OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sabtu, 11 Disember 2010

Komponen BN diingat tidak main isu perkauman

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memainkan isu perkauman kerana ia boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perbuatan itu perlu dihentikan kerana ia tidak selaras dengan matlamat penubuhan BN iaitu bagi mewakili semua kaum.

"Masalah di kalangan sebilangan parti komponen BN (masa kini) adalah dalam keinginan untuk menjadi popular, mereka suka membawa isu-isu perkauman.

"Tindakan ini boleh membawa kesan negatif kerana apabila anda hanya mempromosikan satu kaum, maka kaum-kaum lain tidak akan menyokong kamu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada Konvensyen BN 2010, Ahad lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang berucap mewakili parti itu secara terbuka mendesak agar istilah 'ketuanan Melayu' dilarang daripada digunakan dan turut menegaskan dasar utama kerajaan tidak harus diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Ditanya adakah kenyataannya itu merujuk kepada MCA, Dr. Mahathir berkata:

"Saya tidak ingin menyatakan parti mana yang saya maksudkan. Anda (wartawan) lebih tahu daripada saya."

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, beliau berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal pada Mac tahun depan.

"Saya tidak boleh membaca fikiran Perdana Menteri, tetapi pada pandangan saya, rakyat harus diberi masa kerana mereka belum bersedia ke arah ini.

''Saya juga merasakan Perdana Menteri mahu memastikan bahawa BN menang dengan majoriti yang baik (sebelum memutuskan tarikh pilihan raya),'' katanya.

Ditanya langkah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang menyerahkan jawatan itu kepada pengganti yang juga timbalannya, Datuk G. Palanivel Isnin lalu, beliau berkata, tindakan berkenaan harus dibuat apabila seseorang itu merasakan dirinya tidak lagi berguna.

"Kita semua mempunyai jangka hayat yang berguna kepada masyarakat. Seperti saya, apabila tiba masa tidak lagi berguna, saya mengundurkan diri," ujarnya.






‘Taubatlah Azmin’


UMI HAFILDA ALI


Ummi Hafilda Ali yang pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 merayu abangnya, Azmin yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pulang ke pangkal jalan dan bertaubat.

Ummi Hafilda, 42, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, beliau membuat seruan itu setelah melihat banyak hipokrasi, penyelewengan, pembohongan serta salah laku melibatkan abangnya itu.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia di dalam lingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa.

'Jangan tipu rakyat, jangan tipu bangsa sendiri. Wahai Azmin pulanglah ke pangkal jalan. Bertaubatlah sekurang-kurangnya takutlah pada Allah, malulah kepada para malaikat.

'Kepada Anwar dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga saya pohon perkara yang sama. Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi. Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

- UMMI HAFILDA ALI

Adik Azmin Ali.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp







'Usah gadai masa depan negara'

PEKAN 11 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan mempercayai segala janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang kepada mereka.

Tegas Perdana Menteri, parti pembangkang terbukti gagal mentadbir negeri-negeri yang dikuasai mereka apabila tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditaburkan pada pilihan raya lalu.

Malah kata beliau, pembangkang juga gagal mencapai kesepakatan dalam pakatan yang mereka cipta selama ini.

"Parti-parti pembangkang mempunyai ideologi yang bercanggah antara satu sama lain dalam pakatan yang mereka ciptakan.

"Oleh itu, jangan beri peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara ini," tegasnya semasa berucap pada sambutan Deepavali 1Malaysia peringkat Parlimen Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejarah dunia membuktikan bahawa pemimpin yang hanya bijak menabur janji tetapi gagal menunaikannya, akan tersungkur.

"Ramai pemimpin dunia gagal menjadi pemimpin yang baik kerana kegagalan menunaikan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada rakyatnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin parti pembangkang tidak akan mampu memerintah negara kerana kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan pakatan mereka.

Beliau menegaskan, hanya BN yang mampu memerintah negara menerusi rekod cemerlangnya sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

"BN telah membuktikan mampu menunaikan segala janjinya kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan.

"Hanya BN yang boleh membawa Malaysia menjadi negara maju menerusi janji-janji yang realistik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Najib juga berazam akan terus memberikan keadilan kepada semua lapisan rakyat rakyat tanpa mengira kaum supaya negara menjadi makmur dan harmoni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan