OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Khamis, 18 November 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA DAN SELAMAT BERCUTI

Penulis, Tuan Haji Haziq Ahmad Zaki Bin Mohamad Zulkipli Al - Waslie





Kepada semua Rakyat Malaysia sekalian, penulis weblog ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha dan Selamat Bercuti sekolah kepada semua pelajar sekolah - sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA DAN SELAMAT BERCUTI!

Ahad, 14 November 2010

Suu Kyi berucap hadapan penyokong

AUNG SAN SUU KYI





YANGON 14 Nov. - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dibebaskan semalam selepas menjalani tahanan di rumah selama tujuh tahun, hari ini memberitahu penyokongnya yang beliau akan terus memperjuangkan hak asasi kemanusiaan serta kedaulatan undang-undang di negara yang diperintah junta tentera ini.

Suu Kyi berucap buat kali pertama di hadapan 5,000 penyokongnya di ibu pejabat parti politiknya yang juga lokasi pertama beliau selepas dibebaskan dari sebuah kediaman di tepi tasik yang menjadi tempat tahanannya.

"Saya percaya dengan hak asasi kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang. Saya akan sentiasa berjuang untuk dua perkara ini.

"Saya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang menyokong demokrasi dan saya juga perlukan sokongan rakyat," kata penerima Hadiah Nobel Keamanan tersebut.

Ikon demokrasi tersebut sebelum itu dilihat memasuki kawasan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) ketika penyokong-penyokongnya menjerit 'Kami sayang Suu Kyi' disusuli tepukan gemuruh orang ramai.

Di dalam kawasan NLD, beliau bertemu diplomat-diplomat yang bertugas di Yangon sebelum dijadual berjumpa media, menghadiri majlis pengebumian seorang teman rapat dan mengunjungi kuil suci Shwedagon di bandar.

"Pembebasan ini dibuat tanpa syarat. Tiada sebarang sekatan dikenakan ke atasnya," kata peguam Suu Kyi, Nyan Win.

Selepas pembebasan pemimpin NLD itu, spekulasi mula timbul menyatakan beliau mungkin menggunakan peluang tersebut untuk mencabar pemerintahan junta tentera atau pun memilih untuk berdamai.

Dalam ucapannya, Suu Kyi tidak berucap dalam nada lantang apabila bercakap tentang hasrat mencapai perdamaian selain menyatakan beliau tidak menyimpan dendam terhadap individu yang bertanggungjawab menyebabkannya ditahan selama lebih 15 tahun sejak 1990.









Berbasikal tunai haji


IMTIYAZ (kiri) dan Nathim bergambar bersama basikal yang mereka naiki dari Cape Town semasa tiba Mekah. - Agensi


JEDDAH 14 Nov. - Imtiyaz Ahmad Haron dan Nathim Cairncross meninggalkan Cape Town, Afrika Selatan pada Februari lalu dan tiba di Mekah untuk menunaikan haji selepas berbasikal ke kota suci ini selama sembilan bulan.

Kedua-dua mereka menempuh 12 negara dalam perjalanan sejauh beribu-ribu kilometer sebelum tiba di sempadan Arab Saudi pada penghujung bulan lalu, tiga minggu lebih awal sebelum ibadat haji bermula.

Imtiyaz, 25, dan Nathim, 28, merancang pengembaraan haji mereka ini sejak Disember tahun lalu tidak lama selepas mendapat inspirasi daripada cerita perjalanan jemaah-jemaah haji sebelum mereka.

"Jika saya bekerja keras untuk mencapai sesuatu, di penghujungnya ia adalah lebih manis dan lebih dihargai. Selepas sembilan bulan berbasikal merentasi Afrika dan Asia Barat, saya sangat menghargai pengalaman ini," kata Nathim kepada wartawan Al-Jazeera.

Perjalanan mereka bermula pada pagi 7 Februari sewaktu hari hujan dari sebuah masjid Cape Town, di mana hampir 500 orang berkumpul untuk mengadakan majlis doa selamat buat mereka.

Katanya, mereka bukan pengayuh basikal profesional, namun menjalani latihan fizikal dengan meningkatkan senaman iaitu mendaki gunung, berlari di pantai dan berenang kira-kira dua bulan sebelum bertolak.

Imtiyaz berkata, rakan-rakan mereka yang lain membantu merancang perjalanan mereka dan khidmat jabatan lalu lintas Afrika Selatan, menyelidik keperluan visa.

Doktor mendiagnosnya dan Nathim sebagai 'gila', katanya.

''Seolah-olah satu rahmat apabila menjejakkan kaki di Mekah dan tawaf mengelilingi Kaabah dengan ihram yang basah akibat hujan.'' tambahnya.









Semua sepakat


Muhyiddin Yassin berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Yokohama, kelmarin. – Bernama


YOKOHAMA 14 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia melihat petanda amat baik terhadap masa depan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) apabila semua negara anggota mempunyai kata muafakat untuk mengukuhkan integrasi serantau dengan pertumbuhan ekonomi yang berkualiti.

Menyimpulkan sidang kemuncak ke-18 kali ini sebagai berjaya mencapai matlamatnya, Timbalan Perdana Menteri menambah, sepanjang dua hari mesyuarat beliau melihat penglibatan ketua kerajaan yang aktif dengan masing-masing menyuarakan pandangan serupa tentang hala tuju dan masa depan APEC.

“Untuk menghadapi cabaran masa depan yang lebih besar, negara anggota juga menyeru supaya usaha terus dilakukan bagi mengukuhkan kemakmuran dan kesejahteraan rantau ini melalui usaha meliberalisasi dan mempermudah perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir Sidang Kemuncak APEC bertemakan Perubahan dan Tindakan di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem

Muhyiddin yang tiba pada Khamis lalu turut menyampaikan ucaptama pada seminar Invest Malaysia 2010 di Tokyo selain mengadakan mesyuarat bilateral dengan Kanada dan Chile.

Beliau turut menyaksikan penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Chile selain mengadakan mesyuarat bilateral dengan Kanada serta bertemu pengurusan kanan Microsoft dan konglomerat kewangan dan perbankan Jepun, Kumpulan Nomura.

Timbalan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berlepas pulang ke tanah air petang ini.

Muhyiddin berkata, mesyuarat juga berpuas hati terhadap laporan kemajuan Matlamat Bogor yang menyasarkan negara maju mencapai matlamat perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka pada 2020 manakala negara membangun pada tahun ini.

Menurutnya, mesyuarat menyatakan 13 negara termasuk Malaysia yang secara sukarela menyertai komitmen itu telah menunjukkan kemajuan signifikan bagi mencapai Matlamat Bogor yang disepakati pada 1994.

Malaysia, tambah Muhyiddin, akan meneruskan langkah liberalisasi sama ada di peringkat bilateral atau multilateral melalui Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) mahupun Perkongsian Trans Pacifik (TPP) yang dibincangkan secara spesifik dalam mesyuarat dua hari APEC itu.

Katanya, semua proses liberalisasi itu adalah selaras dengan langkah transformasi ekonomi dan kerajaan yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia sekarang.

Sehubungan itu jelas beliau, negara anggota berharap negara-negara yang masih mengamalkan dasar perlindungan supaya mengambil langkah lebih konkrit demi kepentingan bersama rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia yang dialu-alukan pada sesi Mesyuarat Pemimpin TPP dihoskan oleh Presiden Barack Obama atas inisiatifnya menyertai rundingan perdagangan bebas itu, berharap kemajuan besar boleh dicapai sebelum sidang kemuncak di Amerika Syarikat tahun depan termasuk hasil Pusingan Doha yang tertangguh sejak 2011.

Beberapa negara termasuk Jepun menghadapi masalah untuk menyertai rundingan TPP kerana ia mendapat bantahan daripada industri pertaniannya. Pusingan Doha yang tertangguh pula telah menghambat proses liberalisasi.

Begitupun kata Muhyiddin, liberalisasi yang diperjuangkan oleh APEC telah mencapai tahap memberangsangkan dengan dagangan barangan negara anggota berkembang sebanyak 7.1 peratus setahun.

Begitu juga dari pelaburan asing jelasnya, meningkat berkali ganda kepada 13 peratus setahun sejak 1994.

“Tarif bagi negara anggota menurun daripada 10.8 peratus kepada 6. 6 peratus pada 2008. Ke depan kita mengharapkan integrasi APEC menjadi lebih kukuh dengan sesama anggota saling membantu bagi membentuk rantau yang dinamik,” katanya.










Kerajaan sedia timbang peristiwa 13 Mei diingati

YOKOHAMA 14 Nov. - Kerajaan sedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan peristiwa hitam 13 Mei sebagai hari yang diperingati, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan setakat ini belum lagi menerima cadangan atau memikirkan soal itu.

Muhyiddin berkata, daripada laporan blog yang dibacanya sesetengah pihak melihat peristiwa itu satu titik hitam manakala dalam perspektif berbeza ada yang menyifatkannya sebagai baik seperti diamalkan oleh banyak negara,

"Di sesetengah negara hal-hal seperti ini dilihat dalam perseptif berbeza, tidak melihat kepada perkara negatif tetapi sebagai usaha untuk meningkatkan kerjasama, perpaduan dan mengelakkan perselisihan.

"Apa pun kita serah kepada pihak-pihak tertentu kalau mereka fikir ini satu yang baik, kerajaan boleh timbangkan," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.

Walaupun cadangan itu dibantah oleh pakatan pembangkang yang membuat laporan polis kerana menyifatkannya sebagai hasutan tetapi ramai pihak menyokongnya kerana ia langkah positif untuk mengukuhkan perpaduan.









UMNO Selangor desak Abdul Khalid letak jawatan

PETALING JAYA 14 Nov. – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Yayasan Selangor berikutan kegagalannya untuk memantau pembaziran yang dilakukan oleh pengurusan badan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Abdul Khalid tidak layak memimpin yayasan itu kerana beliau hanya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk melakukan apa sahaja tanpa perlu memaklumkan kepadanya.

‘‘Abdul Khalid telah memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa beliau tidak diberitahu mengenai majlis sambutan ulang tahun ini dan kos yang terbabit.

‘‘Kami amat kesal dengan kenyataan seperti ini. Beginikah cara kita mentadbir sebuah yayasan kerajaan negeri apabila menyerahkan kepada pegawai hendak buat apa yang mereka suka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-58 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Selangor di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud memaklumkan Sultan Sharafuddin telah membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Isnin ini kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya yang melebihi RM300,000.

Menurut Ramli, Sultan Selangor menyifatkan kos yang amat tinggi itu sebagai pembaziran dan berpendapat wang itu lebih berfaedah jika digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan golongan kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, Noh berkata, beliau turut kesal dengan kebiadapan Abdul Khalid yang merujuk Sultan Sharafuddin dengan ganti nama ‘beliau’ pada satu sidang akhbar semalam dan ia telah disiarkan menerusi Buletin Utama TV3, malam tadi.

‘‘Kita telah diajar di sekolah supaya menggunakan perkataan patik bagi merujuk kepada diri sendiri dan memanggil sultan dengan ganti nama baginda atau tuanku. Apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid jelas sekali bertentangan dengan budaya Melayu.

‘‘Inilah akibatnya apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlampau asyik berkawan dengan DAP sehingga lupa adat budaya kaum kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh tetap mempertahankan kenyataannya semalam bahawa kos sebenar penganjuran majlis sambutan ulang tahun itu adalah melebihi RM800,000.

‘‘Saya difahamkan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki semalam telah membuat penafian dengan menyatakan bahawa kos penganjuran hanya RM285,000, jadi kita akan serahkan bukti kepada pihak yang akan melakukan audit terhadap pengurusan dan kewangan yayasan ini.









Pas jangan mimpi ganti UMNO

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pas usah bermimpi untuk menggantikan UMNO sebagai parti pilihan bagi orang Melayu selagi ia gagal menjadi parti yang dominan di dalam pakatan pembangkang.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, realitinya Pas tidak sekuat UMNO kerana parti itu bukannya berperanan sebagai ‘tulang belakang’ pakatan pembangkang sebaliknya hanya menjadi ‘pak turut’ kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, berbanding UMNO meskipun parti itu menjalinkan kerjasama dengan MCA, MIC serta parti-parti komponen lain, ia telah diiktiraf sebagai parti tunjang kepada BN.

‘‘Inilah hakikat yang berlaku. Pas hanya sekadar pak turut kepada DAP dan PKR. Mereka tidak boleh buat apa-apa sekiranya mereka terus gagal menjadi parti dominan di dalam pakatan pembangkang.

‘‘Apa yang orang Melayu boleh harapkan kepada Pas jika peranan parti itu di dalam pakatan pembangkang tidak sehebat DAP dan PKR. Saya percaya orang Melayu yang rata-ratanya berpendidikan boleh membuat penilaian yang terbaik tentang perkara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas seminar yang dianjurkan oleh Pas bertajuk ‘Pas Sedia Ganti UMNO’ yang telah dirasmikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Shah Alam, semalam.

Di dalam ucapan perasmiannya Abdul Hadi antara lain telah membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap UMNO.

Nakhaie berkata, semua pihak harus sedar DAP yang kini rakan sekutu kepada Pas serta PKR tidak akan menerima perjuangan Islam sampai bila-bila.

‘‘Pemimpin-pemimpin Pas yang naif sahaja yang mahu bersahabat dengan DAP,’’ katanya lagi.

Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Pas perlu melupakan hasratnya untuk menggantikan UMNO kerana ternyata parti itu sehingga kini gagal menjadi sebuah parti alternatif terbaik bagi orang Melayu.

Selain faktor bersahabat dengan DAP beliau berkata, faktor kegagalannya menjadikan Kelantan sebagai negeri berteraskan Islam juga perlu diambil kira.

‘‘Cuba kita lihat di Kelantan. Pemerintahannya telah masuk tahun yang ke-20 tetapi apa yang kita perhatikan maksiat dan perbuatan keji masih berlaku di negeri berkenaan.

‘‘Sekiranya mereka berjaya menerapkan nilai-nilai Islam saya percaya maksiat tidak berlaku di Kelantan. Perkara-perkara keji tidak berlaku di Kelantan. Adakah mereka gagal mendapat keberkatan daripada Allah?’’ katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana Islam di kalangan pemimpin Pas Kelantan hanya dalam bentuk luaran sahaja tetapi dari segi akhlak dan peribadi langsung tidak mencerminkan sedemikian.

‘‘Sebagai contoh maki hamun dan sumpah seranah yang sering keluar di mulut pemimpin-pemimpin Pas. Jelas, ini bukan akhlak Islam,’’ katanya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata, hakikat politik ketika ini sebahagian besar orang Melayu merupakan penyokong UMNO.

Ditanya mengenai pelbagai tuduhan Abdul Hadi di dalam ucapannya itu termasuk mengatakan UMNO tidak bersolat, Mahmood Zuhdi berkata itu merupakan kenyataan daripada orang kecewa.










22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MEKAH 14 Nov. - Seramai 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci manakala 85 masih dirawat di hospital menjelang jemaah haji dari seluruh dunia mula bergerak ke Arafah hari ini untuk berwukuf di Arafah esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun tidak memberikan pecahan jemaah lelaki dan wanita yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memaklumkan kematian mereka kepada keluarga masing-masing sambil menambah bahawa mereka sakit sebelum meninggal dunia.

Bercakap kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah selepas meninjau operasi TH Mekah di Hotel Al-Janadriyyah petang semalam, Jamil Khir berkata TH akan membayar dam haji sebagai penghormatan kepada jemaah yang meninggal dunia bagi menyempurnakan haji mereka.

Dalam tinjauan itu, beliau disertai Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa"ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail. Taklimat disampaikan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abdul Mubin mengenai persiapan agensi itu menghadapi wukuf.

Jamil Khir berkata empat jemaah yang meninggal dunia berumur 80 tahun ke atas; 70-79 tahun (lapan orang); 60-69 tahun (empat orang); dan 50-59 tahun (enam orang).

"Lapan puluh lima jemaah yang sakit tidak akan dihalang dari mengerjakan rukun haji. Mereka akan dibawa terus dengan ambulans ke Arafah dan dibantu urusan melontar jamrah serta tawaf haji dan saie haji," katanya.

Jamil Khir berkata, 71 orang dirawat di dua hospital Malaysia dan 14 lagi di hospital Arab Saudi di Madinah dan Mekah.

Mereka yang dirawat terdiri daripada 46 lelaki dan 39 perempuan. Kebanyakan mengalami penyakit kulit dan sendi dan batuk.

Katanya, 28 jemaah yang lemah daya ingatan, kelainan upaya atau uzur akan dibantu secara satu pesakit satu petugas TH sehingga selesai mengerjakan rukun haji.

"Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat....marilah sama-sama berdoa agar semua jemaah kita kuat dari segi mental dan fizikal supaya ibadah mereka lengkap dan mendapat haji mabrur," kata Jamil Khir.









Media dihalang buat liputan Sultan Kedah

ALOR SETAR 14 Nov. – Beberapa petugas media termasuk jurugambar Utusan Malaysia hari ini dihalang daripada membuat liputan perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet 2011 oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah.

Wartawan Utusan bagaimanapun berjaya untuk membuat liputan tersebut dan tidak menghadapi sebarang halangan membuat liputan pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sesi sebelah petang.

Mereka yang dihalang ialah jurugambar Utusan, Halim Khalid, krew berita TV3, krew berita RTM, jurugambar Berita Harian dan Wartawan Kanan Malaysiakini, Susan Loone.

Semua mereka dihalang masuk ke Wisma Darulaman yang menempatkan DUN oleh para pengawal keselamatan di pintu masuk bangunan berkenaan pada kira-kira pukul 8.50 pagi.

Menurut Halim, beliau dihalang masuk sebaik saja memperkenalkan diri sebagai jurugambar dari Utusan Malaysia.

Katanya, pengawal berkenaan memberitahunya akhbar Utusan Malaysia tidak ada dalam senarai media yang dijemput untuk membuat liputan persidangan berkenaan oleh kerajaan Pas Kedah.

Susan pula memberitahu, beliau terperanjat dengan larangan itu kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid kesal dan kecewa dengan tindakan itu sambil menyifatkan ia telah menafikan hak Sultan Kedah untuk menyampaikan titah ucapan kepada seluruh rakyat negeri ini melalui liputan media massa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu berkata, ucapan Sultan itu amat penting bagi seluruh rakyat jelata negeri ini yang ternanti-nanti amanat yang hendak disampaikan oleh baginda.

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negeri yang mengamalkan demokrasi,” katanya pada sidang akhbar di luar pagar Wisma Darulaman bersama-sama semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar kerana liputan media patut diberikan secara menyeluruh.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, tindakan itu jelas menggambarkan sikap sebenar kerajaan Pas Kedah.





Zaid tidak tolak kemungkinan keluar PKR

15/11/2010 12:49pm

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim hari ini tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan itu masih dalam pertimbangan.

"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi,” katanya menerusi SMS kepada Bernama, di sini.

Akhbar The Star hari ini melaporkan, bekas calon timbalan presiden PKR itu telah membuat keputusan untuk keluar parti, dengan mengatakan bahawa beliau telah muak dengan pergolakkan dalaman parti.

Zaid juga dilaporkan berkata, bahawa “beliau tahu masanya sudah suntuk untuk terus berada dalam PKR ekoran serangan bertali arus ke atas peribadinya oleh pemimpin-pemimpin parti”.







Otak Politik Lee Kuan Yew

Oleh ZAINI HASSAN

SAYA amat tertarik membaca temasekreview.com - blog mengenai Singapura yang setaraf The Malaysian Insider. Ia amat kritikal terhadap kerajaan, parti pemerintah negara itu, terutamanya terhadap menteri mentornya, Lee Kuan Yew, 87.

Ada entrinya berkisar mengenai Lee Kuan Yew (singkatan: LKY atau di republik itu dikenali sebagai MM Lee) yang dikatakan pernah membuka dan menawarkan hak penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan kepada 'bakat-bakat dari luar' terutamanya terdiri daripada rakyat China dari Republik Rakyat China.

Strategi beliau mungkin untuk mempastikan penguasaan 75 peratus rakyat Cina Singapura dan juga berusaha meningkatkan keturunan India di republik itu. Mungkin LKY sedang merancang untuk memastikan orang Cina jenis PAP terus menguasai pulau itu untuk selama-lamanya.

Dari segi geopolitik, rancangan LKY itu cukup sempurna dan amat baik sekali. Orang yang diberi taraf itu sudah tentu akan terhutang budi dan memastikan PAP terus berkuasa.


Ia sama seperti apa yang dilakukan semasa zaman Tunku Abdul Rahman yang menganugerahkan hak kewarganegaraan tanpa syarat kepada lebih sejuta orang Cina dan India pada masa itu. Orang Melayu di zaman itu sanggup mengurangkan majoriti mereka dari 80 peratus kepada 60 peratus - yang kesannya kekal sehingga ke hari ini.

Tidak pasti apakah strategi LKY juga meliputi usaha untuk meningkatkan orang Melayu melalui pemberian hak kewarganegaraan dan PR kepada keturunan dari kepulauan Melayu (the Malays jungle) yang mengelilingi negara pulau itu?

Namun, melihatkan senario di atas kertas, ia mustahil akan berlaku?

Mengikut sejarahnya, penduduk asal Singapura atau Temasik adalah terdiri daripada keturunan Melayu, Bugis, Jawa, Boyan dan spesies etnik lain dari alam nusantara ini.

Di masa strategi itu amat dipuji oleh saintis politik sebagai bijak, ia sebaliknya tidak berlaku di negara seberang tambak, Malaysia.

Geopolitik di Malaysia menjadi sebaliknya. Penguasaan orang Melayu yang menjadi induk kuasa negara itu semakin terhakis. Di sesetengah negeri yang dikuasai pembangkang, kuasa bangsa dominan negara ini sudah hilang. Di Selangor yang kononnya diperintah oleh orang Melayu, tangan-tangan ghaibnya ialah orang lain, begitu juga di Perak dulu (sebelum diambil alih) dan tidak perlu cakaplah di Pulau Pinang - ia 100 peratus bukan hak puak dominan negara ini.

Tidak pasti apakah kerajaan Malaysia pun melakukan strategi yang sama seperti LKY dengan memberi banyak PR dan kewarganegaraan kepada rakyat yang seketurunan dengannya?

Apakah itu boleh berlaku? Sekarang pun sudah ada usaha di kalangan hantu-hantu raya yang mahu hubungan Malaysia dan Indonesia, yang mempunyai lebih 250 juta umat yang bercakap bahasa Melayu, diperkotak-katikkan.

Apakah ada pihak yang amat-amat takut sekiranya hubungan Malaysia dan Indonesia menjadi begitu akrab? Presiden Susilo (SBY) sebenarnya amat maklum mengenai perkara itu. Beliau tahu dari segi geografi politik serantau, kuasa Malaysia dan Indonesia amat besar dan berharga.

Kedua-dua kuasa itu jika digabungkan secara strategik, tersusun dan terancang akan menjadi kuasa ekonomi dan kuasa politik yang amat besar. Hal itu turut diakui oleh Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

Malaysia dan Indonesia jika digabungkan atas semangat serumpun berjumlah lebih suku bilion. Ia adalah satu demokrasi terbesar di rantau Asia Tenggara. Ia bercakap satu bahasa, dan mengamalkan agama yang sama serta sedikit sebanyak mengamalkan adat resam dan budaya yang sama.

Berbalik kepada otak LKY itu, strategi beliau itu amat baik untuk Singapura. Republik itu mahu memastikan penguasaan Cina di negara pulau itu terus kekal, terutamanya dalam pilihan raya negara itu akan datang. Lebih daripada itu, LKY mahu pastikan partinya PAP terus berkuasa selama-lamanya.

Jika di Malaysia - sudah banyak orang Melayu dan DAP (parti adik-beradik PAP) mahu melenyapkan BN dan UMNO dalam pilihan raya akan datang. Tapi untuk republik itu, DAP mahu PAP terus memerintah?

DAP dikatakan amat akrab dengan PAP, yang turut difahamkan menjadi penasihat kepada kerajaan Pulau Pinang.

Apakah Singapura yang selama ini amat berjaya mengekang penguasaan politik pembangkang di negara itu sudah mulai bimbang? Di atas kertas sekali lagi, parti politik pembangkang di Singapura tidak sebebas di Malaysia.


Di republik itu, tidak ada pemimpin pembangkang yang berani angkat muka - tidak seperti yang kita alami di Malaysia sekarang. Jika angkat muka, mereka akan disaman sehingga bangkrap.

Nampaknya, dari segi demokrasi, kita amat bebas. Internet bebas kata apa sahaja, pembangkang bebas kata apa sahaja, pembangkang juga bebas menyaman mana-mana media arus perdana yang cuba mengancam atau mengkritiknya. Itulah juga yang dilakukan oleh LKY ke atas media asing, membabitkan saman bernilai multi-juta dolar.

Kita di Malaysia memang terkenal cukup bebas. ISA pun kini jarang-jarang digunakan kerana ia tidak demokratik. Cuit minggu lalu yang menyokong ISA telah dihentam oleh The Malaysian Insider dengan memetik pelbagai suara pembangkang. Kata mereka saya cuba mengapi-apikan rakyat.

Nampak gayanya pihak pembangkang di Malaysia kini cukup happy dan relaks. Malaysia cukup bebas untuk melakukan apa sahaja. Momentum mereka semakin hari semakin hebat.

Di Singapura semua di atas tidak berlaku. LKY tidak percaya kepada kebebasan mutlak. Malah seorang yang menghantar komen dalam blog itu menyifatkan PAP is totally about greed and power. Tapi, ironisnya ia diiktiraf sebagai negara yang baik dan parti yang baik oleh pihak pembangkang Malaysia, terutamanya DAP.

Dalam interview terbarunya dengan New York Times (NYT), LKY turut menceritakan kesedihan dan kekesalannya kerana dipaksa keluar (turfed out) dari Malaysia. Namun dalam kesedihan, beliau gembira kerana:

"Kami tidak seperti golongan majoriti yang menyisihkan (squeeze) minoriti, kerana semasa kami menjadi majoriti, kami telah memastikan apa sahaja keturunan kamu, bahasa dan agama kamu semua setaraf... orang Melayu kami berpendidikan Inggeris, mereka bukan lagi seperti Melayu di Malaysia dan kamu boleh melihat mereka adalah yang pakai tudung kepala, tapi begitu moden sekali."

Cuit pernah menulis mengenai isu ini. Sistem politik dan pemerintahan di Malaysia dan Singapura sama sahaja, tapi ia terbalik. Di Malaysia (setakat ini) Melayu yang menguasai birokrasi kerajaan, sebaliknya di Singapura ialah kaum Cinanya. Adalah sedikit kaum India di sana yang diberi jawatan tinggi, mengatasi orang Melayu.

Tapi bagaimana pula dengan orang Melayu Singapura? Alasan popular yang mereka berikan ialah meritokrasi. Jika orang Melayu sana tidak layak, mereka tidak layak dan bukan dipinggirkan.

Tapi hakikatnya di Malaysia, Cina menguasai segala-galanya. Dalam birokrasi kerajaan, orang Cina Malaysia tidak begitu berminat menyertainya kerana mereka lebih berjaya di dalam sektor swasta yang dikuasai oleh orang Cina.

Oleh itu, Mr. MM Lee, apa bezanya dan mengapa perlu anda bersedih?

Beliau turut sedih dan kesal apabila Singapura dipaksa keluar dari Malaysia kerana jika ia tidak berlaku mungkin situasi antara kaum, katanya akan diperbaiki secara lebih holistik.

"Sekarang kita mempunyai Malaysia yang begitu berpecah-belah (polarised). Melayu, Cina dan India di sekolah yang berbeza, hidup secara berpisah dan tidak baik antara satu sama lain.... ia amat buruk untuk kami sebagai jiran terdekat."

Kita setuju dengan perkara itu. Di Singapura, LKY pastikan tiada sekolah Cina dan India, tapi di Malaysia kami membenarkan ia wujud, sehinggakan orang Cina Malaysia tidak mahu sistem itu diubah dan ditukar untuk selama-lamanya.

Sudah tentu Mr. MM Lee lebih arif, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sistem sekolah Cina dan Tamil.

Oleh itu, wahai Mr MM Lee, mengapa perlu bersedih? Mungkin juga beliau bersedih kerana Malaysia tidak mengikut caranya dulu menghapuskan sistem sekolah Cina dan menukarkannya kepada satu sistem kebangsaan.

LKY juga menurut blog temasekreview.com didakwa turut menggunakan sentimen berbau rasis untuk mengekalkan kuasa politiknya. Dalam wawancara itu beliau bercakap mengenai soal politik negara itu dan kebimbangannya dengan orang muda yang tidak lagi mahu bercakap mengenai kaum, bahasa dan agama.

Dalam satu petikan wawancara NYT tersebut yang dihentam oleh blog itu, LKY berkata: ''...Cara paling mudah untuk mendapatkan undi majoriti ialah: 'Undilah saya, kita orang Cina, mereka ialah orang India dan mereka ialah orang Melayu'. Maka, masyarakat kita akan berpecah. Kalau kita tiada masyarakat yang bersatu, anda tidak boleh maju."

Ternyata, kenyataan LKY itu tidak disenangi oleh rakyatnya sendiri. Mereka menuduh LKY membuat kenyataan berbau rasis, apabila beliau menyentuh mengenai ras-ras itu.

Namun hakikatnya, jika kita baca blog itu, Singapura sebenarnya bukanlah seperti yang kita sangkakan, atau yang DAP dan pembangkang di sini sangkakan.


Penentangan terhadap kerajaan PAP yang gemar bermain dengan sentimen kecinaan dan perkauman bukan semua yang suka.

Seorang pengulas memberi komen: "Mungkin dia (LKY) terlalu pesimistik... Begitu banyak negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, tidak nampak atau dengar pun mereka berpecah-belah. Biarlah optimistik sikit."

Pengulas yang lain pula menukar kata-kata LKY itu menjadi: Cara untuk mendapatkan undi ialah: 'Undi keluar PAP, Singapura untuk rakyat Singapura!"

Lebih menarik seorang lagi pengulas: "MM Lee, tolong jangan ancam kami! Adakah anda mengapi-apikan 'keganasan'. Kami orang Singapura asli adalah bersatu, walau berbeza bangsa dan agama. Orang Singapura sebenar adalah bijak, merendah diri, disiplin, ramah dan bertolak ansur...

"Apa yang kamu sebut sebagai bakat dari luar, yang kamu benarnya ke dalam negara kami yang aman ini, tidak lain hanyalah pengacau - ia hanya baik untuk PAP."

Seorang pengulas yang tidak makan dengan wawancara LKY itu menyebut, sekarang beliau tidak boleh lagi berkata, "Matahari itu berwarna hijau!"

Membaca wawancara LKY itu, kita tidak pasti apa motifnya menceritakan kesedihan beliau berhubung pemisahan Malaysia-Singapura.

Semua orang tahu, LKY seorang strategis Singapura yang hebat.

Menurut entri terbaru Tun Mahathir, chedet.com.cc: "Jika Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia, PAP pastinya akan memperkenalkan politik bukan perkauman (non-racial), kerana bersama-sama Cina Malaysia, PAP akan mendominasinya secara etnik dan menguasai politik Malaysia. Tiada penentang yang akan dibiarkan dan pastinya tiada siapa yang berani untuk bercakap apa-apa mengenai siapa yang memerintah negara itu."

Persoalannya, apakah LKY bercita-cita besar mahu melihat Malaysia-Singapura digabungkan semula?

Tidak mustahil. Jika DAP dan konco-konconya berjaya menguasai negara ini kelak, ia tidak mustahil boleh berlaku.

Pada masa itu Singapura akan menjadi Singapura Raya.

Jumaat, 5 November 2010

BN rampas semula kerusi Galas

GUA MUSANG 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi manakala calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi.

Ini merupakan kekalahan ketiga bagi Dr. Zulkefli yang sebelum ini sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum iaitu pada 2004 dan 2008 kepada Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Peratusan keluar mengundi juga meningkat iaitu 83 peratus berbanding 81.1 peratus pada 2008, manakala sebanyak 132 undi rosak.

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid di Pusat Sivik, di sini pada pukul 8.55 malam.

Selain faktor kepimpinan dan pengaruh Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas, kejayaan BN juga didorong oleh kerja keras jentera parti itu dalam tempoh 48 jam sebelum kempen berakhir.

Ia termasuk tindakan jentera BN menggempur kawasan yang dianggap kubu kuat Pas seperti Bandar Bharu, Kampung Baru dan Sungai Terah pada hari terakhir kempen.

Walaupun Pas dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba memainkan isu-isu nasional namun ia tidak mendatangkan hasil, sebaliknya Pas yang jentera partinya diketuai oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman terpaksa berhadapan pelbagai isu membabitkan pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan.

DUN Galas yang dianggap kubu kuat BN dirampas oleh Pas melalui Allahyarham Chek Hashim Sulaima pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti tipis 646 undi. Dua lagi kerusi DUN di dalam Parlimen Gua Musang adalah Paloh dan Nenggiri yang kedua-duanya milik BN.














BN kekal kerusi Batu Sapi dengan majoriti besar




SANDAKAN 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar, 6,359 undi, walaupun terpaksa berdepan dengan dua parti lawan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi mengalahkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee 2,031 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansaari Abdullah 3,414 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain pada pukul 8.33 malam di Dewan Majlis Perbandaran Sandakan di sini hari ini.

"Dengan ini saya mengumumkan Ahli Dewan Rakyat yang dipilih bagi kerusi P.185 Batu Sapi ialah Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sebanyak 372 undi rosak manakala 61.47 peratus atau 15,774 daripada 25,582 pengundi telah keluar mengundi.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah meninggal dunia pada 9 Oktober lalu setelah terbabit dalam kemalangan maut di Kota Kinabalu.

Proses pengiraan 46 kotak pembuangan undi termasuk undi pos di 12 pusat pengundian selesai pada pukul 7.45 malam sebelum pengumuman calon yang menang dibuat oleh Mohamad Hamsan.

Kemenangan Linda Tsen turut diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemimpin parti komponen BN lain.

Kemenangan itu sekali gus membuktikan rakyat Sabah masih berdiri teguh di belakang kerajaan BN dan menyokong gagasan 1 Malaysia.

Keupayaan calon BN mengumpul majoriti besar, walaupun jumlah peratusan mengundi rendah, hanya 61.47 peratus berbanding 63.06 peratus pada Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan rakyat di Batu Sapi masih setia bersama BN.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN, mendiang Edmund menang dengan majoriti 3,708 setelah mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing (Bebas) yang hanya mengumpul 5,771.