OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Rabu, 2 Jun 2010

Empat muka baru Kabinet

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng digugurkan daripada barisan Kabinet baru, berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua senarai rombakan jemaah menteri dan timbalan menteri itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, jawatan Tee Keat selaku Menteri Pengangkutan akan diambil alih oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekarang, Datuk Seri Kong Cho Ha, manakala kekosongan jawatan Jeck Seng pula disi oleh Ahli Dewan Negara, Senator Gan Ping Shou.

Perdana Menteri berkata, jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ditinggalkan Cho Ha akan diambil alih oleh Timbalan Menteri Kewangan sekarang iaitu Datuk Chor Chee Heung.









Janji pulih imej Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bakal Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha berjanji untuk memulihkan imej kementerian tersebut yang tercemar teruk sebelum ini ekoran pelbagai skandal khususnya membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pucuk pimpinan MCA kerana mempercayai kebolehannya, beliau berkata, semua perjalanan kementerian berkenaan nanti akan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

''Dalam kes PKFZ siasatan telah dilakukan dan saya akan meneruskan mengikut undang-undang sedia ada tetapi segala perincian mengenainya hanya boleh dijelaskan selepas saya mengambil alih jawatan berkenaan mulai Jumaat ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MCA diminta mengulas mengenai pelantikannya sebagi Menteri Pengangkutan baru bagi menggantikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang digugurkan daripada Kabinet.

Selain Tee Keat, turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng.

Selain itu, perubahan dalam senarai Kabinet baru kali ini turut menyaksikan Datuk Chor Chee Heung dilantik menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya itu, Cho Ha berkata, ia merupakan suatu proses pembelajaran yang baru baginya dan beliau tidak segan untuk mendapat tunjuk ajar daripada bekas-bekas Menteri Pengangkutan terdahulu sebelum ini.

Dalam pada itu, Datuk Chor Chee Heung memberitahu, beliau yakin untuk menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana banyak meraih pengalaman selaku timbalan menteri dan ahli Parlimen.

Katanya, beliau yang telah lima penggal menjadi ahli Parlimen tidak akan mengecewakan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri serta pucuk kepemimpinan MCA dalam menjayakan transformasi kerajaan di bawah gagasan 1Malaysia.

''Terima kasih kepada Perdana Menteri dan MCA kerana yakin dengan kebolehan saya untuk menerajui kementerian. Saya akan berkhidmat sebaik mungkin bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, Palanivel juga berjanji akan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin dan seterusnya mencapai semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh kementerian.

Katanya, walaupun kementerian berkenaan masih baru, ia tidak mendatangkan sebarang masalah baginya kerana yakin boleh berkerjasama baik dengan Menteri, Tan Sri Bernard Dompok.

Naib Presiden kanan Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengucapkan terima kasih kerana pelantikan itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti kerana melantik saya sebagai Senator dan anggota Kabinet. Saya berasa sangat gembira kerana dilantik menganggotai sebuah kementerian yang penting," katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan berpusat di Klang yang terbabit dalam industri perkapalan ini berkata beliau menyertai PPP pada 1996 dan menjadi Naib Presiden pada 1998.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim yang turut membuat kemunculan semula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Lim, yang tewas di kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan pada pilihan raya umum 2008, akan dilantik sebagai senator bagi membolehkannya memegang jawatan timbalan menteri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada parti kerana mencadangkan nama saya.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana melantik saya sebagai Timbalan Menteri Kewangan. Saya akan lakukan yang terbaik untuk negara," katanya semasa dihubungi Bernama.

Pada pemilihan parti Mac lepas, Lim dipilih naib presiden.

Gan Ping Sieu, 44, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru berkata beliau berbesar hati kerana diberikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan dan akan menjalankan tugas baru itu dengan penuh tanggungjawab.

"Ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk dilantik memegang jawatan awam. Saya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap saya," kata naib presiden MCA itu.

Gan dan dua lagi iaitu Datuk Donald Lim Siang Chai dan Datuk Maglin Dennis D"Cruz akan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara esok.

"Selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan, ia telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda juga telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia diadakan Jumaat ini di Istana Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, perubahan dalam Kabinet baru kali ini turut membabitkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Kementerian Luar; Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga berlaku perubahan.

Menurutnya, Datuk Rohani Abdul Karim akan memikul tugas sebagai Timbalan Menteri KPDNKK, Jelaing Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Sementara itu, terdapat empat muka baru iaitu seorang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Negara dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka adalah Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga anak kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Yang lain ialah Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'cruz (Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) serta Ping Shou yang menggantikan Jeck Seng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan