OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Ahad, 5 Disember 2010

'Kikis sifat khayal, lupa diri'


Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen mengibarkan bendera semasa menyanyikan lagu Barisan Nasional sebelum beliau merasmikan Konvensyen Barisan Nasional 2010 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota-anggota Barisan Nasional (BN) mengikis sifat khayal, lupa diri, jumud dan angkuh yang sering dikaitkan sebagai penyakit mana- mana parti yang sudah lama berkuasa, untuk menambat hati rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN menegaskan, empat penyakit itu perlu dielak, dikikis dan dibuang jauh sebelum rasa sayang rakyat terhadap BN berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan dan sokongan bertukar menjadi penentangan.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli BN supaya jangan terpesona dengan kejayaan lalu hingga menyebabkan mereka terleka dan angkuh yang akan menyebabkan rakyat benci dan menyampah, sebaliknya ia perlu dijadikan inspirasi bagi menjana kemenangan lebih besar pada masa akan datang.

"(Saya) menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri," katanya dalam ucapan dasar pada Konvensyen BN di Wisma MCA di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui bahawa politik itu penuh dengan percaturan, persepsi dan permainan angka, namun ia tidak akan berlaku dengan sendirinya.

"Sebetulnya, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap BN perlu terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

"Untuk bangun kembali, kita mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Itu yang sedang kita usaha dan lakukan, barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan," katanya.

Tambah Najib, kejayaan terbesar BN ialah kemampuan menukar pelbagai kerumitan yang wujud kepada kelebihan dalam persaingan dan ia bukannya pencapaian kecil tetapi sebaliknya amat signifikan dan begitu bersejarah dalam pembikinan Malaysia.

Katanya, kejayaan itu amat mengkagumkan kerana ia tidak melalui jalan mudah dengan mengamalkan kaedah 'kawah pelakuran' (melting pot) dalam membina sebuah negara iaitu perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu dicipta.

"Kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana-mana budaya, tidak juga menukar asal-usul sesiapa. Sehingga sekarang masing-masing bebas mengamalkan jati diri," katanya.

Bahkan menurut Najib, rakyat harus berbangga bahawa Malaysia satu-satunya negara di dunia membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.








Kerjasama pembangkang tak lama, hanya seleweng rakyat

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak di negara ini sedar bahawa kerjasama pakatan pembangkang tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu dan menyeleweng rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sejarah membuktikan sepanjang mereka bergabung sama ada di dalam Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau terbaru Pakatan Rakyat, tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka.

Beliau berkata, apa yang mereka cuba lakukan hanya sia-sia kerana kerjasama itu bukan didasarkan dengan ramuan keikhlasan, wawasan serta nilai yang dikongsi bersama.

''Mereka cuba meniru kita dari segi kerjasama namun, pada hemat saya, usaha ini sia-sia sahaja. Atas nama apa pun yang dicipta ia hanyalah percubaan-percubaan pembangkang untuk bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan.

''Simpulan bahasa ada menyebut, telunjuk sahaja lurus tetapi kelengkeng berkait. Antara DAP dengan Pas misalnya hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Konvensyen Barisan Nasional yang bertajuk Mengukuh Barisan, Mendahulu Rakyat di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini hari ini.

Najib berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kerjasama antara kedua-dua parti hanya disandarkan dengan adanya peranan pihak ketiga iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, beliau menyelar pihak pembangkang yang mengaku lebih demokratik dengan menyatakan kepimpinan mereka mewakili semua kaum.

Bagaimanapun beliau berkata, hakikatnya ia jauh berbeza.

''Lihat sahaja PKR daripada tujuh orang kepimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti," katanya.

Di dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh betapa gerunnya PKR terhadap langkah UMNO memperkenalkan corak pemilihan kepimpinan yang baru.

''Tampak jelas apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka sehingga kelam-kabut dan melilau ingin menciplak. Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya," katanya.

Mengenai pemilihan di dalam PKR, beliau menarik perhatian perwakilan apabila daripada 400,000 ahli yang didakwa menganggotai parti itu hanya 30,000 yang keluar mengundi untuk memilih pucuk pimpinan.

''Jika hanya tujuh peratus yakni lebih kurang 30,000 orang daripada kononnya 400,000 ahli parti yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk keluar memilih barisan kepimpinan mereka maka ia membawa dua konotasi.

''Konotasi pertama, parti itu tidak mendapat sokongan massa dan kedua integriti dan kewibawaan parti berkenaan sebenarnya disangsikan oleh ahli-ahli mereka sendiri," katanya.








PM gelar pembangkang pakatan nepotisme

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggelarkan pembangkang sebagai pakatan nepotisme memandangkan kepimpinannya yang dibarisi suami, isteri, bapa dan anak-anak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, perkara tersebut jelas apabila keputusan pemilihan sebuah parti pembangkang baru-baru ini menyaksikan ketua umum, presiden dan naib presidennya datang daripada sebuah keluarga.

Lebih menarik lagi menurut beliau, timbalan presidennya pula dikatakan ada hubungan istimewa dengan ketua umum parti berkenaan.

Katanya, begitu juga dengan satu lagi anggota pakatan pembangkang yang dilihat sebagai parti 'Anak Beranak Sendirian Berhad'.

''Dengan hegemoni dua dinasti, satu keluarga dengan kuasa dan satu lagi keluarga tanpa kuasa, semuanya ini telah ditentukan. Sebabnya dalam sistem parti ini setiausaha agung lebih berkuasa daripada pengerusi.

''Sungguh lucu rasanya apabila mereka pula yang berani menuduh kita sebagai pengamal nepotisme. Saya ingin bertanya siapa pengamal nepotisme yang sebenar di sini?" sindirnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dasar sempena Konvensyen BN di Wisma MCA di sini hari ini.

Mengenai Pas, Najib di dalam ucapannya hairan dengan pendirian parti itu kerana sanggup menjalin kerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara walaupun mengaku menjadi pendukung Islam.

Oleh itu beliau berkata, lebih tepat lagi pakatan pembangkang terdiri daripada dua buah keluarga dengan satu lagi parti menjadi pak turut atau kuda tunggangan.

''Apa yang boleh dikatakan Pas sepatutnya bertindak lebih bijak daripada itu dan eloklah Pas terus berpegang teguh kepada apa yang kononnya menjadi prinsip mereka selama ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri dengan nada sinikal mempersoalkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah tuhan.

''Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap 'ke..he..ba..tan' suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu dibuat.

''Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga pernyataan begini sanggup dikeluarkan. Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat, satu lagi ajaran songsang? Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu," katanya disambut tepukan gemuruh serta sorakan perwakilan.

Isu pemimpin-pemimpin PKR keluar parti juga berjaya menarik perhatian perwakilan sekali gus menggamatkan dewan apabila Perdana Menteri menyebut jawatan mereka yang bertindak demikian.

''Ramai pimpinan utama mereka keluar parti antaranya timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda, ketua penerangan, pengerusi, ketua cabang termasuk Cabang Permatang Pauh, bekas timbalan ketua menteri, lima ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

''Senarai panjang sangat. Izinkan saya minum air dahulu. Lantaran itu amat tepat jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-Ramai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan