OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Jumaat, 15 Oktober 2010

Sistem pendidikan dirombak

YAB Datuk Seri Mohd. Najib B. Tun Hj. Abdul Razak
PERDANA MENTERI MALAYSIA


KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.

Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.

“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.

“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.

“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).

“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.


















Bergerak ke arah negara maju






KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2011, belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.

Bajet itu yang menyaksikan peruntukan keseluruhan kerajaan berjumlah RM212 bilion, menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi negara mencapai sasarannya.

Perdana Menteri ketika pembentangan bajet berkenaan berkata, cadangan peruntukan yang dibuat itu berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2010.

Daripada jumlah peruntukan itu, RM162.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

“Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula menjadi peta panduan.

“Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya, pula membentuk kerangka kerja ke arah hala tuju tersebut dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11),’’ katanya.

Pengumuman bajet yang menyeluruh itu menyaksikan tumpuan diberikan ke arah memenuhi keperluan rakyat dan juga memberikan insentif dan melaksanakan projek yang mampu merancakkan lagi ekonomi negara.

Pada pembentangan itu, Perdana Menteri juga tidak melupakan usaha membangunkan modal insan, tumpuan pada pendidikan dan kepentingan kebajikan kakitangan awam termasuk pemberian bantuan khas kewangan.

Bajet 2011 juga mementingkan peningkatan kualiti hidup ketika negara bergerak untuk memantapkan ekonomi yang telah berkembang dengan baik.

Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan ekonomi yang baik telah menyaksikan kerajaan menyemak semula kadar berkenaan bagi tahun ini kepada tujuh peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Tambah beliau, angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding negatif 1.7 peratus pada tahun 2009.

Najib berkata, prestasi ekonomi akan terus diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembiayaan 4.9 peratus, manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus.

Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus.

Menurut Perdana Menteri, penunjuk utama ke arah pengukuhan ekonomi domestik adalah lonjakan Indeks Komposit Bursa Malaysia kepada 1,496 mata pada 14 Oktober lalu yang merupakan antara tertinggi sejak Februari 2008.









Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh




KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang menjadi platform utama dalam penetapan gaji minimum.

Beliau berkata, majlis tersebut akan dianggotai oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu manakala Kementerian Sumber Manusia akan bertindak sebagai sekretariat.

“Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610 (sebelumnya).

“Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap,” katanya sewaktu membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menguatkuasakan gaji pokok minimum pengawal keselamatan antara RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.

“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011,” katanya.

Turut diumumkan Perdana Menteri ialah pelancaran Dana Pencen Swasta pada tahun 2011 untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Katanya, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

“Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia akan dilaksanakan bermula Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen dengan yang pertama membabitkan kos RM200 juta untuk latihan sambilan pada sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih.

Katanya, ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan kemudahan sedia ada.

“Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik.

“Pada hujung minggu pula, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Selain itu katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal













Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda miliki rumah



KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui skim tersebut, pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti kelaziman sebelum ini.

“Kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah kerana bukan mudah untuk mereka bertatih.

“Skim Rumah Pertamaku akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000,” katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, pembeli rumah pertama juga akan diberikan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga tidak melebihi RM350,000.

Selain itu kata Najib, kerajaan turut mencadangkan pengecualian duti setem juga sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai rumah pertama tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, bagi membantu golongan miskin yang berpendapatan rendah, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM568 juta bagi membina 87,300 unit kediaman.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut 79,000 unit rumah dibina di bawah Program Perumahan Rakyat, 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah dan 300 unit di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar.

Sementara itu, bagi membantu golongan pekerja estet untuk memiliki rumah pula, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Skim ini terbuka kepada pekerja estet tetap (warganegara) untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus.

“Tempoh pinjaman pula dipanjangkan sehingga 40 tahun dengan pembiayaannya menjangkau sehingga kepada generasi kedua,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan