OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Isnin, 11 April 2011

Peralihan kuasa KM pasti berlaku


Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Rakyat Bersama Pemimpin di Stadium MBKS, Kuching, Sarawak, malam tadi.


KUCHING 10 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersetuju untuk berundur daripada jawatan itu pada masa sesuai selepas pilihan raya negeri akan datang.

Perdana Menteri berkata, perubahan kepimpinan negeri itu akan dilakukan secara terancang demi menjamin kestabilan politik di negeri berkenaan dan seluruh negara secara amnya.

Namun, katanya, rakyat perlu bersabar dengan pelan peralihan kuasa itu dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa memainkan isu kepimpinan Abdul Taib yang kononnya terlalu lama mentadbir negeri ini.

“Saya sudah berunding dengan Ketua Menteri Sarawak, memang dia sudah bersetuju untuk melakukan perubahan kepimpinan di negeri Sarawak.

“Percayalah kepada saya, pada waktu sesuai, perkara (peralihan kuasa) ini akan kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rakyat Bersama Pemimpin di sini malam ini.

Dalam pada itu, katanya, isu pentadbiran yang terlalu lama sebenarnya mencerminkan corak kepimpinan di kalangan ketua beberapa parti pembangkang di negara ini.

Sebagai contoh, katanya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini telah 42 tahun berada dalam politik sementara pengerusi parti itu, Karpal Singh pula telah berusia 72 tahun.

Selain itu, katanya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Menteri Besar Kelantan kini sudah berumur 80 tahun.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) juga sudah tua tetapi tidak mahu mengaku tua, mana boleh seorang yang banyak masalah mahu menjadi Ketua Pembangkang atau Perdana Menteri.

“Beliau (Anwar) juga banyak menipu rakyat dengan pelan membentuk kerajaan pada 16 September (2008), sebenarnya Yang di-Pertuan Agong juga tidak tahu mengenai hal itu, penipu tidak boleh jadi pemimpin,” tegasnya.









Anwar berang




KUCHING 10 April – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini berang ketika ditanya pemberita mengenai jam tangan Omega yang berhubung kait dengan video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Sama seperti isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anwar dilihat tidak mampu mengawal emosi pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini apabila ditanya mengenai jam tangan tersebut.

Beliau sebaliknya menyalahkan media kerana bertanyakan soalan itu yang disifatkannya tidak ada kaitan dengan sidang akhbar yang diadakan.

“Kenapa jam ini ada kaitan dengan sidang akhbar ini? Isteri saya telah menjawab mengenai isu ini. Mengapa saya perlu jawab, nanti anda akan tanya pula sama ada saya mengunjungi hotel dan hotel mana,’’ katanya.

Menjawab soalan wartawan itu lagi, Anwar berkata, beliau tahu soalan itu bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia melaporkan yang beliau gagal menjawab mengenai isu tersebut.

Anwar pada masa yang sama mendakwa polis masih belum memintanya untuk menyerahkan jam tangan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes video berkenaan.

Kata Anwar, beliau mahu polis untuk menanya dan mengambil sendiri jam tangan itu.

‘‘Anda tanya ada polis minta? Saya beritahu polis tak minta. Biar polis yang menanya. Mengapa saya perlu menjawab mengenai soal ini? Biar polis yang buat,” katanya.








45% TVi dari Sarawak, Sabah


Rais Yatim, Awang Tengah Ali, Sapawi Ahmad dan Joseph Salang menunjukkan 1Malaysia selepas pelancaran TVi di Kuching, semalam. – BERNAMA


KUCHING 10 April – TV Interaktif (TVi), saluran televisyen 24 jam khas untuk Sarawak dan Sabah, memulakan siarannya melalui saluran Astro 180 hari ini, dengan sasaran tidak kurang 45 peratus kandungannya adalah dari kedua-dua negeri berkenaan.

Semasa merasmikan pelancaran TVi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkhidmatan itu diwujudkan hasil kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.

Katanya, isu-isu, berita dan rancangan terkini yang melibatkan remaja juga akan dijadikan keutamaan.

“Kebanyakan isiannya mengenai Sabah dan Sarawak. Hanya sesegmen kecil dari punca-punca lain. Tetapi ini tidak bermakna berita asas-asas nasional tidak diberi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian saluran itu di Auditorium RTM di sini.

Beliau berkata, sebagai permulaan iaitu selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak, kementerian akan membekalkan 2,000 alat dekoder untuk penduduk di pedalaman supaya golongan itu turut dapat menikmati program-program saluran tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Awang Ali dan Exco Penerangan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

Sementara itu, Rais yakin rakyat Sarawak tetap akan bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi pilihan raya negeri 16 April ini.

Rais berkata, ini berdasarkan pemerhatiannya sekian lama, rakyat Sarawak adalah golongan yang tidak lupa budi.

Apabila ditanya mengenai suasana pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ini, Rais secara berseloroh berkata: “Saya tak fikir ada tsunami apa-apa, sebab gunung berapinya tidak ada. Ia cukup damai.’’












18,363 tunai undi pos

KUCHING 10 April - Seramai 18,363 pengundi pos di Sarawak akan menunaikan tanggungjawab mereka menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri ini pada Rabu dan Khamis ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Datuk Takun Sunggah berkata, proses pengundian pos bagi polis diadakan pada Rabu (13 April) manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Rabu dan Khamis ini.

"Undi pos ini akan dikeluarkan esok manakala bagi pelajar di luar negara yang seramai 34 orang, kertas undi akan dihantar melalui Pos Malaysia," katanya kepada pemberita di hangar Hornbill Skyways di sini hari ini.

Takun dalam pada itu berkata, beliau menjangkakan keputusan pengundian di 1,739 pusat mengundi akan dapat diketahui sebelum pukul 11 malam 16 April.

Selain itu katanya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya poster Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri dipasang di 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, ini kerana mereka merupakan pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional (BN) yang bertanding di setiap kawasan.

"Ia berbeza dengan pihak pembangkang yang tidak merupakan satu gabungan yang berdaftar dengan SPR.

"Sebagai contoh, DAP hanya boleh menggantung poster parti dan pemimpin di 15 kawasan yang mereka tandingi. Kawasan lain tidak boleh," katanya.