OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Khamis, 17 Jun 2010

Wujud ekosistem pemangkin

Wujud ekosistem pemangkin


Najib Tun Razak disaksikan Ismail Sabri tertarik dengan kucing baka Parsi yang diberi makanan buatan Malaysia semasa melawat Ekspo Beli Barangan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Ismail kamadin


KUALA LUMPUR 17 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara cabaran besar kerajaan dalam merealisasikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ialah mewujudkan satu ekosistem pemangkin supaya sasaran pertumbuhan pelaburan sektor swasta sebanyak RM115 bilion setahun mampu dicapai.

Sambil mengakui perkara itu bukan mudah kerana nilai sasarannya amat besar, Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan pembabitan semua pihak.

"Hasrat kerajaan mewujudkan satu ekosistem yang boleh memangkin pelaburan swasta supaya mencapai sasaran RM115 bilion setahun merupakan satu usaha besar-besaran yang harus disusuli dengan tindakan.

"Justeru, beberapa perkara harus diberikan tumpuan supaya ekosistem yang kita mahukan ini terlaksana antaranya peluang pekerjaan, latihan serta keberkesanan pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.

Najib berkata, tumpuan untuk mewujudkan ekosistem berkenaan berkait rapat dengan rancangan kerajaan menjadikan sektor swasta lebih berperanan dalam memacu ekonomi negara.

"RMK-10 telah menggariskan bahawa sektor swasta akan mengambil alih peranan memacu ekonomi negara daripada kerajaan," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, di bawah rancangan itu kerajaan juga berusaha mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini kepada kurang tiga peratus menjelang 2015.

"Melalui RMK-10 kerajaan juga akan berusaha tanpa jemu memastikan taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah," jelasnya.

Najib dalam pada itu berkata, RMK-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru sejajar dengan pengenalan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi berpendapatan serta mempunyai produktiviti tinggi.

"Dalam RMK-10, pendapatan negara kasar per kapita disasar meningkat kepada RM38,850 (AS$12,140) pada 2015. Ini bermakna kita memerlukan KDNK berkembang enam peratus setahun.

"Oleh itu, pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah, penyerapan kaedah teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi serta pelantar teknologi berkaitan," katanya lagi.

Pada awal ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai pertumbuhan KDNK yang amat memberangsangkan pada suku pertama tahun ini apabila kadar pertumbuhan yang dicatatkan adalah 10.1 peratus berbanding -6.2 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Jumaat, 11 Jun 2010

Malaikat pencatat amalan manusia


Setiap makhluk di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada dihisab oleh Allah SWT. - Gambar hiasan


SETELAH Allah SWT menerangkan bahawa antara tanda-tanda kurnia-Nya kepada manusia adalah penciptaannya dalam bentuk yang terbaik. Perkara itu menunjukkan bahawa manusia akan menempuh kehidupan lain selain kehidupan sekarang.

Di sana nanti mereka akan diberi balasan atas segala yang pernah dikerjakan sama ada baik atau buruk. Selanjutnya Allah SWT menjelaskan seseorang tidak akan menolak kebenaran melainkan kerana adanya sikap menentang dan mendustakannya. Perasaan hati membisikkan kebenaran itu dan dalil agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW menguatkannya.

Allah SWT tidak akan membiarkan satu amalan pun daripada amalan hamba-Nya, melainkan Dia akan menghitung dan memelihara untuk diberi balasan. Tugas mencatat segala amalan manusia ini telah diserahkan oleh Allah kepada para malaikat yang dilantik khusus.

Firman Allah SWT: Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. Syed Qutb berkata: “Kamu tidak percaya kepada hisab dan balasan. Inilah punca kekeliruan dan kecuaian kamu terhadap Allah. Apabila hati mendustakan hisab dan balasan, maka ia tidak akan berdiri tegak di atas hidayah, kebaikan dan ketaatan. Kadang-kadang hati itu meningkat ke darjat yang tinggi dan luhur lalu ia taatkan Tuhannya dan beribadat kepada-Nya semata-mata kerana cintakan-Nya bukan kerana gentar kepada balasan seksa-Nya dan bukan tamakkan pahala dari-Nya tetapi tetap percaya kepada Hari Balasan dan menaruh perasaan takut kepadanya. Ia menunggu kedatangan hari itu untuk menemui Tuhan yang amat dicintainya. Tetapi apabila manusia tidak mempercayai hari Balasan, ia tidak taat kepada Tuhan-Nya dan hatinya tidak akan tenang selagi tidak mendapat hidayah.”

Firman Allah SWT: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

Ibnu Kathir berkata: “Dan sesungguhnya pada kalian ada malaikat yang sentiasa menjaga dan mengawasinya. Oleh yang demikian, janganlah kamu membalas mereka dengan perbuatan buruk, dan sesungguhnya mereka akan menulis semua amal perbuatan kamu.”

Al-Maraghi berkata: “Kita tidak diwajibkan untuk mencari Malaikat Hafazah atau mengetahui daripada bahan apa mereka dicipta, bentuk perbuatannya atau cara memelihara dan mencatatnya. Apakah memakai kertas dan pena atau papan tempat menulis amalan atau apakah mereka itu sebangsa roh dengan jelas melihat perbuatan manusia sehingga mengetahui kesan dan tulisan yang terdapat di kertas. Semua itu tidak termasuk dalam kewajipan kita untuk mengetahuinya tetapi yang wajib bagi kita hanyalah beriman kepada kebenaran berita itu dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT.”

Firman Allah SWT: (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurga yang penuh nikmat.

Ibnu Abbas RA berkata: “Apa yang wujud di dunia ini hanya memiliki kesamaan dari segi nama sahaja dengan apa yang wujud dalam syurga. Di syurga ada delima. Di dunia pun ada delima. Namun kesamaan di antara keduanya hanyalah dari segi nama sahaja. Di syurga ada tumbuh-tumbuhan yang berbau harum. Di dunia pun ada tumbuh-tumbuhan yang berbau harum. Tetapi kesamaan keduanya hanya dari segi namanya sahaja. Di syurga ada kurma. Di dunia pun ada kurma, tetapi tidaklah sama melainkan dari segi namanya sahaja. Oleh yang demikian, tidak dibenarkan menyamakan seratus peratus terhadap apa yang wujud di dunia ini dengan apa yang wujud di dalam syurga. Sebab ia hanyalah perumpamaan semata.”

Sebahagian ulama berpendapat bahawa syurga adalah mata air di mana airnya tenang dan jernih. Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa ia adalah sungai yang mengalir luas.

Ia mempunyai suara dan mengandungi kebaikan tetapi hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Panjangnya sungai Rasulullah SAW sejauh jarak antara kota Sana' dengan Baitul Maqdis. Ia mengambil masa satu bulan untuk mengelilinginya. Airnya lebih putih dari susu. Rasanya lebih manis dari madu. Jumlah bejana yang terdapat di sungai itu seperti jumlah bintang-bintang yang bertaburan di langit.

Inilah gambaran sungai di syurga. Namun perlu diingat bahawa dalam syurga terdapat pelbagai sungai. Yang paling mulia sekali dari sungai yang banyak adalah sungai Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang. Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan. Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

Selepas Allah SWT menceritakan nikmat syurga, menjadi kelaziman disebutkan pula azab neraka sebagai peringatan kepada yang ingkar dan pelaku maksiat.

Gambaran neraka yang penuh dengan seksaan, azab dan ketakutan yang hebat tidak lain semata-mata memberi kesedaran kepada mereka supaya menjadi hamba Allah yang soleh, bertaqwa dan melakukan segala ketaatan sama ada yang wajib atau sunat semata-mata mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.

Kemudian Allah menerangkan berkenaan tentang kedahsyatan serta bencana yang menggerunkan berkenaan dengan hari Kiamat dan hari Pembalasan.

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu? Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Pembalasan itu?

Al-Maraghi berkata: “Sungguh ajaib keadaan kamu memandang remeh kedatangan hari Pembalasan itu. Seolah-olah kamu telah mengetahui hakikatnya bagaimana untuk melepaskan diri daripada ketakutan yang akan menimpa kamu. Seandainya kamu mengetahui dengan sebenarnya, pasti hatimu menjadi lembut, kembali kepada Allah SWT dengan jalan taubat, banyak istighfar, meminta ampun dan memohon keampunan terhadap perkara yang telah kamu lakukan.”

Setelah itu Allah SWT menjelaskan hakikat kejadian hari Pembalasan menerusi firman-Nya yang bermaksud: (hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.

Syed Qutub berkata: Allah SWT sahaja yang berkuasa pada hari tersebut di dunia dan akhirat tetapi hanya pada hari Kiamat hakikat kuasa Ilahi yang tunggal tertera dengan sejelas-jelasnya. Kini hakikat tersebut tidak tersembunyi lagi kepada orang yang terpedaya dan tertipu.

Rabu, 2 Jun 2010

Empat muka baru Kabinet

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng digugurkan daripada barisan Kabinet baru, berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua senarai rombakan jemaah menteri dan timbalan menteri itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, jawatan Tee Keat selaku Menteri Pengangkutan akan diambil alih oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekarang, Datuk Seri Kong Cho Ha, manakala kekosongan jawatan Jeck Seng pula disi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Gan Ping Shou.

Perdana Menteri berkata, jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ditinggalkan Cho Ha akan diambil alih oleh Timbalan Menteri Kewangan sekarang iaitu Datuk Chor Chee Heung.









Janji pulih imej Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bakal Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha berjanji untuk memulihkan imej kementerian tersebut yang tercemar teruk sebelum ini ekoran pelbagai skandal khususnya membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pucuk pimpinan MCA kerana mempercayai kebolehannya, beliau berkata, semua perjalanan kementerian berkenaan nanti akan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

''Dalam kes PKFZ siasatan telah dilakukan dan saya akan meneruskan mengikut undang-undang sedia ada tetapi segala perincian mengenainya hanya boleh dijelaskan selepas saya mengambil alih jawatan berkenaan mulai Jumaat ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MCA diminta mengulas mengenai pelantikannya sebagi Menteri Pengangkutan baru bagi menggantikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang digugurkan daripada Kabinet.

Selain Tee Keat, turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng.

Selain itu, perubahan dalam senarai Kabinet baru kali ini turut menyaksikan Datuk Chor Chee Heung dilantik menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya itu, Cho Ha berkata, ia merupakan suatu proses pembelajaran yang baru baginya dan beliau tidak segan untuk mendapat tunjuk ajar daripada bekas-bekas Menteri Pengangkutan terdahulu sebelum ini.

Dalam pada itu, Datuk Chor Chee Heung memberitahu, beliau yakin untuk menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana banyak meraih pengalaman selaku timbalan menteri dan ahli Parlimen.

Katanya, beliau yang telah lima penggal menjadi ahli Parlimen tidak akan mengecewakan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri serta pucuk kepemimpinan MCA dalam menjayakan transformasi kerajaan di bawah gagasan 1Malaysia.

''Terima kasih kepada Perdana Menteri dan MCA kerana yakin dengan kebolehan saya untuk menerajui kementerian. Saya akan berkhidmat sebaik mungkin bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, Palanivel juga berjanji akan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin dan seterusnya mencapai semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh kementerian.

Katanya, walaupun kementerian berkenaan masih baru, ia tidak mendatangkan sebarang masalah baginya kerana yakin boleh berkerjasama baik dengan Menteri, Tan Sri Bernard Dompok.

Naib Presiden kanan Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengucapkan terima kasih kerana pelantikan itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti kerana melantik saya sebagai Senator dan anggota Kabinet. Saya berasa sangat gembira kerana dilantik menganggotai sebuah kementerian yang penting," katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan berpusat di Klang yang terbabit dalam industri perkapalan ini berkata beliau menyertai PPP pada 1996 dan menjadi Naib Presiden pada 1998.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim yang turut membuat kemunculan semula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Lim, yang tewas di kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan pada pilihan raya umum 2008, akan dilantik sebagai senator bagi membolehkannya memegang jawatan timbalan menteri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada parti kerana mencadangkan nama saya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan. Saya akan lakukan yang terbaik untuk negara," katanya semasa dihubungi Bernama.

Pada pemilihan parti Mac lepas, Lim dipilih naib presiden.

Gan Ping Sieu, 44, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru berkata beliau berbesar hati kerana diberikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan dan akan menjalankan tugas baru itu dengan penuh tanggungjawab.

"Ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk dilantik memegang jawatan awam. Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap saya," kata naib presiden MCA itu.

Gan dan dua lagi iaitu Datuk Donald Lim Siang Chai dan Datuk Maglin Dennis D"Cruz akan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara esok.

"Selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan, ia telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda juga telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia diadakan Jumaat ini di Istana Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, perubahan dalam Kabinet baru kali ini turut membabitkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Luar; Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga berlaku perubahan.

Menurutnya, Datuk Rohani Abdul Karim akan memikul tugas sebagai Timbalan Menteri KPDNKK, Jelaing Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Sementara itu, terdapat empat muka baru iaitu seorang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Negara dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka adalah Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga anak kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Yang lain ialah Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'cruz (Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) serta Ping Shou yang menggantikan Jeck Seng.