OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sabtu, 5 Februari 2011

Jangan jadikan isu politik – TPM


Najib Tun Razak turut bersama ribuan umat Islam menunaikan solat sunat hajat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.










MUAR 4 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan usaha menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir khususnya golongan penuntut sebagai isu politik kerana ia membabitkan nyawa rakyat negara ini.

Tegas beliau, kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sudah menggerakkan usaha memindahkan penuntut serta rakyat Malaysia keluar dari negara itu, namun pelbagai kekangan perlu dihadapi berikutan keadaan yang kucar-kacir.

Katanya, menerusi usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, persetujuan dicapai dengan kerajaan Arab Saudi untuk memberi kelonggaran visa dan menjadi transit bagi warga Malaysia dari Mesir, namun operasi memindahkan lebih 12,000 orang bukan tugas mudah.

“Jangan jadikan ia isu politik, yang penting adalah hendak selamatkan nyawa. Proses ini telah bermula dan belum selesai, saya harap ia dapat selesai dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, Bukit Pasir, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd. Akin cuba mengambil kesempatan menjadikan isu membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir khususnya golongan penuntut sebagai isu politik.

Beliau menuduh kerajaan serta Wisma Putra lembap bertindak sehingga menimbulkan risiko terhadap nyawa rakyat Malaysia di negara bergolak itu.

Jelas Muhyiddin, rancangan untuk memindahkan rakyat Malaysia menerusi aset-aset udara dan laut telah dimulakan dan dari segi logistik, bekalan makanan juga disalurkan kepada mereka yang terperangkap di negara itu.

“Pergerakan bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia tetapi juga rakyat negara lain. Mungkin pembangkang kata lambat, sebenarnya hari pertama berlaku pun kita sudah nak angkut tetapi tidak dapat kelulusan kerana kerajaan Mesir dalam keadaan kucar-kacir,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, kerajaan mengambil serius keadaan yang berlaku dan laporan berkala telah dibuat oleh pasukan yang berada di Kaherah serta Wisma Putra manakala taklimat diberikan oleh Kementerian Luar kepada ibu bapa penuntut mengenai perkembangan terkini di negara itu.


























Segalanya ditanggung kerajaan



KUALA LUMPUR 4 Feb. - "Segalanya kerajaan tanggung, termasuk penginapan dan makan minum mereka di Jeddah. Kepada suara-suara sumbang, kita di sini bukan untuk mengaut keuntungan politik tetapi demi keselamatan rakyat kita.''

Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung tindakan sesetengah pihak menyebar berita palsu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung usaha kerajaan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah.

Berita palsu itu antara lain menyebut: "Jangan naik pesawat ke Jeddah, sebab dari Jeddah nak balik ke Malaysia kamu kena tanggung sendiri tambangnya.''

Jamil Khir menerangkan, segala kos membabitkan penerbangan membawa keluar rakyat Malaysia diusahakan kerajaan atas ihsan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Oleh itu, tidak timbul soal kita meminta bayaran itu ini. Di Jeddah, Arab Saudi pula, mereka ini ditempatkan di Madinatul Hujjaj iaitu pusat penginapan Tabung Haji.

"Tabung Haji sendiri menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyediakan penginapan serta makan minum sebelum mereka yang dipindahkan dibawa pulang ke tanah air. Itu pun, tambang untuk pulang ke Malaysia sedang kita aturkan.

"Jadi, tidak timbul soal kita mengenakan bayaran. Janganlah dengar berita daripada sumber-sumber yang tidak sah. Hubungi kami sendiri untuk kepastian,'' katanya ketika dihubungi di Kaherah hari ini.

Beliau mengulas mengenai fitnah yang disebarkan pihak bertanggungjawab menerusi SMS yang menyebabkan ada rakyat Malaysia khususnya pelajar yang enggan keluar dari Mesir kerana tidak mempunyai wang untuk pulang ke tanah air melalui Jeddah.

Jelas beliau, mengenai penginapan di Jeddah, ahli keluarga di tanah air tidak perlu risau kerana Tabung Haji memiliki pengalaman luas dalam menguruskan urusan berkenaan.

Mengenai kelewatan menerbangkan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Jamil Khir berkata, situasi di negara itu ketika ini cukup kritikal dan menyukarkan mana-mana syarikat penerbangan mendarat di Mesir.

"Hendak mendapatkan hak mendarat pun sukar. Begitu juga hak mendarat di Jeddah. Ada lebih 11,000 pelajar kita di Mesir. Jadi bayangkan berapa banyak pesawat hendak digunakan untuk membawa mereka keluar?

"Kita bawa mereka ini ke Jeddah dahulu dan mereka telah pun diberikan visa waktu ketibaan (VOA). Oleh itu, jangan risau. Kerajaan sedang usahakan yang terbaik untuk rakyat kita di Mesir,'' tambahnya.

Sehingga kini, katanya, terdapat lebih 700 pelajar diterbangkan ke Jeddah dan menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mula menabur fitnah dan berita palsu terhadap apa yang diusahakan kerajaan di Mesir.

Tegas beliau, segala usaha membawa keluar rakyat Malaysia berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah.

''Saya minta, jangan mempolitikkan isu ini dan jangan sebar cerita mengarut,'' tambahnya yang masih berada di Kaherah.














Anifah nafi kerajaan lambat pindahkan rakyat kita dari Mesir

KOTA KINABALU 4 Feb. - Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan sesetengah pihak menerusi internet bahawa kerajaan lambat bertindak memindahkan pelajar Malaysia dari Mesir yang kini dilanda kacau bilau.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan bertindak pantas untuk menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir dan ini dilakukan hampir serentak dengan langkah dilakukan negara lain termasuk Amerika Syarikat.

"Rakyat perlu tahu bahawa bukan mudah mendapatkan hak pendaratan di Mesir. Ia mungkin mengambil masa, melainkan sudah tentulah jika keadaan di sana mencapai tahap bahaya.

"Selepas diberi hak pendaratan, kami segera mulakan usaha memindahkan pelajar Malaysia keluar dari Mesir sejak semalam dan kami harap dapat menyelesaikan proses pemindahan itu sebelum Isnin ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anifah merayu kepada pihak terbabit, khususnya blogger, supaya tidak mempolitik atau mensabotaj usaha murni kerajaan Malaysia untuk memindahkan atau membawa keluar lebih 11,000 rakyat negara ini dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

"Saya sangat kecewa dengan tuduhan ini apabila pada masa kerajaan kita di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menumpukan usaha memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat kita di Mesir, segolongan pihak tertentu pula mengambil kesempatan daripada keadaan ini demi kepentingan politik mereka.

"Sekarang adalah masa bagi semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik berganding tenaga memastikan kejayaan proses pemindahan dan bukannya mencari salah," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menanggung kos pengangkutan udara atau penerbangan pelajar Malaysia yang terjejas dari Jeddah ke Kuala Lumpur, Anifah berkata, kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam sehari dua lagi.

"Kita tunggu sajalah pengumuman itu. Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos memindahkan rakyat kita dari Mesir ke Jeddah dan semasa di Jeddah, kami menyediakan penginapan dan makanan percuma," katanya.















Pelajar Malaysia di Jeddah dibenar pulang


JEDDAH 4 Feb. - Pelajar Malaysia dari Mesir yang dipindahkan sementara ke sini, dibenarkan pulang ke Malaysia pada bila-bila masa jika ibu bapa mereka menanggung sendiri kosnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membantu pelajar yang mahu berbuat demikian.

Katanya, mengikut pelan asal, kesemua pelajar Malaysia akan dipindahkan ke Jeddah dan tinggal di situ beberapa hari sehingga operasi di Kaherah selesai semuanya.

"Mengikut pelan asal juga, mereka akan dihantar pulang ke Malaysia oleh kerajaan.

"Madinatul Hijjaj yang dikendali oleh Tabung Haji memiliki kapasiti 2,000 orang pada satu-satu masa.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa lokasi lain di sekitar Jeddah bagi menempatkan kesemua 11,419 pelajar dari Mesir," ujarnya pada taklimat media yang bakal berangkat ke Kaherah tengah hari ini.

Hidayat berkata, ibu bapa boleh menghubungi bilik operasi Madinatul Hijjaj di Jeddah di talian 009662-6301638/6326191 atau faks 6020891.

Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di sini.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Selain menggunakan pesawat MAS, pemindahan pelajar turut dilakukan dengan kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 26 Januari lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
















Mubarak mahu letak jawatan

KAHERAH 4 Feb. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, beliau mahu meletakkan jawatan tetapi khuatir huru-hara akan meletus jika beliau berundur sekarang.

Mubarak, 82, memberitahu wartawan ABC News, Christiane Amanpour dalam wawancara lewat semalam bahawa beliau 'sudah bosan menjadi Presiden dan ingin melepaskan jawatan sekarang, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana khuatir negara ini akan terjerumus ke dalam kancah huru-hara'.

Bagaimanapun akhbar New York Times melaporkan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sedang berunding dengan para pegawai Mesir untuk membolehkan Mubarak berundur dengan serta-merta.

Mengikut cadangan itu, Mubarak akan menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan peralihan diketuai Naib Presiden Omar Suleiman dengan sokongan tentera Mesir, lapor NYT dengan memetik kenyataan pegawai White House dan diplomat Arab.

Ketika berhadapan dengan tentangan paling hebat di dalam pemerintahannya, Mubarak baru-baru ini berjanji untuk berundur pada September ini, melantik Suleiman sebagai Naib Presiden dan menawarkan rundingan mengenai pembaharuan.

Namun konsesi itu tidak memadai bagi penunjuk perasaan yang berharap untuk menghimpunkan beribu-ribu rakyat Mesir hari ini bagi demonstrasi pusingan terbaru dalam usaha memaksa Mubarak berundur serta-merta.

Konfrontasi itu menjadi ganas apabila kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir diserang oleh penyokong Mubarak kelmarin, menyebabkan AS meningkatkan tekanan ke atas Mubarak supaya memulakan peralihan kuasa sekarang.

Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berharap mereka akan disertai beribu-ribu orang lagi untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran yang mereka gambarkan sebagai 'Jumaat Hari Pengunduran'.

Sementara itu dalam wawancara berasingan dengan Amanpour, Suleiman menafikan anasir prokerajaan menembak mati kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dalam keganasan kelmarin.

Beliau sebaliknya mendakwa puak prokerajaan 'berkelakuan sangat baik'.

"Tidak. Tiada sesiapa yang mati ditembak dengan raifal atau oleh penembak curi. Tidak mungkin," kata Suleiman. - AFP/Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan