OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Selasa, 4 Januari 2011

Sultan tegur MB

Pelantikan SUK ikut prosedur KENYATAAN akhbar ini dibuat untuk menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang timbul berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.
Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan. Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2 (a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 D.Y.M.M Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Selain daripada itu, pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Semua upacara diadakan pada suatu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.
Majlis tersebut bukanlah merupakan majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi merupakan Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada Negeri Selangor.

Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B Dato’ Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Negeri Seri Muda, Y.B Shuhaimi bin Haji Shafiei pada 30 haribulan Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau. Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55 (1) (1A). Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M Sultan Selangor seolah-olah sebagai “beraja di mata, bersultan di hati’’ adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai “Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA’’ oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di Negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B Dato’ Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat. Apa yang berlaku sebenarnya, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor. Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di Negeri Selangor.

Mengenai cadangan Y.A.B Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B Dato’ Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan. Tindakan Y.A.B Dato’ Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu.


DATO HAJI MOHAMAD MUNIR BANI
Setiausaha Sulit Sultan Selangor












Lagi 18 laporan polis terhadap Shuhaimi



KLANG 4 Jan. - Desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei semakin memuncak apabila 18 lagi laporan polis dibuat oleh pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Laporan dibuat berikutan kenyataan wakil rakyat tersebut yang mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang disifatkan sebagai menderhaka kepada sultan.

Hari ini, sebanyak 11 laporan polis dibuat oleh kumpulan 4Justice di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dekat di sini, manakala tujuh lagi laporan dibuat di IPD Klang kira-kira pukul 11 pagi ini.

Mereka yang terlibat ialah Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Raja, MIC, MCA Kota Raja, Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Persatuan Bugis Selangor dan Andalas Comunity Centre.

Kira-kira 100 ahli kesemua pertubuhan itu hadir memberi sokongan bagi menggesa pihak keselamatan mengambil tindakan tegas terhadap ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Ketua Pemuda BN Kota Raja, Nur Azman Anuarul berkata, langkah yang diambil pelbagai pertubuhan itu adalah sejajar dengan pendirian GAPS semalam yang mahu laporan polis dibuat setiap hari bagi memastikan ADUN tersebut dikenakan tindakan setimpal dengan perbuatannya.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan menjadi barah yang akan merosakkan pemikiran masyarakat.

"Saya rasa tindakan ADUN berkenaan sebagai sengaja dibuat untuk menaikkan kemarahan rakyat dan memberi persepsi negatif terhadap institusi Raja-Raja Melayu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam GAPS dan Perkasa membuat laporan di IPD Shah Alam berkaitan blog Shuhaimi iaitu http://srimuda.blogspot.com yang didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK.

Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Nur Azman dalam pada itu menegaskan, sekiranya tindakan segera tidak diambil, pihaknya khuatir ia akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam serta negara.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu menyiasat laporan yang dibuat agar pendakwaan dapat dijalankan dalam masa terdekat dan menjadi iktibar pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi 4Justice, Anuar Basiran berkata, pihaknya memberikan tempoh dua minggu supaya tindakan diambil terhadap Shuhaimi.

"Sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Shuhaimi dalam tempoh waktu itu, kami akan menghantar memorandum bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, tindakan segera harus diambil kerana dikhuatiri tulisan dalam blog ADUN tersebut akan meracuni pemikiran masyarakat di negara ini sehingga wujudnya perpecahan.

Tambah beliau, sehingga pagi ini, tulisan tersebut masih lagi tertera dalam blog ADUN berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Muhamad Md. Yusof ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan laporan yang dibuat oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan