OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Rabu, 24 Mac 2010

Jenazah Dr. Sulaiman selamat dikebumi



Mahadhir menyiram air di pusara bapanya Allahyarham Dr. Sulaiman Daud di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bahagian Kuching, Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 24 Mac - Jenazah bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bahagian Kuching di sini pada pukul 1.20 petang ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Puan Sri Naemah Hasbi yang meninggal dunia pada 26 Mac 2005.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Bahagian Kuching diketuai oleh Imam Besar Masjid Negeri Sarawak, Jorji Suhaili yang kemudiannya turut memimpin majlis bacaan talkin.

Keempat-empat anak Allahyarham iaitu Mahadhir, Norshida, Zelda Raha dan Azman Azam hadir pada majlis pengebumian tersebut.

Sebelum itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Allahyarham di kediamannya di No. 10 Jalan Haji Kasan, Kampung No. 6 di Satok pagi ini.

Kenamaan lain yang turut memberikan penghormatan terakhir ialah bekas Ketua Menteri yang juga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kub; dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam serta Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan Kabinet negeri.

Anak sulung Allahyarham, Mahadhir ketika ditemui memberitahu, arwah bapanya seorang yang kental dalam melawan beberapa penyakit barah termasuk paru-paru yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, Allahyarham yang mempunyai 15 orang cucu itu gembira kerana sempat menyambut ulang tahun kelahirannya pada 7 Mac lalu bersama anak-anak serta cucunya.

''Kata-kata terakhir Allahyarham ialah supaya kami adik beradik terus hidup bersama-sama.

''Allahyarham turut gembira kerana dapat meluangkan masa dengan ahli keluarga sejak tidak lagi bertugas dalam kerajaan," katanya.

Mahadhir berkata, Allahyarham mula mengalami sakit yang teruk akibat barah sejak November tahun lalu.












Sebutan kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi hari ini

KUALA LUMPUR 24 Mac - Selepas lebih sebulan tertangguh, kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Sama ada kes itu akan terus dibicarakan esok atau satu tarikh lain ditetapkan bagi perbicaraan, akan ditentukan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Jika diteruskan, kes berprofil tinggi itu sudah tentu mengundang perhatian ramai kerana tiba giliran peguam bela Anwar yang diketuai Karpal Singh menyoal balas Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi pendakwa pertama.

Pada 18 Februari lalu, Mohamad Zabidin menetapkan esok untuk sebutan kes itu setelah dimaklumkan bahawa Anwar akan memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan hakim itu yang tidak menarik diri daripada mendengar kes liwat berkenaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun menarik balik rayuannya pada 16 Mac lalu, iaitu tiga hari sebelum ia dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas.

Pada 8 Februari lalu, Anwar memohon supaya hakim itu menarik diri kerana bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonannya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Mohamad Zabidin menolak permohonan tersebut. Anwar, 63, menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mohd. Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan selama tiga hari mulai 3 Februari lalu, selepas kes itu tertangguh sejak 1 Julai tahun lalu.

Dalam keterangannya, anak sulung daripada dua beradik itu mendakwa, sebagai pembantu peribadi Anwar, dia pernah menerima elaun AS$1,000 (RM3,400) dan 10,000 dolar Hong Kong (RM4,300) semasa mengikuti kunjungan Ketua Pembangkang itu ke Singapura dan Hong Kong.

Selain itu, dia yang pernah melakukan sumpah laknat atau mubahalah pada 15 Ogos 2008 berkata, semasa di tempat kejadian, Anwar ada bertanyakan "Can I f***k you today?" kepadanya dan memeluknya dalam keadaan mereka hanya memakai tuala mandi.

Pemuda itu juga memaklumkan, Anwar pernah menawarkan untuk membiayai pengajiannya di mana-mana universiti dan pada masa sama memperoleh gaji penuh serta elaun sewaktu dia meluahkan hasrat berhenti kerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan