bolehkah Datuk Seri memberi contoh di mana kerajaan pusat dan negeri telah bekerjasama untuk pembangunan masyarakat?

Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan projek di negeri-negeri di mana Barisan Nasional mengalami kekalahan. Sebagai contoh, projek persekutuan seperti sekolah, klinik dan termasuk Klinik 1Malaysia yang telah kita bangunkan di negeri yang dimenangi pihak pembangkang. Apabila kita mendapat persetujuan bersama, kita tidak ada masalah melaksanakannya untuk masyarakat dan pada asasnya kami mahu berlaku adil. Maksudnya, peruntukan yang tinggi telah diberikan kepada negeri-negeri yang tidak dikuasai oleh Barisan Nasional.

Apakah pendapat Datuk Seri mengenai pelaburan terus asing (FDI). Ia jatuh mendadak tahun lepas, jadi apakah pilihan bagi Malaysia?

Tahun lepas adalah tahun yang amat teruk yang merupakan satu kejanggalan, jadi kita tidak boleh menggunakan tahun lepas sebagai satu asas untuk berkata kita tidak lagi berdaya saing untuk menarik FDI, tetapi kita harus tahu persekitaran ekonomi telah berubah. Akan terdapat lebih banyak ekonomi baru muncul yang menawarkan kos buruh yang lebih menarik dan rendah daripada kita, dan ada di antaranya merupakan pasaran yang besar.

Dunia sekarang berbeza daripada tahun 80-an dan 90-an. Pada tahun 80an, terdapat Perang Dingin dan banyak negara masih belum beralih kepada ekonomi pasaran dan sekarang, kita dapati Malaysia perlu bersaing dengan lebih banyak negara dan mereka akan mendapati China adalah pasaran yang besar dan lebih baik untuk pelaburan.


Najib Tun Razak disambut oleh belia MCA 1Malaysia semasa lawatan walkabout beliau di Kuala Kubu Bharu, Selangor, Sabtu lalu.


Tetapi saya yakin kita akan dapat menarik bahagian kita dalam FDI tahun ini dan tahun depan. Dan cabarannya ialah untuk kita menjadi lebih berdaya saing, lebih bertindak balas kepada keperluan pelabur asing dan pada masa yang sama tidak melupakan pelabur tempatan kerana model masa hadapan adalah keseimbangan antara FDI dan pelabur tempatan. Jadi, kita harus menghasilkan juara tempatan yang juga boleh menjadi juara serantau dan global kerana itu akan memberikan kekuatan kepada ekonomi. Maksud saya, berbanding dengan satu pelaburan dari satu syarikat antarabangsa, dan satu pelaburan oleh syarikat tempatan, dengan jumlah pelaburan yang sama, tentunya pelaburan oleh syarikat tempatan itu memberikan nilai yang lebih tinggi.

Liberalisasi perkhidmatan kewangan. Saya rasa bilangan bank yang datang ke negara ini tidak menggalakkan? Adakah Datuk Seri setuju dengan pendapat ini?

Tidak. Saya rasa ini hanyalah permulaan. Kita baru mengumumkan pada setengah tahun kedua tahun lepas dan telah pun memberikan kelulusan kepada bank terbesar dunia. Mereka akan memulakan operasi tidak lama lagi. Akan terdapat satu bank dari India, juga dari Timur Tengah dan lain-lain negara. Angka ini kian meningkat dan ini hanyalah satu permulaan. Kita akan melihat penubuhan bank itu tahun ini dan saya yakin mereka akan mula menjana ekonomi negara dengan mengambil bahagian dalam kemudahan kredit, memberi penerangan kepada bakal pelabur dan menggalakkan pembiayaan dagangan.

Adakah kita boleh menjadi hab perbankan Islam?

Kita adalah pendahulu, kita adalah negara nombor satu di dunia. Sebanyak 60 peratus daripada sukuk dunia dikeluarkan dari Malaysia. Kita mempunyai salah satu perbankan Islam terbaik dunia dan pusat latihan yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia. Kita juga sedang memproses dua bank Islam mega dengan modal berbayar AS$1 bilion setiap satu, dan Bank Negara akan mengumumkan rancangannya untuk menubuhkan pusat fizikal bagi perbankan Islam. Terdapat banyak perkara menarik akan diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimana dengan hab halal? Brazil, Argentina dan Australia kini dikatakan terkehadapan dalam industri halal. Bagaimana dengan Malaysia? Bolehkah Malaysia menjadi hab?

Semua orang boleh mengambil peluang daripada pasaran halal. Pertamanya, kita ada jenama halal, yang dikeluarkan oleh Jakim, dan jenama itu mempunyai integriti dan reputasi. Yang keduanya, kita cuba mempromosi hab halal Malaysia. Tetapi kita tetap ada perkaitan dengan negara lain. Sebagai contoh, jika kita mahu mengeksport makanan, kita adalah pengimport bersih, jadi kita masih perlu bergantung kepada sumber-sumber dari negara lain. Saya percaya industri halal Malaysia akan terus berkembang.

Perkara ini berkaitan apabila kita bercakap mengenai daya saing. Ia adalah mengenai pendidikan. Keputusan SPM baru sahaja diumumkan dan ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang merungut bahawa mereka tidak akan mendapat tempat untuk belajar dalam bidang yang mereka mahu. Bilakah Datuk Seri jangka kerajaan boleh membekalkan pengajian tinggi yang lebih baik dan percuma?

Tiada negara di dunia yang membekalkan pengajian tinggi secara percuma. Tetapi, pengajian tinggi di negara kita diberikan subsidi yang tinggi, dari segi kos operasi, hanya 10 peratus dibayar oleh yuran. Yang lain ditaja oleh kerajaan dan ini tidak termasuk perbelanjaan modal. Apabila kita bercakap tentang biasiswa, kita tidak boleh hanya berfikir tentang pelajar yang ke luar negara. Jika kita menghantar pelajar-pelajar terbaik kita ke luar negara, siapa yang akan memenuhi universiti kita di sini? Sesebuah universiti tidak boleh mendapat penarafan tinggi jika pelajar-pelajarnya tidak cemerlang. Kita hanya mampu menghantar beberapa pelajar ke universiti Ivy League, tetapi yang lain harus kekal di sini dan dihantar ke universiti awam dan swasta.

Kita ada universiti seperti Monash dan Nottingham di sini dan mereka boleh belajar menjadi doktor di sini dan kelulusan mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bolehkah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat untuk pelajar perubatan?

Kita sedang mencuba tetapi kita tidak boleh mengabaikan kualiti. Kita boleh melatih doktor tetapi kita perlukan masa untuk membina keupayaan membangunkan sekolah perubatan yang bagus, dan sekolah perubatan memakan belanja yang tinggi kerana kita harus membina hospital latihan atau sekurang-kurangnya sebuah hospital khas untuk doktor pelatih. Ini semua mengambil masa yang panjang. Tetapi dari segi bilangan doktor, bilangannya adalah tinggi buat Malaysia dan cabarannya juga adalah untuk membawa balik mereka yang berkelulusan. Kita melatih mereka, tetapi mereka memilih untuk bekerja di luar negara.

Datuk Seri, tadi menyebut tentang Rakyat Didahulukan. Kini terdapat insurans motor pihak ketiga. Terdapat banyak kritikan terhadap Bank Negara Malaysia. Mereka tidak menyebelahi rakyat, mereka menyebelahi industri. Ia mendatangkan keuntungan, kata mereka. Bolehkah rakyat mendapat komitmen daripada Datuk Seri bahawa Datuk Seri akan memberitahu Bank Negara untuk menyebelahi mereka yang berkepentingan, rakyat serta kumpulan pengguna?

Industri insurans kenderaan memerlukan reformasi penuh kerana ia perniagaan yang merugikan dari segi premium yang dikutip dan pembayaran. Ia adalah defisit yang serius. Apa yang terjadi ialah peserta menggunakan keuntungan daripada produk insurans yang lain untuk mengsubsidi insurans kenderaan. Tetapi, sungguhpun begitu, jika terdapat perubahan, kerajaan akan berunding dengan semua yang berkepentingan iaitu bukan sahaja syarikat insurans, malahan kumpulan pengguna. Saya akan memberitahu Bank Negara untuk berunding dengan persatuan dan kumpulan pengguna.

Salah satu ciri MEB ialah Datuk Seri mahu Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Bagaimanakah kerajaan akan mengimbangkan ekonomi bernilai tinggi dan mengekalkan kos kehidupan yang rendah seperti yang dilihat dari subsidi yang meluas terhadap barangan keperluan?

Inilah sebab perlunya peralihan paradigma pada pemikiran kita. Inilah yang dijangka sesuai pada masa itu. Kita mahu menjadi berdaya saing, kita perlu menjadi negara pengeluar berkos rendah. Jadi kita rendahkan kos komoditi dan perkhidmatan. Tetapi, menerusi MEB, kita mahu tekankan bahawa Malaysia adalah negara inovatif. Dan untuk itu kita perlukan kepintaran dan bakat. Dan kepintaran adalah bakat yang tidak mahu bekerja di Malaysia, dan ini termasuk rakyat Malaysia sendiri. Ya, kita tidak bayar mereka dengan sepatutnya. Gaji dan upah tidak sejajar dengan jangkaan mereka dengan gaji yang mereka boleh dapat di tempat lain.

Sebagai contoh, jika mereka bekerja di Timur Tengah, mereka boleh menerima gaji tiga hingga empat kali ganda. Kenapa mereka perlu bekerja di Malaysia? Kita boleh belanjakan beribu-ribu ringgit untuk melatih seorang profesional tetapi sebaik sahaja mereka mendapat kelulusan, mereka ke luar negara. Bukankah itu satu pembaziran buat Malaysia? Kini kita tahu bahawa mengekalkan gaji dan kos yang rendah bukan cara untuk maju ke hadapan. Cara untuk maju ialah dengan meningkatkan gaji yang akan memberikan rakyat kita pendapatan dan kualiti hidup yang lebih tinggi, dan boleh menarik dan mengekalkan tenaga kerja di dalam negara. Kita juga boleh mendapatkan bakat global, kerana untuk menjadi negara inovatif, kita harus membuatkan bakat global untuk memilih Malaysia.


Sebahagian daripada nelayan pukat jerut laut dalam mengucapkan terima kasih kepada Najib Tun Razak bersempena setahun menjadi Perdana Menteri. Kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak petrol dan diesel serta memberikan elaun sara hidup setiap bulan kepada nelayan.


Tentang peningkatan gaji, bagaimana tentang gaji 1.2 juta penjawat awam?

Gaji mereka akan disemak mengikut perkembangan, dengan syarat produktiviti meningkat. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat.

Sebab itulah GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya perlukan sokongan 1.2 juta pekerja kerajaan. Jika awak mahu gaji yang lebih tinggi di masa depan, saya harus kukuhkan asas perolehan kerajaan, kerana jika tidak, dari mana saya akan dapat duit untuk membayar penjawat awam? Jawapannya ialah menyokong inisiatif kerajaan kerana kami mahu memberi yang lebih baik kepada semua rakyat kita.

Salah satu masalah ketika krisis ialah pekerja kita. Kadang kala mereka tidak beretika dan secara tiba-tiba, contohnya, 100 pekerja kilang tekstil dipecat. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka telah bekerja selama 25 tahun dan mereka tiba-tiba kehilangan segala-galanya. Adakah di bawah pentadbiran Datuk Seri terdapat undang-undang yang menyekat majikan daripada memecat pekerja mereka dan jika ia dilakukan, mereka patut diberi ganti rugi dan masa untuk berhenti.

Ini adalah di bawah undang-undang buruh kita dan jika undang-undang buruh kita kelihatan tidak adil kepada pasaran, kita akan menyemaknya semula. Seperti jika pekerja tempatan tidak dibayar pada kadar yang boleh menarik mereka untuk bekerja dan jika majikan mahu mengambil pekerja asing kerana mereka boleh membayar kadar upah yang rendah, jadi kita boleh berbuat sesuatu tentangnya. Saya percaya majikan di negara ini harus mencuba sebaik mungkin untuk mengambil pekerja tempatan agar tenaga kerja stabil dan kita tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Mengenai penggangguran, apakah kadarnya kini?

Ia adalah kira-kira 3.6 peratus jadi ia dikira tiada pengangguran. Tiada pengangguran kerana jika dilihat, kita mempunyai 2.2 juta pekerja asing jemputan dan satu juta lagi secara tanpa izin, jadi angka itu, adalah anggaran bijak, tetapi kebanyakan orang akan mengatakan ia adalah angka sebenar. Jadi, apakah maknanya?

Maksudnya, terdapat peluang pekerjaan tetapi mengapa rakyat Malaysia tidak mahu bekerja, sama ada di kilang-kilang atau di restoran nasi kandar? Rakyat Malaysia tidak mahu kerja-kerja yang berbahaya, kotor atau dipandang rendah. Jadi, untuk menarik rakyat Malaysia bekerja, kita harus mengubah persekitaran tempat kerja dan membayar mereka gaji yang sedikit tinggi. Saya percaya majikan patut berbuat demikian. Kita juga tidak sepatutnya membuatkan pengambilan pekerja asing begitu mudah buat majikan. Jika kita boleh meningkatkan gaji pekerja asing mengikut bilangan pekerja asing yang ingin diambil, ini akan menjadi lebih bermakna dari segi perniagaan dan ekonomi untuk mengambil pekerja tempatan.

Adakah Datuk Seri menganggap keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai ukuran (barometer) kepada sokongan terhadap kerajaan sekarang?

Dalam sistem ini, tentunya setiap kali terdapat pilihan raya kecil kami mahu memenanginya. Pilihan raya kecil adalah hanya pilihan raya kecil dan petunjuk sebenar adalah pilihan raya umum. Apa sahaja yang kita lakukan boleh menyumbang kepada jangkaan atau psikologi untuk menang. Tetapi ujian sebenar ialah Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Perkasa (Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia) berkata masyarakat Melayu patut memiliki 67 peratus kekayaan ekonomi, dan Datuk Seri menyebut tentang menyemak semula polisi afirmatif. Jadi, bagaimanakah kerajaan akan menyelaraskan kedua-dua objektif ini?

Saya tidak kata kita akan pinda, hapuskan tindakan afirmatif, saya kata kita patut kekalkan. Apa yang saya katakan ialah kita akan semak pelaksanaannya supaya ia menjadi lebih adil, lebih mesra pasaran, lebih telus dan lebih berasaskan merit dan keperluan. Sebagai contoh, jika kita mahu menghapuskan kemiskinan, jika kita mahu menangani 40 peratus populasi yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, kita juga harus menjaga kebajikan bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga.

Bila kita bercakap tentang Bumiputera ia bukan sahaja mengenai Melayu, ia juga tentang Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain- lain, mereka juga Bumiputera dan mereka ada hak yang sama. Apa yang saya cuba katakan ialah kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan satu pandangan tetapi biarlah kita melihat dengan cara yang akan memberikan perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat, tetapi tindakan afirmatif tetap kekal kerana kedudukan Bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya, yang bermakna kita harus meneruskan tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan. Kelemahan yang jelas kelihatan dalam cara pelaksanaan kita sebelum ini.

Tetapi, sehingga kini, masih terdapat keraguan tentang tender terbuka. Selalu dibincangkan bahawa tender terbuka, tidak sebenarnya terbuka. Menyentuh tentang ketelusan, adakah Datuk Seri akan mengubah perkara ini di bawah pentadbiran Datuk Seri?

Saya ingin beritahu bahawa tender terbuka adalah benar-benar terbuka. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian, dan ia akan disiarkan dalam portal Kementerian Kewangan. Orang ramai boleh memeriksa sendiri, contohnya jika anda membida dan anda tidak berjaya, anda boleh tahu siapa yang berjaya dan anda akan tahu harga yang ditawarkan oleh syarikat yang dianugerahkan tender itu. Jadi rakyat boleh mengkritik kerajaan jika mereka rasa proses itu tidak adil.

Mengenai Kerjasama Trans-Pasifik dengan Amerika Syarikat, kita telah pun mengadakan lapan pusingan rundingan dengan Amerika mengenai Perjanjian Dagangan Bebas (FTA), dan sekarang mereka bercakap tentang TPP. Adakah Malaysia akan menyertainya? Bukankah ia memalukan selepas rundingan sebanyak lapan kali diabaikan?

FTA adalah sesuatu yang kompleks. Hinggakan di negara yang telah bersetuju untuk melaksanakan FTA, sebahagian daripada segmen populasi seperti di Korea Selatan, mereka mengadakan demonstrasi serius terhadap FTA Korea Selatan-Amerika Syarikat. Jadi FTA tidak pernah jelas, ia adalah perjanjian yang kompleks dan mengambil masa untuk dipersetujui. Kini terdapat perubahan pentadbiran Washington.

Jika ini adalah pentadbiran Republican, mereka mungkin akan terus bercakap dengan kita tentang FTA pelbagai hala tetapi pentadbiran baharu ini lebih suka bekerja dalam rangka kerja pelbagai hala dan Malaysia akan menimbangkan untuk menyertai TPP tetapi berdasarkan apa yang kita boleh terima. Inilah yang kita rundingkan. Kita telah bersetuju pada dasarnya untuk menyertai TPP. Jadi, kita kini harus memulakan rundingan serius yang akan mengambil masa yang lama kerana kebanyakan isu sukar untuk diselesaikan. Tetapi saya tidak rasa ia tidak dapat diatasi.

Adakah Datuk Seri kecewa apabila rakyat, media, parti politik dan semua orang di dalam dan di luar kerajaan menyalahkan Datuk Seri ke atas segala-galanya? Setiap kesilapan dalam negara dan segala masalah, hinggakan masalah tanah runtuh, mereka salahkan Datuk Seri?

Saya rasa rakyat tidak berlaku adil. Saya rasa rakyat sedar bahawa ada perkara yang di luar kuasa kita. Ini hanyalah risiko jawatan saya; saya harus menerimanya. Saya rasa ini juga terpakai kepada ketua-ketua kerajaan di seluruh dunia dengan syarat rakyat tidak terlalu tidak munasabah. Jika bola golf mereka tidak memasuki lubang, mereka tidak boleh menyalahkan saya Perdana Menteri.

Saya tahu manusia boleh menjadi tidak munasabah tetapi mereka harus tahu ia ada hadnya. Saya cuma lakukan yang terbaik. Saya tidak terlalu bimbang tentang itu. Saya bekerja keras, dan saya bekerja hingga larut malam dan saya serius tentang mengubah negara ini dan waktunya akan tiba apabila rakyat mengadili saya dan saya yakin rakyat Malaysia akan menghakimi saya dengan adil.








SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN PENTADBIRAN YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK YANG PERTAMA SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE - 6