OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sabtu, 5 Februari 2011

Jangan jadikan isu politik – TPM


Najib Tun Razak turut bersama ribuan umat Islam menunaikan solat sunat hajat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.










MUAR 4 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan usaha menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir khususnya golongan penuntut sebagai isu politik kerana ia membabitkan nyawa rakyat negara ini.

Tegas beliau, kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sudah menggerakkan usaha memindahkan penuntut serta rakyat Malaysia keluar dari negara itu, namun pelbagai kekangan perlu dihadapi berikutan keadaan yang kucar-kacir.

Katanya, menerusi usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, persetujuan dicapai dengan kerajaan Arab Saudi untuk memberi kelonggaran visa dan menjadi transit bagi warga Malaysia dari Mesir, namun operasi memindahkan lebih 12,000 orang bukan tugas mudah.

“Jangan jadikan ia isu politik, yang penting adalah hendak selamatkan nyawa. Proses ini telah bermula dan belum selesai, saya harap ia dapat selesai dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, Bukit Pasir, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd. Akin cuba mengambil kesempatan menjadikan isu membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir khususnya golongan penuntut sebagai isu politik.

Beliau menuduh kerajaan serta Wisma Putra lembap bertindak sehingga menimbulkan risiko terhadap nyawa rakyat Malaysia di negara bergolak itu.

Jelas Muhyiddin, rancangan untuk memindahkan rakyat Malaysia menerusi aset-aset udara dan laut telah dimulakan dan dari segi logistik, bekalan makanan juga disalurkan kepada mereka yang terperangkap di negara itu.

“Pergerakan bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia tetapi juga rakyat negara lain. Mungkin pembangkang kata lambat, sebenarnya hari pertama berlaku pun kita sudah nak angkut tetapi tidak dapat kelulusan kerana kerajaan Mesir dalam keadaan kucar-kacir,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, kerajaan mengambil serius keadaan yang berlaku dan laporan berkala telah dibuat oleh pasukan yang berada di Kaherah serta Wisma Putra manakala taklimat diberikan oleh Kementerian Luar kepada ibu bapa penuntut mengenai perkembangan terkini di negara itu.


























Segalanya ditanggung kerajaan



KUALA LUMPUR 4 Feb. - "Segalanya kerajaan tanggung, termasuk penginapan dan makan minum mereka di Jeddah. Kepada suara-suara sumbang, kita di sini bukan untuk mengaut keuntungan politik tetapi demi keselamatan rakyat kita.''

Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung tindakan sesetengah pihak menyebar berita palsu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung usaha kerajaan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah.

Berita palsu itu antara lain menyebut: "Jangan naik pesawat ke Jeddah, sebab dari Jeddah nak balik ke Malaysia kamu kena tanggung sendiri tambangnya.''

Jamil Khir menerangkan, segala kos membabitkan penerbangan membawa keluar rakyat Malaysia diusahakan kerajaan atas ihsan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Oleh itu, tidak timbul soal kita meminta bayaran itu ini. Di Jeddah, Arab Saudi pula, mereka ini ditempatkan di Madinatul Hujjaj iaitu pusat penginapan Tabung Haji.

"Tabung Haji sendiri menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyediakan penginapan serta makan minum sebelum mereka yang dipindahkan dibawa pulang ke tanah air. Itu pun, tambang untuk pulang ke Malaysia sedang kita aturkan.

"Jadi, tidak timbul soal kita mengenakan bayaran. Janganlah dengar berita daripada sumber-sumber yang tidak sah. Hubungi kami sendiri untuk kepastian,'' katanya ketika dihubungi di Kaherah hari ini.

Beliau mengulas mengenai fitnah yang disebarkan pihak bertanggungjawab menerusi SMS yang menyebabkan ada rakyat Malaysia khususnya pelajar yang enggan keluar dari Mesir kerana tidak mempunyai wang untuk pulang ke tanah air melalui Jeddah.

Jelas beliau, mengenai penginapan di Jeddah, ahli keluarga di tanah air tidak perlu risau kerana Tabung Haji memiliki pengalaman luas dalam menguruskan urusan berkenaan.

Mengenai kelewatan menerbangkan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Jamil Khir berkata, situasi di negara itu ketika ini cukup kritikal dan menyukarkan mana-mana syarikat penerbangan mendarat di Mesir.

"Hendak mendapatkan hak mendarat pun sukar. Begitu juga hak mendarat di Jeddah. Ada lebih 11,000 pelajar kita di Mesir. Jadi bayangkan berapa banyak pesawat hendak digunakan untuk membawa mereka keluar?

"Kita bawa mereka ini ke Jeddah dahulu dan mereka telah pun diberikan visa waktu ketibaan (VOA). Oleh itu, jangan risau. Kerajaan sedang usahakan yang terbaik untuk rakyat kita di Mesir,'' tambahnya.

Sehingga kini, katanya, terdapat lebih 700 pelajar diterbangkan ke Jeddah dan menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mula menabur fitnah dan berita palsu terhadap apa yang diusahakan kerajaan di Mesir.

Tegas beliau, segala usaha membawa keluar rakyat Malaysia berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah.

''Saya minta, jangan mempolitikkan isu ini dan jangan sebar cerita mengarut,'' tambahnya yang masih berada di Kaherah.














Anifah nafi kerajaan lambat pindahkan rakyat kita dari Mesir

KOTA KINABALU 4 Feb. - Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan sesetengah pihak menerusi internet bahawa kerajaan lambat bertindak memindahkan pelajar Malaysia dari Mesir yang kini dilanda kacau bilau.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan bertindak pantas untuk menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir dan ini dilakukan hampir serentak dengan langkah dilakukan negara lain termasuk Amerika Syarikat.

"Rakyat perlu tahu bahawa bukan mudah mendapatkan hak pendaratan di Mesir. Ia mungkin mengambil masa, melainkan sudah tentulah jika keadaan di sana mencapai tahap bahaya.

"Selepas diberi hak pendaratan, kami segera mulakan usaha memindahkan pelajar Malaysia keluar dari Mesir sejak semalam dan kami harap dapat menyelesaikan proses pemindahan itu sebelum Isnin ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anifah merayu kepada pihak terbabit, khususnya blogger, supaya tidak mempolitik atau mensabotaj usaha murni kerajaan Malaysia untuk memindahkan atau membawa keluar lebih 11,000 rakyat negara ini dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

"Saya sangat kecewa dengan tuduhan ini apabila pada masa kerajaan kita di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menumpukan usaha memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat kita di Mesir, segolongan pihak tertentu pula mengambil kesempatan daripada keadaan ini demi kepentingan politik mereka.

"Sekarang adalah masa bagi semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik berganding tenaga memastikan kejayaan proses pemindahan dan bukannya mencari salah," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menanggung kos pengangkutan udara atau penerbangan pelajar Malaysia yang terjejas dari Jeddah ke Kuala Lumpur, Anifah berkata, kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam sehari dua lagi.

"Kita tunggu sajalah pengumuman itu. Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos memindahkan rakyat kita dari Mesir ke Jeddah dan semasa di Jeddah, kami menyediakan penginapan dan makanan percuma," katanya.















Pelajar Malaysia di Jeddah dibenar pulang


JEDDAH 4 Feb. - Pelajar Malaysia dari Mesir yang dipindahkan sementara ke sini, dibenarkan pulang ke Malaysia pada bila-bila masa jika ibu bapa mereka menanggung sendiri kosnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membantu pelajar yang mahu berbuat demikian.

Katanya, mengikut pelan asal, kesemua pelajar Malaysia akan dipindahkan ke Jeddah dan tinggal di situ beberapa hari sehingga operasi di Kaherah selesai semuanya.

"Mengikut pelan asal juga, mereka akan dihantar pulang ke Malaysia oleh kerajaan.

"Madinatul Hijjaj yang dikendali oleh Tabung Haji memiliki kapasiti 2,000 orang pada satu-satu masa.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa lokasi lain di sekitar Jeddah bagi menempatkan kesemua 11,419 pelajar dari Mesir," ujarnya pada taklimat media yang bakal berangkat ke Kaherah tengah hari ini.

Hidayat berkata, ibu bapa boleh menghubungi bilik operasi Madinatul Hijjaj di Jeddah di talian 009662-6301638/6326191 atau faks 6020891.

Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di sini.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Selain menggunakan pesawat MAS, pemindahan pelajar turut dilakukan dengan kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 26 Januari lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
















Mubarak mahu letak jawatan

KAHERAH 4 Feb. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, beliau mahu meletakkan jawatan tetapi khuatir huru-hara akan meletus jika beliau berundur sekarang.

Mubarak, 82, memberitahu wartawan ABC News, Christiane Amanpour dalam wawancara lewat semalam bahawa beliau 'sudah bosan menjadi Presiden dan ingin melepaskan jawatan sekarang, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khuatir negara ini akan terjerumus ke dalam kancah huru-hara'.

Bagaimanapun akhbar New York Times melaporkan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sedang berunding dengan para pegawai Mesir untuk membolehkan Mubarak berundur dengan serta-merta.

Mengikut cadangan itu, Mubarak akan menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan peralihan diketuai Naib Presiden Omar Suleiman dengan sokongan tentera Mesir, lapor NYT dengan memetik kenyataan pegawai White House dan diplomat Arab.

Ketika berhadapan dengan tentangan paling hebat di dalam pemerintahannya, Mubarak baru-baru ini berjanji untuk berundur pada September ini, melantik Suleiman sebagai Naib Presiden dan menawarkan rundingan mengenai pembaharuan.

Namun konsesi itu tidak memadai bagi penunjuk perasaan yang berharap untuk menghimpunkan beribu-ribu rakyat Mesir hari ini bagi demonstrasi pusingan terbaru dalam usaha memaksa Mubarak berundur serta-merta.

Konfrontasi itu menjadi ganas apabila kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir diserang oleh penyokong Mubarak kelmarin, menyebabkan AS meningkatkan tekanan ke atas Mubarak supaya memulakan peralihan kuasa sekarang.

Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berharap mereka akan disertai beribu-ribu orang lagi untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran yang mereka gambarkan sebagai 'Jumaat Hari Pengunduran'.

Sementara itu dalam wawancara berasingan dengan Amanpour, Suleiman menafikan anasir prokerajaan menembak mati kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dalam keganasan kelmarin.

Beliau sebaliknya mendakwa puak prokerajaan 'berkelakuan sangat baik'.

"Tidak. Tiada sesiapa yang mati ditembak dengan raifal atau oleh penembak curi. Tidak mungkin," kata Suleiman. - AFP/Reuters

Rabu, 2 Februari 2011

Semua penuntut Malaysia di Mesir selamat

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Semua penuntut Malaysia di Mesir dalam keadaan sihat dan selamat dan berada dalam kumpulan besar serta mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa para penuntut di tanah air supaya tidak bimbang kerana delegasi Malaysia yang diketuai Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay yang kini berada di Kaherah sejak Isnin sentiasa memantau keadaan semasa di negara yang sedang bergolak itu.

"Mereka semuanya Alhamdulillah selamat dan sihat, makanan semua ada cuma pergerakan terhad akibat daripada perintah berkurung yang dikenakan, itu sahaja.

Demonstrasi oleh rakyat Mesir setiap hari itu biasa, dan tidak menjejaskan pelajar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.


















Mubarak enggan undur segera



KAHERAH 2 Feb. – Presiden Mesir Hosni Mubarak semalam mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya Presiden September ini, tetapi menolak desakan berjuta-juta rakyat Mesir yang mahu beliau meletak jawatan dengan segera.

Pengumuman presiden itu yang disiarkan di televisyen mengundang kemarahan penunjuk perasaan, dengan sekali lagi bertindak melanggar perintah berkurung dengan berkumpul di Dataran Tahrir, malam tadi, masuk hari kelapan demonstrasi.

Mubarak menegaskan bahawa beliau akan terus memerintah sehingga menjelang pilihan raya untuk memantau peralihan kuasa, sekali gus menolak mentah-mentah desakan pembangkang yang mahu pemimpin itu berundur menjelang Jumaat ini.

“Secara jujurnya dan tanpa mengambil kira situasi yang sedang berlaku sekarang, saya merancang untuk tidak bertanding bagi melanjutkan penggal pemerintahan saya.

“Saya hidup di negara ini, saya pernah berperang untuknya (Mesir) dan sejarah akan menilai saya.

Mesir, katanya, ‘‘Negara yang telah saya pertahankan dan saya akan mati di sini,” ujar Mubarak disambut dengan ejekan penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Tahrir.

Beliau turut menolak kemungkinan melarikan diri ke negara lain seperti yang dilakukan bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali pada 14 Januari lalu selepas kebangkitan rakyatnya yang mendesak beliau berundur.

Mubarak berkata, negaranya mempunyai pilihan antara ‘kekacauan dan kestabilan’ selepas pertempuran antara pasukan polis dengan penunjuk perasaan yang mengakibatkan 300 terbunuh dan lebih 3,000 yang lain cedera.

“Demonstrasi ini telah berubah daripada satu cara menyatakan kebebasan bersuara yang bertamadun kepada konfrontasi yang dikesali, didorong oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja memburukkan dan mengapi-apikan keadaan.

“Tanggungjawab utama saya kini adalah membawa keselamatan dan kestabilan kepada negara ini bagi memastikan satu peralihan kuasa yang aman,” katanya.

Mubarak turut berjanji akan meminda Perlembagaan bagi mengehadkan penggal pemerintahan Presiden dan membuatkan rakyat lebih mudah memilih calon pada pilihan raya Presiden.












Obama mahu Mubarak letak jawatan sekarang


WASHINGTON 2 Feb. - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama memberitahu Presiden Hosni Mubarak, Mesir perlu memulakan peralihan kuasa sekarang, sekali gus membayangkan pengumuman pemimpin itu untuk tidak bertanding pada pilihan raya September ini, masih belum mencukupi.

Obama bercakap demikian kepada Presiden Mesir itu malam tadi melalui satu perbualan telefon yang panjang sejurus Mubarak mengumumkan hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya Presiden negara itu, melalui satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen.

"Saya menyatakan kepercayaan saya kepada beliau (Mubarak) bahawa satu peralihan kuasa terancang, bermakna dan aman perlu dilakukan sekarang," katanya.

Kenyataan Obama itu yang disiarkan secara langsung dari White House, sebagai satu cubaan untuk meyakinkan Mubarak supaya meletak jawatan lebih awal.



















ElBaradei kecam kenyataan Hosni


KAHERAH 2 Feb. - Tokoh pembangkang Mesir, Mohamed ElBaradei menyifatkan Presiden Hosni Mubarak gagal memenuhi kehendak rakyat dan 'jaminannya' untuk tidak bertanding pada pilihan raya Presiden nanti, hanyalah satu penipuan semata-mata.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan dan bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) itu berkata, Mubarak akan menjadi 'Presiden yang pincang dan ditimpa malang' sekiranya beliau tetap tidak mahu berundur.

"Beliau malangnya akan memanjangkan lagi penderitaan dalam tempoh enam hingga tujuh bulan lagi. Beliau terus memecah belahkan negara. Beliau membuatkan rakyat terus marah dan ia boleh berakhir dengan keganasan," katanya dalam satu wawancara dengan CNN.

Elbaradei yang muncul sebagai reformis Mesir turut menggelar Mubarak sebagai 'seorang diktator yang tidak mahu mendengar suara rakyat'.

Katanya, tindakan Presiden itu yang mengumumkan keenggannya untuk berundur 'jelas satu penipuan semata-mata'.

"Sesiapa pun yang menasihat Mubarak, orang itu memberi nasihat yang salah kepada beliau. Beliau hanya perlu berundur," katanya.

Sementara itu, parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin mengecam kenyataan Mubarak yang tidak akan bertanding pada pilihan raya Presiden akan datang dengan alasan mahu memantau peralihan kuasa dalam keadaan aman.

Jurucakap parti tersebut, Mohammed Mursi berkata, tawaran itu langsung tidak memenuhi kehendak seorang pun daripada rakyat Mesir. - Reuters

Selasa, 1 Februari 2011

ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden


PARA ulama (berserban) menyertai ribuan rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam



KAHERAH 1 Feb. – Reformis Mesir, Mohamed ElBaradei hari ini berkata, beliau tidak berhasrat menjadi Presiden Mesir tetapi sedia mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya dilaksanakan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.

“Sekiranya rakyat sebulat suara mahu saya mengetuai kerajaan sementara, saya sedia melakukannya,” kata aktivis demokrasi itu kepada akhbar Britain, The Independent hari ini.

Elbaradei yang muncul sebagai tokoh pemimpin pembangkang utama Mesir turut mengulangi desakan supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan jika mahu selamat.

“Apabila sesuatu rejim mengundurkan polis dari jalan-jalan, apabila pasukan polis dicemari samseng, cuba memberi gambaran bahawa tanpa Mubarak negara akan bergolak, ini adalah satu tindakan jenayah. Seseorang perlu bertanggungjawab.

“Orang ramai kini bukan sahaja menuntut pengunduran Mubarak. Mereka mahu beliau dibicarakan. Sekiranya beliau mahu selamat, Mubarak perlu berundur menjelang hari Jumaat ini,” katanya.

Sementara itu, Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan ElBaradei dan menyokong pemimpin pembangkang itu bagi mengetuai kerajaan perpaduan Mesir.

Parti tersebut menerusi kenyataan yang dibuat di laman webnya hari ini berkata, ia juga tidak mahukan jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru nanti, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada kepimpinan akan datang.

“Kemahuan kami adalah kehendak rakyat. Kita perlukan satu rejim baru sekarang.

“Kami menghormati Elbaradei. Beliau adalah individu paling berpotensi untuk mencapai hasrat ini,” kata ketua cawangan Ikhwanul Muslimin di utara Kaherah, Helmi Gazzar.

Ikhwanul Muslimin dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk menubuhkan satu jawatankuasa politik dengan Elbaradei bagi rundingan dengan pihak tentera.

Parti itu malam tadi turut menyeru tunjuk perasaan diteruskan di seluruh negara sehingga Mubarak tunduk kepada desakan meletak jawatan.







Hosni akan berundur pada pilihan raya akan datang







KAHERAH 2 Feb. – Presiden Hosni Mubarak dalam ucapannya semalam berkata, dia akan berundur pada pilihan raya yang dijadualkan pada September akan datang.

Bagaimanapun beliau akan terus berada di pejabatnya untuk bertemu para penunjuk perasaan bagi memenuhi tuntutan mereka sepanjang tempoh itu, lapor televisyen Arab.

Laporan berita itu bagaimanapun tidak menyebutkan sumbernya.















Tentera Mesir jamin tidak lepaskan tembakan


KAHERAH 1 Feb. - Pasukan tentera Mesir memberi jaminan tidak akan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membantah secara aman, ketika orang ramai meneruskan kempen bantahan untuk menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak hari ini.

Pihak berkuasa tentera yang dilihat mahu mengekalkan sistem ketenteraannya yang berusia 60 tahun berbanding kepimpinan Presiden, malam tadi mengeluarkan satu kenyataan menyifatkan tuntutan penunjuk perasaan sebagai 'sah' dan berjanji tidak akan menggunakan kekerasan ke atas mereka.

Langkah pasukan tentera yang membantu Mubarak memerintah pada 1981, dilihat seolah-olah sedang menimbang untuk mengubah kesetiaannya daripada kerajaan serta membenarkan bantahan terus dijalankan penunjuk perasaan.

"Pasukan tentera tidak akan menggunakan kekerasan sebagai jalan terakhir terhadap rakyat.

"Pihak tentera yang sedar dengan kemahuan rakyat akan terus menjalankan tanggungjawab melindungi negara dan rakyat serta menegaskan kebebasan bersuara secara aman adalah hak semua individu," menurut tentera dalam kenyataan rasmi pertamanya semalam.

Pasukan tentera bersama kereta kebal dikerahkan berkawal di jalan-jalan sejak Jumaat lalu apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan.

Tidak seperti polis, anggota tentera dilihat lebih sabar dengan membiarkan penunjuk perasaan menyatakan kemarahan mereka terhadap pemerintahan diktator Mubarak dan kemiskinan negara.

Sehingga malam tadi, kira-kira 140 orang dilaporkan maut sepanjang demonstrasi berlangsung di seluruh negara.

Mubarak malam tadi turut mengumumkan pelantikan Kabinet baru yang menyaksikan sebahagian besar menteri-menterinya tidak berubah.

Tindakan Presiden untuk meredakan kemarahan ramai juga tidak berkesan selepas penunjuk perasaan terus menolak pembaharuan demi pembaharuan yang dilaksanakan beliau.

"Tuntutan kami jelas. Kami mahu Mubarak dan orang-orangnya berundur. Sebarang pendekatan selain perkara itu tidak akan memberi kesan," kata penunjuk perasaan, Omar el-Demerdash.