OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Khamis, 11 Mac 2010

Jenazah Tantawi selamat disemadi di Madinah



Jenazah Tantawi selamat disemadi di Madinah


Pegawai membawa keranda jenazah Sheikh Mohammed Sayed Tantawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, semalam. Jenazah Tantawi selamat dikebumi di Madinah, semalam. - Reuters


KAHERAH 11 Mac - Jenazah Sheikh Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi hari ini selamat dikebumikan di Jannatul Baqee, Madinah yang menempatkan makam saudara- mara dan sahabat Nabi Muhammad SAW, selepas jenazahnya disembahyangkan di Masjid Nabi.

Jenazahnya sebelum itu diterbangkan dari Riyadh selepas menghembuskan nafas terakhir semalam, setelah mengadu sakit dada dipercayai akibat diserang sakit jantung.

Sementara itu, jawatan Sheikh Al-Azhar akan dipangku oleh timbalan beliau, Mohamed Wasel sehingga Presiden Mesir, Hosni Mubarah melantik ketua baru institusi Islam tersebut.

Wasel, sebelum ini mengepalai jawatankuasa dialog antara agama Al-Azhar, yang mengendalikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di seluruh Mesir yang menghantar sarjananya untuk mengajar di negara dunia Islam.

"Kerajaan biasanya memilih ulama berfahaman sederhana dan apa yang kami minta adalah seorang yang akan bekerja untuk kepentingan rakyat dan tidak akan berat sebelah kepada kerajaan tetapi mengutamakan kebenaran," kata Sheikh Mahmoud Hamdy Mugahed, bekas sarjana Al-Azhar yang kini menganggotai Parlimen.

Semasa dilantik pada 1996, Tantawi dilihat sebagai sebagai ulama yang berpandangan liberal terhadap isu seperti hak asasi wanita namun dikritik ramai kerana menurut perintah kerajaan.

Semasa memegang jawatan itu, beliau menentang amalan berkhatan pada wanita sekali gus mencetus kritikan kumpulan hak asasi sebagai tidak menurut cara Islam.

Beliau juga menentang penggunaan niqab iaitu purdah yang menutup seluruh muka, dengan mengeluarkan fatwa tahun lalu yang mengharamkan pemakaiannya di semua sekolah wanita di bawah kendalian Al-Azhar.

Ketika Perancis dikritik negara-negara Arab dan dunia Islam kerana mengharamkan tudung di sekolah milik negara, Tantawi pada 2003 menyatakan menutup aurat adalah tanggungjawab semua wanita beragama Islam, namun negara bukan Islam mempunyai hak untuk mengeluarkan sebarang undang-undang.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menyifatkan Tantawi sebagai 'tokoh penting dalam menyuarakan dialog antara agama dan komuniti'.

"Rakyat AS akan mengingati Imam Tantawi kerana mengutuk keganasan selepas serangan 11 September 2001 apabila beliau menegaskan 'bukan keberanian jika membunuh orang tidak berdosa'," kata Hillary dalam satu kenyataan.

Penasihat Tantawi, Abdullah el-Naggar memberitahu televisyen Nile News bahawa pemergian beliau adalah satu kejutan kerana sebelum bertolak ke Arab Saudi beliau berada dalam keadaan sihat.







Damai Asia Barat berkecai

KAHERAH 11 Mac - Prospek rundingan damai antara Isreal dan Palestin berkecai apabila Liga Arab menolaknya, setelah Israel meneruskan rancangan untuk membina lebih banyak penempatan haram baru di wilayah Palestin yang didudukinya.

Ketua Liga Arab, Amr Mussa memberitahu pemberita, Presiden Palestin, Mahmud Abbas telah memaklumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri sebarang rundingan damai dalam suasana sekarang.

Satu kenyataan Liga Arab semalam berkata, tindakan Israel itu mesti dihentikan sebelum sebarang perbincangan bagi menyambung semula rundingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dapat diadakan.

Rundingan damai tidak akan diteruskan kecuali Israel membatalkan rancangannya untuk membina lebih banyak penempatan haram baru di wilayah Palestin yang didudukinya, katanya.

Israel kini menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung keputusannya mengumumkan pembinaan penempatan haram baru Yahudi ketika Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) melawat Baitulmaqdis untuk memulihkan rundingan damai.

Kenyataan itu menyusul selepas mesyuarat tergempar para perwakilan 13 negara anggota Liga Arab.

''Pendirian kami adalah jelas, tiada rundingan damai boleh diadakan, langsung atau tidak langsung jika keputusan Israel baru-baru ini tidak dibatalkan,'' kata Mussa kepada para pemberita.

Abbas berkata pengumuman Israel dan satu keputusan sebelum ini untuk membina 112 buah rumah bagi pendatang Yahudi di Tebing Barat, menjejaskan keyakinan dan amat merugikan usaha sejak beberapa bulan lalu untuk memulakan rundingan damai tidak langsung.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton dalam satu kenyataannya semalam juga mengutuk keputusan Israel itu.

''Kesatuan Eropah menegaskan bahawa pembinaan penempatan melanggar undang-undang antarabangsa,'' katanya senada dengan kenyataan mengenainya oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon kelmarin.









Sarkozy tidak akan curang - Bruni

PARIS 11 Mac - Bekas supermodel yang kini menjadi wanita pertama Perancis, Carla Bruni menegaskan bahawa suaminya, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy tidak akan curang terhadapnya dan menganggap cinta mereka seperti 'kisah dongeng'.

Bruni yang berkahwin dengan Sarkozy dua tahun lalu selepas menjalani saat romantis bersama, membuat ulasan itu dalam televisyen Sky News di Britain, semalam dan ia dirakamkan pada Jumaat lalu.

Khabar angin bertiup kuat di Internet dan media Britain sejak tiga hari lalu menyatakan bahawa Bruni dan Sarkozy masing-masing menjalin hubungan sulit.

Istana Presiden, Elysee juga tidak mengulas spekulasi tersebut.

Walaupun temu ramah dengan Sky News itu dibuat sebelum khabar angin itu timbul, wartawan terlibat mengajukan soalan sama ada Bruni mempercayai Sarkozy, kerana timbul spekulasi yang beliau pernah mempunyai hubungan sulit sebelum mereka bertemu.

"Oh ya, sangat percaya. Dia takkan ada hubungan sulit, Adakah kamu pernah melihat gambarnya berbuat demikian?," kata Bruni dengan jelingan marah kepada wartawan tersebut.

Ketika ditanya sama ada dia merasakan perkahwinan mereka akan kekal selamanya, Bruni terkedu seketika sebelum menyatakan itulah yang sepatutnya berlaku, namun masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti.

Daripada bintang fesyen kepada selebriti, Bruni membawa popularitinya ke Elysee pada Februari 2008 apabila berkahwin dengan Sarkozy, yang sebelum itu menceraikan isteri keduanya empat bulan sebelum itu.

Bagaimanapun, hubungan yang terjalin dalam masa singkat itu menimbulkan tandatanya di Perancis, terutamanya disebabkan kenyataan Bruni dalam temu ramah majalah pada 2007 apabila dia menyatakan 'cepat bosan dengan monogami'.

Ia dibangkitkan dalam temu ramah dengan Sky News dan Bruni menjelaskan Sarkozy adalah suami pertamanya. "Saya tidak pernah berkahwin sebelum ini, jadi saya rasa monogami adalah soal perkahwinan bukan?," tanya beliau.

Bruni pernah menyifatkan dirinya sebagai 'penunduk lelaki' dan mempunyai hubungan dengan beberapa tokoh intelek dan bintang rock, termasuk Mick Jagger dan Eric Clapton, dan mempunyai seorang anak hasil hubungan dengan lelaki sebelum ini.








Mubarak selamat jalani pembedahan

KAHERAH 11 Mac - Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibenarkan keluar daripada unit rawatan rapi sebuah hospital di Jerman semalam, empat hari selepas menjalani pembedahan pemindahan pundi hempedu.

"Mubarak, 81, meninggalkan unit rawatan rapi pagi ini dan kini dirawat di wad biasa Hospital Universiti Heidelberg.

"Kesihatan beliau bertambah baik," kata Menteri Kesihatan Hatem al-Gabali tanpa memberitahu bila Presiden itu akan dibenarkan keluar dari hospital.

Semasa pembedahan dijalankan Sabtu lalu, satu ketumbuhan lain turut dikeluarkan dari usus kecilnya.

Sepanjang ketiadaannya, Mubarak menyerahkan kuasa eksekutif kepada Perdana Menteri Ahmed Nazif, sehingga beliau pulang ke Kaherah.










Carlos Slim terkaya di dunia

MEXICO CITY 11 Mac - Ahli perniagaan Mexico, Carlos Slim yang mengatasi Bill Gates dalam senarai Forbes bagi gelaran jutawan dunia, terkenal dengan sikapnya yang merendah diri dan sentiasa membuat pelaburan ketika krisis ekonomi.

Slim, 70, berada di kedudukan tertinggi itu buat pertama kali dalam senarai itu yang disiarkan semalam, mengatasi pengasas Microsoft, Gates.

Sebelum ini, Slim, berada di tangga ketiga sebagai operator telefon bimbit terbesar Amerika Latin.

Kekayaannya dianggarkan berjumlah AS$53.5 bilion (RM177.8 bilion), berdasarkan kedudukan baru yang dikeluarkan Forbes, semalam.

"Jumlah keuntungan yang dicapainya itu berasaskan harga saham syarikat, jadi kami gembira kerana pelabur yakin dengan Mexico, Amerika Latin dan syarikat kami," kata jurucakap kumpulan Slim Telmex, Arturo Elias Ayub.

Menurut Forbes, keuntungan Slim berkembang AS$18.5 bilion (RM61.4 bilion) dalam tempoh 12 bulan dan perkongsiannya dalam Movil Amerika yang mana ia memiliki kepentingan berjumlah AS$23 bilion (RM76.4 bilion), peningkatan sebanyak 35 peratus setahun.

Kemahiran Slim dalam bidang perniagaan dipelajari sejak kecil apabila ayahnya, seorang rakyat Lebanon memberikannya buku simpanan bagi menguruskan pendapatan dan perbelanjaan mereka.

Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam dan kemudiannya menubuhkan syarikat telefon utama, Telmax selepas memperolehinya daripada kerajaan pada 1990.

Semasa krisis kewangan pada 2008, beliau terus membeli perniagaan yang mengalami masalah seperti pertama kali dilakukannya ketika krisis ekonomi membelenggu Amerika Latin pada awal 1980-an.

"Dalam keadaan yang sepatutnya berhenti melabur, dia terus melabur lebih banyak apabila krisis melanda dan ia membuahkan hasil positif," jelas Ayub.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan