OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Selasa, 13 Julai 2010

Nikmat dunia terbatas



segala kemewahan yang dikecapi di dunia ada hadnya dan ia terputus dengan kematian. - Gambar hiasan


Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan golongan penderhaka, orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan serta kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT pada hari kiamat.

Berikutnya Dia menjelaskan pula keadaan orang yang berbakti kepada Tuhan iaitu mereka yang beriman kepada Tuhan mereka, membenarkan apa yang dibawa oleh rasul yang diwahyukan oleh penciptanya, dan mengamalkan kebajikan sewaktu di dunia dahulu.

Allah SWT juga menerangkan bahawa Dia pasti akan menghisab amalan-amalan mereka dan memasukkannya dalam kitab yang disebut Illiyin yang disaksikan oleh para malaikat Muqarrabun.

Pada akhirnya Tuhan menghitung jenis balasan kebaktian dan kebaikan yang diperolehi oleh kaum Abrar. Dalam ayat di atas terdapat nasihat agar kita selalu mengerjakan ketaatan, menanam keazaman, berbuat kebajikan untuk menambah kebaikan, meninggalkan perkara-perkara yang syubhat dan mengikut jalan yang lurus.

Firman Allah SWT: Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Illiyiin itu?

Kata kalla pada ayat tersebut difahami oleh al-Biqaie dalam maksud sekali-kali tidak lalu menghubungkannya dengan ayat sebelumnya.

Menurut penyampaian kepada para penderhaka bahawa inilah seksa yang dahulu kami ingkari menimbulkan kesan bahawa apa yang dialami itu merupakan seksa yang akan mereka tempuhi.

Syed Qutub berkata: Illiyin adalah satu perkara di luar ilmu pengetahuan dan kefahaman manusia. Kemudian al-Quran menjelaskan hakikat buku amalan golongan yang taat.

Firman Allah SWT: Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.

Syed Qutub berkata: Maksud ungkapan yang ditulis rapi telah dijelaskan tetapi di sini ditambah pula dengan satu keterangan yang lain iaitu buku amalan golongan yang taat disaksi dan dilihat oleh para malaikat yang hampir kepada Allah SWT.

Penjelasan hakikat ini memberikan satu suasana mulia, suci dan luhur kepada buku amalan golongan yang taat.

Buku itu disaksikan oleh para malaikat dengan penuh nikmat kerana di dalamnya terdapat amalan-amalan dan sifat yang mulia.

Ini satu lagi suasana mulia yang disebut dengan tujuan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).

Ibn Kathir berkata: Pada hari kiamat kelak mereka berada dalam kenikmatan yang abadi dan syurga di dalamnya terdapat kurnia yang menyeluruh.

Al-Araiq berkata: Ia bererti tempat tidur. Di sebalik kelambu mereka memandang. Ada juga menyatakan: Mereka melihat kerajaan mereka dan segala sesuatu yang telah diberikan Allah kepada mereka iaitu kebaikan dan anugerah yang tidak pernah berkurang dan tidak akan habis.

Firman Allah SWT: Engkau dapat melihat pada muka mereka cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya.

Al-Maraghi berkata: Jika kamu melihat wajah mereka, kamu akan menemui mereka sebagai orang yang mendapat kenikmatan kerana di wajah mereka dapat dilihat tanda-tanda yang menggambarkan keadaan itu.

Contohnya: Ketawanya sehingga meresap ke jiwanya dan berwajah ceria.

Botolnya tertutup dengan kasturi, pengganti penutup yang diperbuat daripada tanah sebagai penghormatan dan penjagaan daripada berlakunya kerosakan yang biasa terjadi pada penutup buatan manusia terhadap sesuatu yang dihargai dan dijaga dengan baik.

Firman Allah SWT: Meterainya kasturi dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.

Ibn Kathir berkata: Iaitu mereka diberi minum daripada khamr syurga. Al-Rahiq merupakan salah satu nama minuman khamr. Demikian yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Mujahid dan al-Hasan.

Ibn Mas'ud berkata: "Iaitu dicampuri dengan minyak kasturi". Sedangkan al-Aufi meriwayatkan daripada Ibn Abbas: Allah SWT telah membuat baik minuman khamr itu bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang paling akhir dipersembahkan dan ditutup oleh minyak kasturi.

Hendaklah orang saling membanggakan diri, bermewah-mewahan dan memperbanyak serta berlumba-lumba meraih apa yang diperoleh yang terdahulu.

Firman Allah SWT: Dan campuran minuman itu adalah daripada tasnim iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang didampingkan (Tuhan di sisi-Nya).

Maksudnya campuran minuman al-Rahiq ini adalah yang disebut dengan tasnim iaitu salah satu minuman yang diberi nama tasnim. Ia merupakan minuman yang paling mulia lagi paling tinggi untuk penghuni syurga.

Minuman yang diminum oleh orang yang didekatkan kepada Allah SWT secara murni (tanpa campuran) dan diminum oleh ashabul yamin (orang-orang yang menerima catatan amal dengan tangan kanan) dengan dicampur minuman lain.

Demikianlah yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Masruq, dan Qatadah dan lain-lain.

Syed Qutub berkata: Umur seseorang di dunia ini adalah terbatas, sedangkan umurnya di akhirat tidak diketahui batas kesudahannya melainkan Allah SWT.

Kenikmatan dunia juga terbatas sedangkan nikmat syurga tidak dapat dibataskan oleh kefahaman manusia. Taraf nikmat dunia telah diketahui semua orang, sedangkan taraf nikmat akhirat sahaja yang layak kekal abadi.

Alangkah jauhnya perbezaan di antara ruang hidup dunia dengan ruang hidup akhirat. Antara matlamat hidup dunia dengan akhirat perbezaannya tidak dapat dihitung dengan kira-kira untung rugi yang biasa dibuat oleh manusia.

Semoga kita beroleh kejayaan dalam meniti kehidupan seterusnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.








Program Tautan Kasih Perkim


SEBAHAGIAN peserta program Tautan Kasih yang hadir pada malam itu.


SUDAH menjadi fitrah bahawa Allah menciptakan semua makhluknya berpasang-pasangan dan semua manusia telah ditetapkan jodohnya bergantung kepada usaha serta ikhtiar seseorang itu. Setiap ketentuan itu menjadi mutlak (sudah menjadi ketentuan Allah), kita sebagai manusia hanya dapat menerimanya dengan takdir atau ikhtiar atau dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan program Tautan Kasih Saudara Muslim bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur pada 29 Jun lalu.

Program itu dihadiri 60 saudara Muslim yang terdiri daripada kaum Cina, India, Filipina, Indonesia, Arab dan Yaman.

Menurut Riwayat Ibnu Majah, "Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama walaupun wanita itu berkulit gelap dan berbibir tebal kerana yang beragama adalah lebih baik."

Menurut Penyelaras Program, Suariza Hidayah Muhammad, program ini merupakan satu kaedah menghimpunkan ahli kelab cari jodoh Perkim untuk beramah mesra di samping merapatkan silaturrahim, sekali gus mengenali dengan lebih rapat di antara mereka.

"Program yang murni ini membantu mereka yang berhasrat mendirikan rumahtangga dengan calon yang sesuai dan layak, sekufu dan sefikrah. Di antara ciri-ciri yang menjadi impian mereka adalah kerana agama, kecantikan, harta dan kekayaan," kata Suariza.

Suariza yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial berkata, perhimpunan yang julung kali diadakan ini sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada mereka dalam aktiviti taaruf berkumpulan, mengenali pasangan, cara hidup pasangan dan sebagainya.

Harapannya, agar ia menjadi pemangkin di dalam mewujudkan satu sistem pencarian jodoh dalam bentuk realiti di mana pasangan akan saling mengenali dan seterusnya mendirikan masjid dengan beberapa aktiviti dan susulan program yang dijalankan kelak.

Program tersebut diserikan dengan ucapan ilmiah yang disampaikan oleh Pengerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustapha Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar dalam menjalin kemesraan antara satu sama lain, perlu menjaga adab dan batas-batas pergaulan supaya tidak melanggar syariat Islam.

Jelasnya lagi, Islam telah menetapkan peraturan-peraturan dalam perkahwinan dan perjalanan keluarga dengan sempurna. Kesempurnaan undang-undang yang mengawal perjalanan keluarga tidak mencukupi bagi menjamin ketenteraman sesebuah keluarga.

"Keluarga mesti disusun dan dikawal oleh rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak Islamiah. Rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak itu hanya akan subur di kalangan orang-orang yang mempunyai kesedaran agama.

"Kesedaran keagamaan yang terpenting ialah apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah S.WT. dan takut kepada-Nya. Kesedaran ini merupakan kawalan berkesan untuk seseorang mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," jelas Mustapha.

Beliau juga menekankan kewajipan isteri, amanah dan tanggungjawab suami, meningkatkan pengetahuan agama, sahsiah dan ilmu pengetahuan ke arah melahirkan insan berkualiti.

Majlis itu diserikan lagi dengan perasmian penutup dan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada peserta oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Tunku Datin Noor Hayati Tunku Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa, Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Hj. Abdul Rahman Hj. Yusof dan sukarelawan Perkim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan