OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Rabu, 7 Julai 2010

Duit raya untuk 112,635 peneroka



Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak sempena Hari Peneroka 2010 di Trolak, Tanjung Malim, semalam. - Utusan/ Mohd. Najib Mohd. Nor


TANJUNG MALIM 7 Julai - Seramai 112,635 peneroka tanah rancangan Felda di seluruh negara mendapat khabar gembira pada sambutan Hari Peneroka 2010 hari ini apabila Perdana Menteri memberikan jaminan pemberian 'duit raya' pada tahun ini.

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak itu spontan disambut tepukan gemuruh oleh lebih 10,000 peneroka yang menghadiri majlis tersebut.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau hanya akan membuat pengumuman mengenai jumlah duit raya itu pada minggu pertama bulan Ramadan.

"Duit raya tetap ada dan saya akan umumkannya pada minggu pertama bulan Ramadan nanti.

"Hari ini biarlah kita fokus pada isu Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) dan penjelasan mengenai tuduhan Felda bankrap," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Peneroka 2010 di MRSMF Kampus Tun Abdul Razak, Trolak dekat sini hari ini.

Najib menjelaskan bahawa Felda yang bermula sebagai agensi membangunkan tanah telah berubah menjadi sebuah organisasi hebat dan boleh disifatkan sebagai organisasi sosioekonomi paling besar di dunia yang terlibat dalam pembangunan tanah.








Suara Keadilan tetap disaman RM200 juta


NAJIB Tun Razak menyampaikan replika cek kepada penerima Anugerah Usahawan Tani Felda kepada Amarullah Sudin sambil diperhatikan oleh Shafie Apdal dan Dr. Yusof Noor di MRSM Felda Kampus Tun Razak di Trolak, semalam.


TANJUNG MALIM 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memutuskan 'berjumpa' Suara Keadilan di mahkamah berikutan kegagalan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meminta maaf kerana menyiarkan artikel bertajuk Felda Bangkrap.

Keputusan meneruskan saman RM200 juta itu turut disokong lebih 10,000 peneroka yang hadir menyambut Hari Peneroka di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Trolak dekat sini.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu diambil berikutan notis saman dihantar oleh Felda kepada pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas sebelum ini telah cukup tempoh seminggu.

Pada perhimpunan itu, beliau bertanya sebanyak tiga kali kepada para peneroka yang menghadiri sambutan tersebut "nak kita teruskan (saman), tidak?" dan disahut jawapan "teruskan" daripada hadirin.

"(Kalau begitu) Kita tetap akan teruskan tindakan mahkamah. Dah cukup tempoh seminggu, Hari Peneroka ini kebetulan cukup tempoh seminggu. Suara perhimpunan kita hari ini kata, jumpa di mahkamah nanti," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Najib, Felda perlu terus dipertahankan sebagai organisasi yang telah banyak berjasa dan tidak boleh tunduk kepada tuduhan pihak tidak bertanggungjawab menyatakannya bankrap.

Najib berkata, seseorang atau sesebuah organisasi tidak boleh menjadi bankrap hanya kerana 'dilabelkan' oleh pihak tertentu.

"Apa makna kalau seorang itu bankrap, atau sesebuah organisasi bankrap? Kalau bankrap seseorang manusia itu barang kali manusia itu tinggal pakai baju singlet, seluar pendek, selipar Jepun, rumah telah dilelong oleh bank. Itu peringkat individu.

"Kalau peringkat gunakan prinsip akaun sebagai sebuah organisasi bererti bahawa hutang kita lebih besar daripada aset kita sehingga kita tidak boleh membayar hutang dan orang yang memberi pinjam itu memohon melalui mahkamah untuk membankrapkan kita.

"Itu definasi bankrap sebuah perniagaan dari prinsip akaun undang -undang negara," tegasnya.

Perdana Menteri turut melahirkan kehairanannya dengan dakwaan akhbar milik pembangkang tersebut memandangkan Felda kini mempunyai aset wang tunai kira-kira RM1.3 bilion.

"Macam mana mereka kata Felda bankrap, kalaulah dari segi wang tunai hari ini Felda ada RM1.3 bilion dan simpanan-simpanan tetap lain. Ini tak termasuk dalam syarikat-syarikat Felda," katanya.

Selain itu, katanya, organisasi tersebut juga telah melabur dengan membeli saham berjumlah RM844 juta tetapi kini harganya melambung naik lima kali ganda dengan nilai RM4 bilion.

Tambah beliau, ladang-ladang komersial milik Felda yang berharga RM2.5 bilion jika dijual mampu mencapai nilai RM10 bilion.

"Kita gunakan wang tunai ini untuk apa? Untuk kita menentukan kepentingan jangka panjang kita agar terbela dan terjamin. Apabila kita buat pelaburan di Kanada dan Amerika Syarikat, kerana apa? Kita nak menembusi pasaran mereka untuk mempengaruhi pasaran antarabangsa.

"Ini supaya minyak sawit kita dan produk-produk hiliran kita akan lebih laku. Kalau lebih laku, harga sawit lebih tinggi, kalau harga sawit tinggi, peneroka dapat pendapatan lebih.

"Kita melabur, kita bukan joli katak. Kita bukan songlap duit, kita melabur, melabur untuk kesejahteraan peneroka," kata beliau.

Pada masa sama, Najib berkata, Felda juga menggunakan RM2.4 bilion untuk tujuan projek tanaman semula bagi memastikan hasilnya lebih tinggi.

"Lagi, kita belanja untuk menolong pembangunan kesejahteraan sosial peneroka umpamanya pinjaman tanpa riba terbaik di dunia, RM40,000 pada setiap peneroka yang buat pinjaman baik pulih rumah.

"Perubahan yang besar telah berlaku melalui Felda sebab kerajaan tak beri sumbangan pada Felda, Felda guna wang sendiri," katanya.

Jelasnya, sebanyak RM603 juta dikeluarkan sebagai pinjaman kepada peneroka oleh Felda yang ingin membaik pulih rumah mereka.

Felda juga, kata beliau, turut melakukan pelaburan yang bijak apabila membina menara baru di sebelah Menara Berkembar Petronas berikutan harga sekaki persegi tanah di kawasan itu kini meningkat daripada RM930 kepada RM1,500.

"Kita buat begitu kerana apa? Kerana ini imej kita, orang akan bertambah yakin dan ini juga satu bentuk pelaburan. Hari ini kalau kita jual bangunan itu senang-senang dapat RM300 juta, 10 tahun lagi, mungkin RM1 bilion, RM2 bilion untung," katanya.

Najib turut membangkitkan persoalan, sekiranya Felda benar-benar bankrap, organisasi tersebut tidak wajib membayar zakat sedangkan usaha tersebut dilakukan setiap tahun di negeri-negeri.









Budaya '3M' dalam falsafah iqra'


Membaca perlu dibudayakan sejak kanak-kanak lagi. - Gambar hiasan


Sempena bulan membaca pada Julai setiap tahun adalah baik disoroti pandangan Islam terhadap budaya ini. Elok juga dikupas budaya mengkaji dan menulis bersama-sama budaya membaca dalam perkembangan ajaran Islam itu sendiri.

Wahyu pertama kepada Rasulullah SAW dimulakan dengan perkataan iqra' atau bacalah. Bahkan seluruh kandungan wahyu itu dinamakan al-Quran yang bermaksud bacaan.

Membaca adalah suruhan Allah ke atas umat Islam (rujuk al-Alaq: 1-5). Kalimah iqra' yang diterjemahkan kepada bacalah adalah merupakan fi'il 'amar (kata perintah). Kata perintah ini mengandungi seribu satu rahsia yang jika dikupas dapat memacu umat Islam ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Sebab itu, ilmuwan Islam seperti Muhammad Abduh menganggap di sebalik wahyu pertama itu ada falsafah yang cukup tinggi iaitu falsafah iqra' yang meliputi cara dan kaedah manusia dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.

Kenyataan itu diteguhkan melalui hadis Nabi SAW: "Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim". (riwayat Ibn Majah).

Peristiwa penurunan wahyu di Gua Hira' memberi pengajaran yang besar. Allah Maha Mengetahui dan Jibrail juga tahu Muhammad itu ummi (tidak tahu membaca dan menulis).

Namun tidak tahu bukanlah alasan untuk tinggal beku. Tidak berdaya bukan juga penyelesaian untuk terus tidak mencuba.

Berkali-kali Jibrail memeluk Baginda memasukkan keberanian, keyakinan dan dorongan. Setelah kali ketiga akhirnya baginda berjaya membaca. Ternyata, bimbingan dan dorongan begitu penting dalam pembudayaan iqra' itu.

Begitu juga aspek galakan dan rangsangan adalah perlu bagi proses pembelajaran terutama bagi anak-anak. Sejak peristiwa Gua Hira' itu, Rasulullah SAW giat memperkembangkan budaya iqra' itu dalam kalangan umatnya.

Di peringkat awal baginda membacakan al-Quran. Para sahabat mempelajari dan menghafalnya. Ada juga yang dicatat untuk keperluan yang terhad.

Perkembangan awal Islam di Madinah pula, mereka sibuk mempelajari hal-hal kenegaraan seperti perundangan dan kemasyarakatan di samping berkaitan muamalat harian seperti perdagangan, pertanian dan sebagainya.

Semua itu dicatat dan dibukukan untuk rujukan masyarakat setempat di samping ada juga yang dihantar kepada negara-negara jiran. Semua itu bukti budaya membaca dan menulis amat mendominasi kehidupan seharian mereka.

Pada zaman Khalifah Uthman r.a, beliau mengarahkan para sahabat menyalin al-Quran yang kemudiannya dikenali sebagai mushaf Uthmani.

Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, para ulama diperintah mengumpul dan menulis hadis-hadis Nabi SAW pada akhir kurun pertama hijrah.

Penulisan hadis diteruskan sehingga lahirnya ulama seperti Imam Bukhari dan Muslim yang menukilkan kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang menjadi rujukan umat Islam hingga kini.

Kemunculan tamadun iqra' dan berkembangnya budaya membaca, mengkaji dan menulis semakin ketara pada zaman khalifah Abassiah yang berpusat di Iraq. Ketika itu pusat-pusat pengajian bercambah dengan pesat di kota-kota Baghdad, Basrah dan beberapa kota lain.

Natijah daripada budaya iqra' itu yang terangkum di dalamnya tiga ciri iaitu membaca, mengkaji dan menulis maka perbendaharaan ilmu-ilmu Islam bertambah bernas, kemas dan luas.

Mengkaji

Seiring dengan budaya membaca, budaya mengkaji dan menyelidik harus berjalan subur untuk memastikan proses pembangunan ilmu berjalan lancar.

Budaya mengkaji ini wajar digiatkan sama ada dalam persoalan sosial, ekonomi, politik, sains, teknologi dan sebagainya.

Pengkajian dan penyelidikan amat penting dalam sesebuah negara kerana sifat ilmu pengetahuan yang harus sentiasa berkembang untuk menerokai potensi yang ada secara optimum.

Kita harus kembali melahir dan meramaikan sarjana-sarjana muslim bertaraf dunia seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Khawarizmi dalam bidang sains tulen dan perubatan.

Kita harus juga melahirkan tokoh sejarawan dan ahli sosiologi seperti Ibn Khaldun, al-Zahabi, Ibn Batutah dalam masyarakat kita.

Menulis

Penulisan berperanan besar dalam merakam sejarah dan peradaban lepas untuk bacaan dan kajian lanjutan.

Kemajuan tamadun dan peradaban dapat dipertingkatkan dengan membukukannya atau menghasilkannya dalam bentuk bahan cetak.

Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah memetik kata-kata al-Raniri, "Tanpa berlengah-lengah saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini ialah menulis buku kerana buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus".

Kesimpulannya, marilah kita menghayati falsafah iqra' dan menghidupkan kembali tamadun iqra'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan