OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Isnin, 11 Oktober 2010

Kelengkapan untuk jemaah haji

MUSIM haji telah pun bermula. Bagi bakal jemaah haji, segala persiapan mungkin telah lengkap disediakan. Selalunya persiapan untuk menunaikan rukun Islam ke lima itu dibuat awal-awal kerana ia mengambil masa. Setiap barangan yang diperlukan perlu disenaraikan terlebih dahulu supaya tidak ada yang tertinggal.

Kebiasaannya apabila kita menziarahi saudara-mara, sahabat-handai atau jiran taulan yang hendak pergi menunaikan haji, kita akan menghulurkan sedikit sumbangan.

Sumbangan itu pula dalam bermacam-macam bentuk. Ada yang memberikan wang tunai. Ada pula yang menghadiahkan barangan.

Bagi yang menyumbangkan barangan, pastikan ia sesuai atau dapat dimanfaatkan oleh bakal jemaah itu ketika di tanah suci.

Jika melangkah kaki ke premis Gerbang Ibadah yang terletak di Taman Permata, Kuala Lumpur, anda mempunyai pelbagai pilihan barangan yang sesuai sebagai hadiah kepada bakal-bakal jemaah haji dan umrah.

Malah barangan hadiah yang disediakan juga sesuai untuk cenderahati perkahwinan, pertunangan, hari jadi, cukur jambul, hari ibu, hari bapa dan sebagainya.

''Gerbang Ibadah turut menyediakan kelengkapan ihram untuk lelaki dan wanita, hadiah untuk jemaah haji dan umrah, busana muslimin dan muslimah, tempahan hadiah jemaah haji dan umrah, tempahan barangan ibadah untuk majlis dan set jenazah.

"Pendek kata segala keperluan hadiah ibadah sepanjang tahun daripada kepala hingga ke hujung kaki, pakaian muslimah untuk menghadiri majlis, pakaian renang muslimah boleh diperoleh di sini.

''Sementara itu bagi set jenazah, saya rasa tiada orang yang menyediakan set ini di rumah. Apabila ada kematian, biasanya kita akan panik dan mula tercari-cari barangan yang diperlukan untuk jenazah.

"Kami mula terfikir akan keperluan ini. Untuk itu, dalam set ini, kami sediakan alas katil, alas plastik untuk jenazah, sarung bantal, selimut, penutup muka, pengikat dagu serta nota bagaimana hendak solat jenazah.

"Turut terdapat ialah doa untuk jenazah yang boleh disalin semula dan diedarkan kepada mereka yang datang menziarah dan membacakan doa tersebut kepada jenazah. Set jenazah ini boleh dibasuh semula dan disimpan,'' kata Sharifah Hanizah AlJoofre yang mengusahakan kedai ini bersama rakannya, Datin Sharifah Zahrah Othman.

Sementara itu, Sharifah Zahrah pula berkata, selain barangan yang sudah tertulis harga, beliau akan bertanya kepada pelanggan tentang bajet mereka dan akan menyediakan barangan yang bersesuaian dengan bajet tersebut.

Barangan itu akan dibungkus atau dimasukkan ke dalam kotak dan diikat dengan reben.

''Alhamdulillah sambutan yang kami terima memang cukup menggalakkan terutamanya pada musim haji. Selain pelanggan perseorangan, kami juga menerima tempahan daripada badan-badan korporat dan sebagainya,'' ujarnya,

Kepada yang ingin mendapatkan barangan keperluan atau hadiah untuk ibadah, boleh menghubungi Sharifah Hanizah di talian 017-2825545.











Bidaah baik dan buruk

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan