OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sabtu, 11 Disember 2010

Komponen BN diingat tidak main isu perkauman

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memainkan isu perkauman kerana ia boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perbuatan itu perlu dihentikan kerana ia tidak selaras dengan matlamat penubuhan BN iaitu bagi mewakili semua kaum.

"Masalah di kalangan sebilangan parti komponen BN (masa kini) adalah dalam keinginan untuk menjadi popular, mereka suka membawa isu-isu perkauman.

"Tindakan ini boleh membawa kesan negatif kerana apabila anda hanya mempromosikan satu kaum, maka kaum-kaum lain tidak akan menyokong kamu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada Konvensyen BN 2010, Ahad lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang berucap mewakili parti itu secara terbuka mendesak agar istilah 'ketuanan Melayu' dilarang daripada digunakan dan turut menegaskan dasar utama kerajaan tidak harus diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Ditanya adakah kenyataannya itu merujuk kepada MCA, Dr. Mahathir berkata:

"Saya tidak ingin menyatakan parti mana yang saya maksudkan. Anda (wartawan) lebih tahu daripada saya."

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, beliau berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal pada Mac tahun depan.

"Saya tidak boleh membaca fikiran Perdana Menteri, tetapi pada pandangan saya, rakyat harus diberi masa kerana mereka belum bersedia ke arah ini.

''Saya juga merasakan Perdana Menteri mahu memastikan bahawa BN menang dengan majoriti yang baik (sebelum memutuskan tarikh pilihan raya),'' katanya.

Ditanya langkah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang menyerahkan jawatan itu kepada pengganti yang juga timbalannya, Datuk G. Palanivel Isnin lalu, beliau berkata, tindakan berkenaan harus dibuat apabila seseorang itu merasakan dirinya tidak lagi berguna.

"Kita semua mempunyai jangka hayat yang berguna kepada masyarakat. Seperti saya, apabila tiba masa tidak lagi berguna, saya mengundurkan diri," ujarnya.






‘Taubatlah Azmin’


UMI HAFILDA ALI


Ummi Hafilda Ali yang pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 merayu abangnya, Azmin yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pulang ke pangkal jalan dan bertaubat.

Ummi Hafilda, 42, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, beliau membuat seruan itu setelah melihat banyak hipokrasi, penyelewengan, pembohongan serta salah laku melibatkan abangnya itu.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia di dalam lingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa.

'Jangan tipu rakyat, jangan tipu bangsa sendiri. Wahai Azmin pulanglah ke pangkal jalan. Bertaubatlah sekurang-kurangnya takutlah pada Allah, malulah kepada para malaikat.

'Kepada Anwar dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga saya pohon perkara yang sama. Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi. Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

- UMMI HAFILDA ALI

Adik Azmin Ali.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp







'Usah gadai masa depan negara'

PEKAN 11 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan mempercayai segala janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang kepada mereka.

Tegas Perdana Menteri, parti pembangkang terbukti gagal mentadbir negeri-negeri yang dikuasai mereka apabila tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditaburkan pada pilihan raya lalu.

Malah kata beliau, pembangkang juga gagal mencapai kesepakatan dalam pakatan yang mereka cipta selama ini.

"Parti-parti pembangkang mempunyai ideologi yang bercanggah antara satu sama lain dalam pakatan yang mereka ciptakan.

"Oleh itu, jangan beri peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara ini," tegasnya semasa berucap pada sambutan Deepavali 1Malaysia peringkat Parlimen Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejarah dunia membuktikan bahawa pemimpin yang hanya bijak menabur janji tetapi gagal menunaikannya, akan tersungkur.

"Ramai pemimpin dunia gagal menjadi pemimpin yang baik kerana kegagalan menunaikan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada rakyatnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin parti pembangkang tidak akan mampu memerintah negara kerana kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan pakatan mereka.

Beliau menegaskan, hanya BN yang mampu memerintah negara menerusi rekod cemerlangnya sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

"BN telah membuktikan mampu menunaikan segala janjinya kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan.

"Hanya BN yang boleh membawa Malaysia menjadi negara maju menerusi janji-janji yang realistik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Najib juga berazam akan terus memberikan keadilan kepada semua lapisan rakyat rakyat tanpa mengira kaum supaya negara menjadi makmur dan harmoni.

Kongsi pengalaman Korea Selatan


Najib Tun Razak bersama Lee Myung-bak menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Anifah Aman (duduk, kanan) dan Kim Sung-hwan (kiri) di Putrajaya, semalam. – BERNAMA


PUTRAJAYA 10 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berminat untuk berkongsi pengalaman dan mempelajari kemajuan yang dimiliki oleh Korea Selatan dalam membangunkan teknologi nuklear termasuk pembinaan reaktor nuklear pintar dan berskala kecil.

Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur juga mengambil perhatian bagi mendapatkan perincian tentang bidang tertentu antaranya kekuatan firma Korea Selatan dalam bidang teknologi hijau dan tenaga diperbaharui serta teknologi alternatif.

‘‘Saya bercakap dengan Presiden Lee Myung-bak bahawa Malaysia sangat kagum dengan prestasi ekonomi Korea Selatan dalam tempoh 10 tahun yang lalu apabila mampu menjadi peneraju dalam bidang tertentu.

‘‘Jadi kita harap dapat belajar pengalaman mereka termasuk dalam menyusun semula dan melakukan pembaharuan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Myung-bak selepas mengadakan mesyuarat dua hala di pejabatnya di sini hari ini.

Presiden Korea Selatan itu bersama 20 anggota delegasinya mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke negara ini bermula semalam sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik republik itu dengan Malaysia.

Perdana Menteri yang menyifatkan mesyuarat dua hala itu sebagai produktif dan positif percaya bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan bertambah kukuh hasil lawatan Myung-bak ke negara ini.

Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan yang baik antara kedua-dua negara menyaksikan hubungan dagang bilateral telah melonjak kepada 34 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

‘‘Kita percaya hubungan dagang dua hala boleh bertambah dua kali ganda bagi tempoh lima tahun akan datang dan untuk itu kita perlu menggalakkan pelaburan melibatkan kedua-dua negara terutama membabitkan firma Korea Selatan yang telah beroperasi di negara ini.

‘‘Kita sedia memberikan sokongan kepada mereka dan memberikan insentif bagi tujuan itu,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri menyatakan, kedua-dua negara juga boleh mengadakan kerjasama bagi meneroka pasaran di negara-negara ketiga dengan mengambil kira kelebihan Malaysia yang mempunyai jaringan kukuh dengan negara-negara berkenaan manakala Korea Selatan pula boleh menawarkan teknologinya.

‘‘Dengan bekerjasama ini, kita dapat meraih peluang yang lebih banyak dalam pasaran luar,” katanya.

Justeru beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju agar ditubuhkan Majlis Ekonomi Malaysia-Korea Selatan bagi membolehkan sektor swasta meneroka dan berbincang usaha mengukuhkan perkongsian dan kerjasama ekonomi dua hala.

Najib berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengkaji bagi mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berasingan bagi menyokong FTA ASEAN-Korea Selatan kerana langkah itu dilihat dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan republik itu.

‘‘Kita juga melihat kepada hubungan dalam konteks lebih luas iaitu melibatkan rakyat dengan rakyat yang menyaksikan banyak pertukaran dilakukan termasuk kedatangan pelancong Korea Selatan ke negara ini.

‘‘Malaysia boleh menawarkan kekuatannya membabitkan eko pelancongan, kepelbagaian bio dan budaya pelbagai kaum serta kehidupan kosmopolitan selain kelebihan untuk membeli-belah dengan harga yang kompetitif.

‘‘Kita juga menyentuh tentang penambahan pelajar Malaysia ke Korea Selatan kerana negara ini kagum dengan budaya dan etika kerja masyarakat Korea Selatan selain peningkatan pelajar Korea Selatan menuntut di negara ini,” katanya.







Lee Myung-bak pelawa Malaysia adakan kerjasama dalam bidang nuklear

PUTRAJAYA 10 Dis. – Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang melakukan lawatan rasmi dua hari ke negara ini mulai semalam sebenarnya pernah beberapa kali datang ke Malaysia ketika zaman 60-an atas pelbagai urusan termasuk perniagaan.

Ternyata pengalaman menjadi ahli perniagaan digunakan sepenuhnya apabila berjaya bertindak mempromosi kepakaran tenaga nuklear yang dimiliki republik tersebut dalam mesyuarat delegasi dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Myung-bak berkata beliau mengambil peluang dalam mesyuarat tersebut bagi menjelaskan tentang pembangunan reaktor nuklear pintar yang mana negaranya sekarang merupakan model terbaik dunia bagi teknologi tenaga nuklear yang selamat.

Sambil mengajak Malaysia untuk mengadakan kerjasama dalam bidang itu, beliau berkata, penggunaan tenaga nuklear adalah sejajar dengan usaha pelbagai negara masa ini dalam menangani fenomena perubahan cuaca.

‘‘Saya jelaskan, sekiranya datang ke negara saya anda akan lihat bagaimana tenaga nuklear selamat telah dibangunkan dan ramai juga orang mengambil perhatian tentang bagaimana penduduk yang tinggal di kawasan sekitar reaktor, di Korea Selatan sebenarnya ramai penduduk tinggal dan bekerja di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri selepas mesyuarat delegasi dua hala tersebut di sini hari ini.

Mengenai penyimpanan sisa buangan nuklear, Myung-bak berkata, sebenarnya Korea Selatan menjadi model bagi golongan yang mengambil berat soal keselamatan teknologi itu.

‘‘Kita mempunyai teknologi terbaik di dunia dan di kawasan reaktor kita beroperasi dan tempat penyimpanan sisa buangannya sebenarnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dan Najib bersetuju tentang perlu ada usaha berpanjangan untuk menangani fenomena perubahan cuaca dan dalam hal ini tenaga nuklear adalah suatu yang menjimatkan serta selamat bagi masa depan selain membantu dari segi keperluan penggunaan tenaga berkesan.

‘‘Sebenarnya persepsi tentang keselamatan tenaga nuklear telah berubah dan dengan itu saya mahu rakyat Malaysia didedahkan dengan perkara itu terutama kepada mereka yang prihatin tentang soal keselamatan dan keupayaannya.

‘‘Kami harap dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan daripada wakil media Malaysia, Myung-bak berkata, republik itu melahirkan rasa minat untuk mempelajari kaedah pelaksanaan sistem kewangan Islam yang berjaya dibangunkan oleh Malaysia.

































Sultan Johor, Sultan Kelantan dikurnia DK

SHAH ALAM 10 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dikurniakan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) sempena ulang tahun ke-65 keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada pagi esok.

Dua orang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) darjah kelas pertama yang membawa gelaran 'Datuk Seri' iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.

Anakanda Sultan Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) kelas pertama yang membawa gelaran Datuk Setia.

Seorang lagi penerima darjah kebesaran tersebut ialah Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr. Nayan Ariffin.

Seramai 12 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS), darjah kelas kedua yang membawa gelaran 'Datuk' kepada lelaki dan 'Datin Paduka' bagi penerima wanita.

Mereka didahului oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim; Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Tunku Putra Badlishah Tunku Annuar; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohamed Noor.

Pakar Klinikal Kanan O&G Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusoff; Laksamana Madya Panglima Angkatan Bersama, Markas Angkatan Tentera Laut, Datuk Jamil Osman; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - Pentadbiran dan Pembangunan, Md. Nasir Md. Arshad.

Turut menerima DPMS ialah Timbalan Ketua Pengarah II Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Wahab Hamid; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mislan Tugiu; Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Che Asmah Ibrahim.

Pakar Perunding Bedah Am dan Ketua Jabatan Bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Mohamed Yusof Abdul Wahab dan Pengarah Nestle (M), Berhad, Mohd. Rafik Shah Mohamad.

Seramai 16 orang menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), darjah kelas kedua yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

Mereka ialah Panglima Sistem Armada, Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Datuk Khairuddin Khalid; Timbalan Asisten Ketua Staf (AKS) Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Anuar Ahmad dan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

Bekas ketua pasukan bola sepak Malaysia pada Sukan Olimpik 1972, Datuk M. Chandran; Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Azizan Mohamad Sidin; Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof. Dr. Yaakob Che Man dan Pengarah Pasukan Pertubuhan Khas Persekutuan Majlis (Sabah/Labuan) Keselamatan Negara, Misri Barham.

Penerima lain, Pensyarah Jabatan Fizik Universiti Malaya (UM), Prof, Dr. Mohd. Zambri Zainuddin; Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ab. Halim Tamuri; Pendaftar UPM, Wan Azman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Norazlina Zakaria.

Naib Presiden Eksekutif Sapura Secured Technologies Sdn. Bhd., Wan Shaharuddin Wan Mahmood; Pegawai Eksekutif NGV Tech Sdn. Bhd., Zulkifli Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Eu Hong Chew dan Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan SP Setia Berhad, Teow Leong Seng.

Seramai 15 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) antaranya, Pengarah Dasar dan Pengurusan Markas Tentera Darat, Kolonel S. Suriakala; Pengarah Sumber Markas Tentera Darat, Kolonel Nazri Abu Bakar; Pengarah Undang-undang Markas Tentera Laut, Kapten Azhari Abdul Aziz.

Pegawai Pemerintah Pangkalan Udara Subang, Kolonel Ramlan Kasbi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Jalil Hassan.

Orang Besar Istana (Tengku Seri Paduka Shah Bandar) Tengku Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah pula antara 18 orang yang menerima Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharuddin Idris Shah (SIs).

Antara yang turut tersenarai ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Abu Bakar Mohd. Daud; Timbalan Pendaftar Kanan UPM, Chek Zan Kasah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Ir. Mohamad Dalib dan Pengarah Cawangan Risikan Kastam Diraja Malaysia, Badarudin Mohamed Rafik.

Seramai 27 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) termasuk wartawan akhbar The Star, Edward Rajendra J.S. Henry Kandiah manakala seramai 20 lagi dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan seramai tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).

Sultan Selangor juga berkenan mengurniakan tiga Jaksa Pendamai (JP) iaitu kepada bekas Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Abu Bakar Abdul Hamid; Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Kementerian Sumber Manusia, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor, Puan Sri Thamayanthi Dewi Ampikaipakan.

Selasa, 7 Disember 2010

SALAM MAAL HIJRAH

KEPADA SEMUA UMAT ISLAM DI SELURUH MALAYSIA, PENULIS WEBLOG INI MENGUCAPKAN SELAMAT TAHUN BARU 1432 HJIRAH.


BERSAMA KITA MEMUPUK PERPADUAN UMMAH

1 MALAYSIA, 1 UMMAH


SALAM MAAL HIJRAH


























Dr. Zeti wanita pertama Tokoh Maal Hijrah






TUANKU Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 kepada Dr. Zeti Akhtar Aziz pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam. – Utusan/Zaki Amiruddin

Wanita yang menjadikan buku sebagai teman itu berkata, keinginan dan usaha yang kuat perlu ada dalam diri bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta pertambahan maklumat.

Ditanya mengenai isu gender dalam pekerjaan, beliau berkata, perkara itu sepatutnya tidak harus timbul kerana lelaki dan wanita perlu saling menghormati antara satu sama lain.

“Saya tidak pernah mempersoal isu gender ke mana-mana saya pergi termasuk ke negara-negara di Timur Tengah seperti Iran, Arab Saudi dan Qatar.

“Apa yang perlu kita berikan penghormatan seperti gabenor-gabenor bank yang lain,” kata pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) itu.

Beliau berharap lebih ramai wanita akan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi sama ada sektor kerajaan mahupun swasta.

Peneraju BNM itu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan kewangan negara termasuk menjadi antara tokoh penting yang berjaya memulihkan ekonomi Malaysia daripada krisis pada 1998.

Zeti yang pernah diberikan jolokan wanita paling berkuasa dalam kewangan oleh majalah Global Finance pada tahun 2000 berjaya mengangkat negara menjadi sebuah pusat kewangan dan perbankan Islam unggul yang mempunyai landskap kewangan komprehensif hingga menjadi rujukan dunia.

Beliau turut memberi ilham kepada penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) yang memberi makna kepada sejarah kewangan Islam negara dan antarabangsa.

Sementara itu, Ungku Abdul Aziz turut berkongsi perasaan terharu di atas pemilihan anaknya itu sebagai Tokoh Maal Hijrah.

‘‘Beliau ialah pakar ekonomi dan mampu mencari penyelesaian bagi masalah ekonomi dan kepakarannya dalam sistem perbankan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai rahsia mendidik Zety, beliau berkata, anaknya itu diberikan sepenuh kebebasan untuk memilih bidang pengajian yang diminati.

‘‘Saya beri kebebasan, dia hendak ambil subjek apa, universiti mana dia hendak pergi dan bidang Ph.D yang diminati, saya tidak mempengaruhinya.

‘‘Saya cuma mengajar dia tentang erti berdikari sebab saya sendiri adalah anak yatim, bapa saya meninggal dunia sebelum perang dan oleh itu saya galakkan orang Islam agar berusaha untuk berdikari sebagaimana yang dinyatakan oleh Pendita Zaaba dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’,” katanya.









Samy Vellu telah serah surat letak jawatan Presiden MIC

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Datuk Seri S. Samy Vellu sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Presiden MIC kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, minggu lalu.

Sumber dalaman MIC yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, Samy Vellu tidak menerima sebarang tekanan atau paksaan daripada pihak ketiga untuk menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.

Malah katanya, Presiden MIC itu menyerahkan surat berkenaan dengan kerelaan hatinya kerana beliau bakal menerima tanggungjawab lain di luar parti iaitu sebagai perunding perniagaan bagi membantu negara meningkatkan sumber pendapatan.

"Untuk memikul tanggungjawab baru itu, Samy Vellu harus mengesahkan bahawa beliau berundur daripada jawatan Presiden MIC pada bulan Disember ini.

"Oleh kerana beliau telah mengesahkan peletakan jawatannya, pada bulan Januari depan beliau bakal bergelar perunding perniagaan bagi membantu Malaysia meningkatkan sumber pendapatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Samy Vellu mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu diambil alih oleh Timbalannya, Datuk G. Palanivel.

Tambah sumber itu, keputusan pemimpin itu untuk berundur daripada jawatan Presiden MIC telah dibuat beberapa bulan lalu tetapi hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.

"Masih terdapat desas-desus mengatakan bahawa Samy Vellu hanya bersandiwara politik dan tidak akan meletak jawatan sehingga 2012.

"Ia tanggapan yang salah. Masyarakat di negara ini bakal menyaksikan pelan peralihan kuasa di antara dua pemimpin itu," jelasnya.









Ahad, 5 Disember 2010

'Kikis sifat khayal, lupa diri'


Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen mengibarkan bendera semasa menyanyikan lagu Barisan Nasional sebelum beliau merasmikan Konvensyen Barisan Nasional 2010 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota-anggota Barisan Nasional (BN) mengikis sifat khayal, lupa diri, jumud dan angkuh yang sering dikaitkan sebagai penyakit mana- mana parti yang sudah lama berkuasa, untuk menambat hati rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN menegaskan, empat penyakit itu perlu dielak, dikikis dan dibuang jauh sebelum rasa sayang rakyat terhadap BN berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan dan sokongan bertukar menjadi penentangan.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli BN supaya jangan terpesona dengan kejayaan lalu hingga menyebabkan mereka terleka dan angkuh yang akan menyebabkan rakyat benci dan menyampah, sebaliknya ia perlu dijadikan inspirasi bagi menjana kemenangan lebih besar pada masa akan datang.

"(Saya) menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri," katanya dalam ucapan dasar pada Konvensyen BN di Wisma MCA di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui bahawa politik itu penuh dengan percaturan, persepsi dan permainan angka, namun ia tidak akan berlaku dengan sendirinya.

"Sebetulnya, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap BN perlu terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

"Untuk bangun kembali, kita mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Itu yang sedang kita usaha dan lakukan, barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan," katanya.

Tambah Najib, kejayaan terbesar BN ialah kemampuan menukar pelbagai kerumitan yang wujud kepada kelebihan dalam persaingan dan ia bukannya pencapaian kecil tetapi sebaliknya amat signifikan dan begitu bersejarah dalam pembikinan Malaysia.

Katanya, kejayaan itu amat mengkagumkan kerana ia tidak melalui jalan mudah dengan mengamalkan kaedah 'kawah pelakuran' (melting pot) dalam membina sebuah negara iaitu perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu dicipta.

"Kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana-mana budaya, tidak juga menukar asal-usul sesiapa. Sehingga sekarang masing-masing bebas mengamalkan jati diri," katanya.

Bahkan menurut Najib, rakyat harus berbangga bahawa Malaysia satu-satunya negara di dunia membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.








Kerjasama pembangkang tak lama, hanya seleweng rakyat

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak di negara ini sedar bahawa kerjasama pakatan pembangkang tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu dan menyeleweng rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sejarah membuktikan sepanjang mereka bergabung sama ada di dalam Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau terbaru Pakatan Rakyat, tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka.

Beliau berkata, apa yang mereka cuba lakukan hanya sia-sia kerana kerjasama itu bukan didasarkan dengan ramuan keikhlasan, wawasan serta nilai yang dikongsi bersama.

''Mereka cuba meniru kita dari segi kerjasama namun, pada hemat saya, usaha ini sia-sia sahaja. Atas nama apa pun yang dicipta ia hanyalah percubaan-percubaan pembangkang untuk bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan.

''Simpulan bahasa ada menyebut, telunjuk sahaja lurus tetapi kelengkeng berkait. Antara DAP dengan Pas misalnya hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Konvensyen Barisan Nasional yang bertajuk Mengukuh Barisan, Mendahulu Rakyat di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.

Najib berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kerjasama antara kedua-dua parti hanya disandarkan dengan adanya peranan pihak ketiga iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, beliau menyelar pihak pembangkang yang mengaku lebih demokratik dengan menyatakan kepimpinan mereka mewakili semua kaum.

Bagaimanapun beliau berkata, hakikatnya ia jauh berbeza.

''Lihat sahaja PKR daripada tujuh orang kepimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti," katanya.

Di dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh betapa gerunnya PKR terhadap langkah UMNO memperkenalkan corak pemilihan kepimpinan yang baru.

''Tampak jelas apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka sehingga kelam-kabut dan melilau ingin menciplak. Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya," katanya.

Mengenai pemilihan di dalam PKR, beliau menarik perhatian perwakilan apabila daripada 400,000 ahli yang didakwa menganggotai parti itu hanya 30,000 yang keluar mengundi untuk memilih pucuk pimpinan.

''Jika hanya tujuh peratus yakni lebih kurang 30,000 orang daripada kononnya 400,000 ahli parti yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk keluar memilih barisan kepimpinan mereka maka ia membawa dua konotasi.

''Konotasi pertama, parti itu tidak mendapat sokongan massa dan kedua integriti dan kewibawaan parti berkenaan sebenarnya disangsikan oleh ahli-ahli mereka sendiri," katanya.








PM gelar pembangkang pakatan nepotisme

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggelarkan pembangkang sebagai pakatan nepotisme memandangkan kepimpinannya yang dibarisi suami, isteri, bapa dan anak-anak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara tersebut jelas apabila keputusan pemilihan sebuah parti pembangkang baru-baru ini menyaksikan ketua umum, presiden dan naib presidennya datang daripada sebuah keluarga.

Lebih menarik lagi menurut beliau, timbalan presidennya pula dikatakan ada hubungan istimewa dengan ketua umum parti berkenaan.

Katanya, begitu juga dengan satu lagi anggota pakatan pembangkang yang dilihat sebagai parti 'Anak Beranak Sendirian Berhad'.

''Dengan hegemoni dua dinasti, satu keluarga dengan kuasa dan satu lagi keluarga tanpa kuasa, semuanya ini telah ditentukan. Sebabnya dalam sistem parti ini setiausaha agung lebih berkuasa daripada pengerusi.

''Sungguh lucu rasanya apabila mereka pula yang berani menuduh kita sebagai pengamal nepotisme. Saya ingin bertanya siapa pengamal nepotisme yang sebenar di sini?" sindirnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dasar sempena Konvensyen BN di Wisma MCA di sini hari ini.

Mengenai Pas, Najib di dalam ucapannya hairan dengan pendirian parti itu kerana sanggup menjalin kerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara walaupun mengaku menjadi pendukung Islam.

Oleh itu beliau berkata, lebih tepat lagi pakatan pembangkang terdiri daripada dua buah keluarga dengan satu lagi parti menjadi pak turut atau kuda tunggangan.

''Apa yang boleh dikatakan Pas sepatutnya bertindak lebih bijak daripada itu dan eloklah Pas terus berpegang teguh kepada apa yang kononnya menjadi prinsip mereka selama ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri dengan nada sinikal mempersoalkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah tuhan.

''Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap 'ke..he..ba..tan' suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu dibuat.

''Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga pernyataan begini sanggup dikeluarkan. Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat, satu lagi ajaran songsang? Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu," katanya disambut tepukan gemuruh serta sorakan perwakilan.

Isu pemimpin-pemimpin PKR keluar parti juga berjaya menarik perhatian perwakilan sekali gus menggamatkan dewan apabila Perdana Menteri menyebut jawatan mereka yang bertindak demikian.

''Ramai pimpinan utama mereka keluar parti antaranya timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda, ketua penerangan, pengerusi, ketua cabang termasuk Cabang Permatang Pauh, bekas timbalan ketua menteri, lima ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

''Senarai panjang sangat. Izinkan saya minum air dahulu. Lantaran itu amat tepat jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-Ramai," katanya.

Sabtu, 4 Disember 2010

Konvensyen BN bincang 7 agenda penting

PUTRAJAYA 4 Dis. - Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang akan berlangsung esok bakal membincangkan tujuh agenda penting berkaitan hala tuju dan usaha pengukuhkan parti agar ia terus kekal relevan di hati rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tujuh agenda itu ialah gagasan 1Malaysia, sosio-ekonomi, isu keselamatan, agama dan pendidikan.

Selain itu katanya, undang-undang dan pencegahan rasuah serta kaedah terbaik bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan turut menjadi fokus utama pada konvensyen yang akan diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dijangka menyampaikan mesej kepada semua ahli komponen khususnya mengenai konsep 1Malaysia sebagai langkah terbaik menyatupadukan rakyat yang mempunyai kepelbagaian kaum.

''Ini termasuk memberi keutamaan kepada rakyat dalam setiap perkara berdasarkan sikap inklusif tanpa eksklusif yang harus diamalkan dan banyak perkara lain akan dibincangkan kerana sudah enam tahun kita tidak berkumpul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan program Juara Rakyat Parlimen Putrajaya, di sini hari ini.

Katanya, setakat semalam, seramai 2,340 ahli BN daripada 13 komponen parti mengesahkan kehadiran mereka pada konvensyen itu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berucap mewakili UMNO, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mewakili MCA selaku Presiden parti itu manakala Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berucap mewakili partinya.

Turut berucap ialah Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Tengku Adnan, konvensyen tersebut bukan bertujuan untuk mengesahkan apa-apa pindaan perlembagaan parti kerana perkara itu hanya dilaksanakan oleh Dewan Tertinggi BN.

''Dewan Tertinggi BN mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan dan mengubah apa saja yang mereka dirasakan betul dan keputusan mereka berdasarkan keputusan sebulat suara iaitu sekiranya satu parti tolak maka sesuatu pindaan itu tidak boleh dilaksanakan," jelasnya.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, penganjuran konvensyen itu juga antara lainnya adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Kita anggap esok akan berlaku pilihan raya yang mana kita perlu bersedia setiap masa selain 'membersihkan' nama kita disebabkan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang," katanya.

Tengku Adnan berkata, konvensyen itu mengandungi program yang padat dan ketat dengan setiap pemimpin parti komponen termasuk sayap kanan akan diberi peluang sekurang-kurangnya 15 minit untuk memberikan input dan kaedah bagi mengukuhkan BN.

Ia dimulakan dengan majlis makan malam di Seri Perdana malam ini disusuli dengan ucaptama oleh Najib selaku Pengerusi BN pagi esok.

Jumaat, 3 Disember 2010

Orang kafir dustakan akhirat


Bagi umat Islam kematian adalah perantara sebelum memasuki alam akhirat. - Gambar hiasan


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!

Sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah).

Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya) dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin, dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya) serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba! Jangan sekali-kali bersikap demikian! (sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)! Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. (al-Fajr: 15-25)

Mukadimah

Al-Maghari berkata: Setelah Allah SWT bersumpah akan mengazab orang kafir sebagai balasan kekafirannya dan kegemaran mereka melanggar perintah-Nya, lalu Dia menyebutkan sebahagian kisah umat terdahulu yang menentang Allah SWT, Rasul-Nya dan gigih melakukan kezaliman, sehingga ditimpa seksaan yang bersangatan dan diambilnya tindakan bagai tindakan Penguasa Yang Gagah Perkasa.

Oleh yang demikian, agar para pendusta serik dan untuk meneguhkan hati orang mukmin yang mengikut Rasul dan menolongnya, dan agar hati mereka menjadi tenang kerana musuh-musuh mereka akan diberi pembalasan yang sewajarnya.

Firman Allah SWT: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!

Manusia dalam ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat.

Pertama Uthbah bin Rabi'ah dan Abu Huzaifah bin Mughirah seperti kata 'Ata. Kedua Ubai bin Khalaf, inilah pendapat Ibn al-Sa'ib. Ketiga Umayyah bin Khalaf seperti kata Muqatim. Keempat semua orang kafir yang tidak beriman hari kebangkitan.

Al-Qurtubi berkata, inilah sikap orang kafir yang tidak mempercayai alam akhirat dan menganggap kemuliaan terletak pada kesenangan dan kemewahan hidup duniawi sahaja.

Orang yang beriman pula meyakini. kemuliaan sejati terletak pada limpah kurnia Allah SWT kepadanya untuk sentiasa mentaati Allah SWT serta bertakwa kepada-Nya sepanjang hayat mereka yang akan membawa kepada kebahagiaan di alam akhirat.

Sekiranya Allah SWT mengurniakan kemewahan hidup di dunia, ia akan bersyukur dan seandainya pula berlaku sebaliknya, ia akan bersabar dengan penuh kerelaan dan keyakinan.

Firman Allah SWT: jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya).

Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi perintah supaya memuliakan anak yatim.

Firman Allah SWT: dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.

Ibn Kathir berkata: Iaitu tidak memerintahkan untuk berbuat baik kepada kaum fakir miskin serta mengarahkan mereka dalam hal tersebut.

Firman Allah SWT: dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya).

Al-Maraghi berkata: Kamu memakan harta yang ditinggalkan oleh salah seorang antara kamu dengan perasaan tamak. Kamu berusaha menyingkirkan orang yang sepatutnya berhak dan mencampur bahagianmu dengan bahagian orang lain.

Rabu, 1 Disember 2010

Pemilihan UMNO ditangguh

Pemilihan UMNO ditangguh


Muhyiddin Yassin menyatakan sesuatu kepada Najib Tun Razak semasa Perdana Menteri tiba di ruang legar Menara Dato’ Onn untuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti

“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.

“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.

Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Ini ekoran kenyataan saya sebelum ini bahawa kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan model baru politik yang saya telah digariskan dengan tujuh prinsip.

“Ia adalah untuk menerangkan mengenai gagasan 1Malaysia dan bagaimana UMNO mendahulukan kepentingan serta kebajikan rakyat dan konsep pencapaian diutamakan dari sudut sistem penyampaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat MT turut mengambil maklum perkembangan semasa selain menerima laporan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi, baru-baru ini.

“Umum berpendapat perkembangan kini menjurus kepada keadaan yang lebih positif, ini mungkin disebabkan langkah-langkah yang diambil kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan rakyat.

“Ini diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya kawasan tersebut dengan kemenangan dan majoriti yang bertambah, sehubungan itu proses memantapkan UMNO akan diteruskan dengan melakukan transformasi politik,” tegasnya.











Pelik ketuanan Melayu ditolak

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Dua bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang membuat cabaran itu berkata, beliau berasa pelik dengan tindakan Anwar yang menolak ketuanan Melayu kerana beliau merupakan pejuang utama konsep itu sewaktu menjadi Ketua Pemuda sehingga ke Timbalan Presiden UMNO.

"Mereka (Anwar dan Azizah) tidak layak menerima darjah kebesaran itu. Anwar begitu hipokrit kerana beliaulah yang mewujudkan konsep ketuanan Melayu sewaktu bersama UMNO dahulu.

"Tetapi kini, dia menolak ketuanan Melayu. Adakah Anwar berasa kesal kerana tidak lagi berkuasa dan mahu menghapuskan konsep tersebut?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap segelintir pihak yang berhijrah ke negeri itu, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan juga peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.

Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.

Zahrain berkata, sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, ramai kroninya mendapat layanan istimewa atas dasar Melayu termasuk anak emasnya yang kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Masa dia (Anwar) berkuasa dahulu banyak kawan dia yang mendapat keistimewaan atas dasar orang Melayu. Tetapi kini bila tidak lagi berkuasa konsep yang diperjuangkan olehnya itu ditentang. Ini pemimpin yang hipokrit dan cakap tak serupa bikin," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut mencabar Anwar menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterimanya daripada raja-raja Melayu.

"Dulu ketuanan Melayu cukup kuat dipertahankan, tetapi hari ini Anwar mempertikaikan konsep itu. Ini satu politik cakap tidak serupa bikin.

"Kenapa sekarang nak pertikai selepas memperkayakan diri, keluarga, kawan-kawan dan kroni-kroninya melalui konsep tersebut. Kalau Anwar ada maruah dia harus serah balik semua anugerah dan darjah kebesaran yang diterimanya," katanya.

Beliau berkata, Anwar juga tidak layak untuk menerima anugerah dan darjah kebesaran kerana Penasihat PKR itu merupakan bekas banduan.

"Dia (Anwar) sendiri sudah tidak layak kerana merupakan bekas banduan. Saya ingat masa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dipenjarakan, Anwar antara orang yang kuat mendesak supaya ditarik balik darjah kebesaran diterima Rahim kerana dipenjarakan," katanya.