OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Isnin, 26 April 2010

BN tawan semula Hulu Selangor



P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.










Kemenangan penuh bererti - PM

HULU SELANGOR 25 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil kawasan itu hari ini membawa erti yang amat besar kepada parti tersebut.

Perdana Menteri berkata, jika dibanding dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008, kejayaan kali ini menunjukkan berlaku perubahan sokongan kepada BN apabila parti itu memperoleh hampir 2,000 undi majoriti.

''Ini satu perubahan yang sangat besar ertinya, sebab kita bertanding di negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang. Dengan kemenangan ini, kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memenuhi amanat dan akan memandang serius serta mengambil berat mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Berikutan kejayaan itu, Najib berkata, BN bukan sahaja perlu memenuhi janji bahkan mesti memenuhi harapan dan jangkaan rakyat daripada semua aspek seperti pembangunan, kebajikan dan melayani kehendak pengundi kawasan ini.

Perdana Menteri menegaskan, kemenangan BN itu juga bererti pengundi-pengundi menolak cara parti pembangkang berpolitik.

''Maknanya jika menabur fitnah dan pembohongan, pengundi sudah tidak dapat menerimanya lagi kerana mereka sudah tahu untuk membuat penilaian apa yang benar dan apa yang batil," katanya.

Mengenai sokongan pengundi Cina, Najib berkata, BN tidak boleh membuat kesimpulan terlalu cepat sebaliknya akan menganalisa keputusan yang diperoleh.

''Kita kena mengkajinya secara mendalam. Walaupun kita akui banyak peti undi di kawasan masyarakat Cina, BN kalah namun berdasarkan kepada permulaan kempen hingga hari pengundian kita dapati ada peningkatan sokongan.

''Kalau dilihat bermula hari penamaan calon sehingga hari ini, kita dapati ada pertambahan undi tetapi ia belum secara menyeluruh," katanya.

Ditanya faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan BN, beliau berkata, ia terlalu awal untuk ditentukan namun secara jelas membabitkan faktor nasional dan tempatan.

''Dari signifikannya, kejayaan ini memberikan galakan dan satu permulaan yang baik kepada BN untuk meneruskan hala tuju dan agenda baru parti. Saya percaya dengan keputusan ini kita akan teruskan apa yang rakyat mahu," katanya.

Sambil menyifatkan pilihan raya kecil itu menyaksikan persaingan sengit kerana bertanding di negeri yang dikuasai pembangkang, Perdana Menteri berkata, beliau amat berpuas hati dan gembira dengan keputusan yang dicapai serta memberikan galakan untuk meneruskan pembaharuan.

''Saya percaya kalau kita dapat memenuhi janji dan menyelesaikan segala masalah rakyat, insya-Allah majoriti dalam pilihan raya umum akan datang bertambah. Apa yang penting ialah kelangsungan kawasan ini terus berada dalam BN," katanya.

Najib juga menjelaskan, Kamalanathan akan menyenaraikan segala yang dibuat dan memastikan ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan yang saya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN mengucapkan terima kasih kepada jentera BN diketuai Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh parti komponen sama ada di peringkat nasional negeri, bahagian dan cawangan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kemenangan tersebut.

''Dari segi calon kita, ia adalah calon yang baik kerana personalitinya dapat menawan hati pengundi dan saya yakin Kamalanathan mampu menjadi ahli Parlimen yang disenangi pengundi dan dapat membawa masalah serta isu di Hulu Selangor ke peringkat atasan utnuk diselesaikan," katanya.










Kamalanathan janji tunaikan tanggungjawab


P. Kamalanathan mengangkat tangan kegembiraan selepas beliau diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan, Kuala Kubu Bharu, semalam. - BERNAMA


HULU SELANGOR 25 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan berkata, tanggunggjawab yang diberikan oleh rakyat Hulu Selangor kepada beliau akan mencerminkan bagaimana parti itu berkhidmat kepada rakyat.

Sambil melahirkan perasaan terharu berikutan kejayaan memenangi pilihan raya Parlimen kawasan itu, Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin.

''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi saya atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi saya semua pengundi adalah sama.

''Kejayaan ini bukan faktor saya, tetapi faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua komponen BN," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini, malam ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Beliau mendapat 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Mengenai perolehan undi Cina, Kamalanathan yang berjanji akan berpindah ke Hulu Selangor secepat mungkin berkata, beliau akan bekerja keras bukan sahaja untuk mendapat undi kaum tersebut tetapi juga semua kaum.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu kerana mencalonkan beliau, Kamalanathan percaya undi kaum India sudah bertambah dan semakin pulih.














Zaid dakwa sistem pemilihan tidak bersih

HULU SELANGOR 25 April - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menerima kekalahannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Bekas menteri yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu mendakwa, BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.

Zaid yang tewas dengan majoriti 1,725 undi itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 200 penyokong pakatan PKR-DAP-Pas di Mini Stadium Kuala Kubu Bharu di sini malam ini yang turut dihadiri beberapa pemimpin pakatan antaranya penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

''Saya harap suatu hari nanti perjuangan pakatan rakyat akan diterima orang di sini," kata Zaid menegaskan perjuangan pakatan itu tidak tamat di Hulu Selangor.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, jentera pakatan pembangkang perlu lebih berdisiplin dan tidak boleh bersikap sambil lewa semasa menghadapi pilihan raya.

''Perjuangan ini memerlukan kekuatan fizikal dan rohani...perjuangan ini bukan untuk dilihat orang tapi melihat ke dalam diri sendiri," katanya.

Biarpun tewas kepada BN, Abdul Khalid berkata, beliau dan Zaid akan berusaha membawa perubahan di Hulu Selangor dan membantu penduduk terutama membabitkan masalah tanah.

''Hulu Selangor tidak ditinggalkan oleh kerajaan negeri Selangor. Hulu Selangor jadi asas perjuangan kita,'' katanya.

Kit Siang pula berkata, Anwar tidak hadir kerana telah berlepas untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa di Oslo, Norway.









Calon BN bagi PRK Parlimen Sibu diumum esok - KM

26/04/2010 12:28pm

KUCHING 26 April - Ketua Menteri, Tan Sri Abd. Taib Mahmud berkata, calon Barisan Nasional (BN) yang bakal mewakili parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, akan diumumkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, nama calon tersebut akan diumumkan di Kuching sekembalinya beliau daripada menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak






BN tidak beli undi di Hulu Selangor - Najib

26/04/2010 1:25pm

PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor semalam.

Perdana Menteri berkata perlaksanaan projek-projek yang diumumkan di Hulu Selangor baru-baru ini adalah bagi menangani pelbagai yang dihadapi penduduk tempatan yang sudah berlarutan sekian lama.

"Kami tidak beli undi, tapi kami selesaikan masalah orang ramai. Ia adalah masalah sebenar yang tidak ditangani sejak sekian lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.

"Bukannya BN ke sana sini dan beritahu ”tengok sini, kami beri yang itu, kami beri yang ini”, tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di sini.

Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga penasihat Landskap Malaysia, bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah yang merupakan pengerusi Landskap Malaysia.











TAHNIAH BARISAN NASIONAL & P. KAMALANATHAN!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan