OUR PRIME MINISTER

OUR PRIME MINISTER
Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA
"Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Khamis, 18 Mac 2010

Rumah Abhisit pula disimbah darah



PENYOKONG Thaksin Shinawatra menuangkan darah daripada sebuah botol ke atas pagar kediaman Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di Bangkok, Thailand, semalam. - AP


BANGKOK 17 Mac - Sehari selepas menyimbah darah di Rumah Kerajaan semalam, penunjuk perasaan Thailand hari ini melakukan perbuatan sama di depan pintu pagar kediaman Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, ketika perhimpunan besar-besaran yang masuk hari keempat dilapor semakin kehilangan momentum.

Beribu-ribu penunjuk perasaan Baju Merah yang setia kepada bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra berkumpul dalam keadaan hujan lebat di sebuah sekatan polis di luar bangunan tersebut, ketika sekumpulan kecil penunjuk perasaan menyimbah darah.

Polis berkata, kira-kira 1,000 anggota pasukan keselamatan berkawal di situ dan enam tempat pemeriksaan diwujudkan di sekitar kediaman Abhisit di kawasan mewah, Sukhumvit di Bangkok, di mana kumpulan Baju Merah melumpuhkan lalu lintas.

Tindakan pelik penunjuk perasaan yang menyimbah darah bermula semalam, apabila golongan itu yang mendesak Abhisit meletak jawatan, bertindak mengumpul 300 liter darah di kalangan mereka, yang sebahagiannya disimbah di pintu pagar pejabat Perdana Menteri itu.

Polis berkata, lebih 10,000 penunjuk perasaan masih berada di ibu negara Thailand hari ini, jauh lebih rendah berbanding 100,000 penunjuk perasaan yang berkumpul hujung minggu lalu, walaupun pemimpin mereka dan Thaksin meminta penyokong-penyokongnya supaya terus kekal di situ.

Walaupun jumlah mereka semakin susut, pemimpin penunjuk perasaan terus meminta ahli-ahli mereka bersabar dengan mengatakan, kejayaan berada dalam genggaman mereka.

"Kita semakin menghampiri kejayaan, jika kita buat silap sekarang, kita akan kalah bagi tempoh yang lama.

"Kita mahukan kejayaan yang kekal, jadi kita perlu bersabar," kata pemimpin Baju Merah Jatuporn Prompan, sebelum meninggalkan kediaman Abhisit yang dikawal ketat itu dengan tangan kosong.

Penunjuk perasaan kemudian berhimpun di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), menuduh pegawai risikan Amerika mengintip dan memintas perbualan telefon Thaksin.

Seramai 100,000 Baju Merah berkumpul di Bangkok hujung minggu lalu mendesak Abhisit membubarkan Parlimen sebelum tengah hari kelmarin. Abhisit menolak kata dua tersebut namun menyatakan kerajaan beliau sedia mendengar luahan hati penunjuk perasaan.








Israel akhiri sekatan di Tebing Barat


SEORANG pemuda Palestin berdiri di atas tembok sambil mengibarkan bendera ke arah tentera Yahudi (tidak kelihatan) di timur Baitulmaqdis, kelmarin. - AP


BAITULMAQDIS 17 Mac - Israel hari ini menamatkan sekatan di Tebing Barat namun mengekalkan keadaan berjaga-jaga di Baitulmaqdis, berikutan kebimbangan letusan baru keganasan selepas rusuhan semalam.

Jurucakap polis Micky Rosenfeld mengesahkan perkara tersebut dengan berkata, seramai 3,000 polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Baitulmaqdis, terutamanya di bahagian timur.

"Akses ke al-Haram al-Sharif di Baitulmaqdis kini dibuka kepada penganut Islam dan pelancong," katanya.

Seorang jurucakap tentera dalam pada itu memberitahu AFP, Menteri Pertahanan Ehud Barak mengarahkan sekatan tersebut ditamatkan malam tadi.

Sabtu lalu, Israel melanjutkan tempoh sekatan dan menyekat akses ke kawasan masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis ketika ketegangan memuncak di kawan suci itu berhubung pembinaan semula kuil pada kurun ke-17, Hurva yang terletak hanya 400 meter dari masjid al-Aqsa.

Israel menutup jalan masuk ke Tebing Barat Jumaat lalu selepas pengumumannya membina rumah-rumah baru untuk peneroka haram Yahudi di kebanyakan kawasan timur Baitulmaqdis, mencetuskan pertelingkahan dengan Washington dan menimbulkan kemarahan di kawasan Palestin.










Osama tidak akan ditangkap hidup-hidup

WASHINGTON 17 Mac - Peguam Negara Eric Holder semalam memberitahu Kongres, Osama Laden (gambar) tidak akan dihadapkan ke muka pengadilan di Amerika Syarikat (AS) kerana dia tidak mungkin akan ditangkap hidup-hidup.

Dalam satu perdebatan yang hangat dengan anggota-anggota Republikan, beliau membandingkan Osama dengan pembunuh bersiri, Charles Manson dan menjangkakan sekiranya berlaku demikian 'kami akan bacakan (hak untuk berdiam diri) kepada jenazah Osama' dan bukan sebagai tawanan.

Holder dengan tegas turut menyangkal kritikan anggota-anggota Republikan dalam jawatankuasa kecil Dewan Peruntukan, yang berkeras mengatakan terlalu bahaya untuk membawa suspek pengganas dibicarakan di mahkamah persekutuan awam seperti yang disarankan beliau.

Peguam Negara itu berkata, beliau sangat marah apabila mendengar aduan dan kritikan konservatif yang mengatakan pengganas akan mendapat banyak hak dalam sistem mahkamah.

Perbandingan yang dibuat Holder dengan Manson membangkitkan kemarahan anggota Republikan, John Culberson yang mengatakan ia menunjukkan pentadbiran Presiden Barack Obama tidak memahami kemahuan rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap ancaman pengganas yang dianggap sebagai musuh perang dan bukan defendan jenayah.

"Pihak saya nampaknya mempunyai perbezaan falsafah yang sangat berbeza dengan pentadbiran Obama," tegas Culberson.

Holder sambil meninggikan suara mendakwa, bantahan Culberson itu dibuat tanpa berdasarkan fakta undang-undang dan usaha memerangi pengganas.

"Kita perlu berdepan kenyataan. Osama tidak akan dihadapkan ke mahkamah AS.

"Kemungkinan untuk menangkapnya hidup-hidup amat kecil. Dia mungkin akan dibunuh kita atau orang-orangnya sendiri," jelas Holder.








Ka Ting nafi terlibat

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting menafikan terlibat dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa beliau direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merebut jawatan presiden pada pemilihan parti 28 Mac ini.

Malah, Ahli Parlimen Kulai itu turut membuat andaian terdapat agenda tersembunyi di sebalik penyebaran SMS itu dan ia berniat jahat untuk menjatuhkan imejnya.

Beliau berpendirian nama Perdana Menteri dan Timbalannya, tidak patut dilibatkan dalam pemilihan parti kerana kedua-duanya tidak pernah campur tangan mengenai hal dalaman MCA sebelum ini.

"Saya tidak tahu SMS itu datangnya dari siapa, namun apa yang pasti ia bukan dari saya.

"SMS yang melibatkan Perdana Menteri dan timbalannya ini adalah bermotif buruk dan mempunyai agenda tersembunyi" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai penyebaran SMS itu di Alor Setar, Kedah hari ini.

SMS tersebut dikatakan mula disebarkan selepas Ka Ting membuat pengumuman untuk bertanding merebut jawatan presiden parti itu semalam.

Soi Lek yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab selain mencemar nama Perdana Menteri dan timbalannya, turut menggesa Ka Ting yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat penafian secara terbuka berhubung SMS tersebut.







Pemimpin MCA negeri sambut baik

MELAKA 17 Mac - Pemimpin MCA negeri hari ini menyambut baik keputusan Tan Sri Ong Ka Ting menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu 28 Mac ini.

Naib Pengerusi MCA negeri, Datuk Lai Meng Chong berkata, sebagai ahli dalam parti yang mengamalkan demokrasi, bekas Presiden MCA itu berhak berbuat demikian.

''Saya amat berharap pertandingan merebut jawatan tertinggi parti ini berlangsung dalam suasana harmoni dan tidak berlaku sebarang perpecahan yang akan meneruskan kemelut yang berlaku sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Ka Ting apabila semalam beliau mengumumkan akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sehubungan itu, Meng Chong yang juga Timbalan MCA Bahagian Alor Gajah meminta seluruh ahli parti di negeri ini membuat keputusan yang bijak untuk memilih Presiden parti itu nanti.

Bagi seorang lagi Naib Pengerusi MCA negeri, Datuk Seet Har Cheow pula berkata, beliau menyambut baik keputusan Ka Ting menawarkan diri bertanding jawatan tersebut sekali gus menentang Tee Keat.














Tang Chong diberi tempoh 24 jam mohon maaf

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bekas Ketua Biro Undang-Undang MCA, Datuk Leong Tang Chong diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf berhubung kenyataannya yang dianggap menghina Ketua Biro Undang-Undang MCA, Lim Hong Sang semalam.

Pengerusi Pasukan Biro Tugas Khas MCA, Simon Lim berkata, kenyataan Tang Chong yang menganggap Hong Sang perlu kembali ke sekolah undang-undang untuk mendalami bidang itu adalah sangat melampau.

Katanya, jika tiada permohonan maaf diterima dari Tang Chong, beliau secara peribadi akan membuat laporan kepada Majlis Peguam agar pertubuhan itu dapat mengambil tindakan ke atas Tang Chong yang juga ahlinya.

"Kenyataan dibuat Tang Chong bukan sahaja menghina Hong Sang malah turut menghina Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng yang pernah membuat kenyataan berdasarkan nasihat Biro Undang-Undang MCA.

"Berdasarkan perlembagaan, adalah jelas bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Datuk Wong Mook Leong dan Wong Nai Chee yang meletak jawatan tidak layak bertanding dalam pemilihan baru parti pada 28 Mac ini. Tidak perlu kita pertikaikannya lagi," katanya.

Semalam Tang Chong ketika mempertahankan kelayakan Mook Leong dan Nai Chee untuk bertanding menempelak Hong Sang selaku ketua biro undang-undang kerana disifatkannya gagal menafsir perlembagaan parti.

Biro Undang-Undang MCA sebelum ini pernah menasihatkan Foon Meng berhubung kedudukan kedua-dua ahli tersebut dan beliau kemudian mengumumkan mereka tidak layak untuk bertanding.

Sementara itu, Hong Sang pada sidang media yang sama menzahirkan rasa sedih di atas kritikan dilempar kepadanya yang disifatkan tidak beretika dan tidak profesional.

"Tang Chong patut menarik balik kritikan ini yang bersifat peribadi dan tidak bertanggungjawab. Beliau hanya merujuk kepada beberapa perkara di dalam Perlembagaan tanpa menelitinya secara menyeluruh," katanya.













Ka Ting pilihan terbaik, tepat

KUANTAN 17 Mac - Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting merupakan calon terbaik dan paling tepat untuk memimpin dan mengembalikan semula reputasi parti itu.

Ketua MCA Bahagian Paya Besar, Senator Ng Fook Heng berkata, sebagai seorang yang berpengalaman dalam politik MCA dan pernah menyatupadukan pergolakan yang berlaku pada 2003, pemilihan beliau sebagai calon Presiden MCA adalah tepat.

''Tan Sri Ong (Ka Ting) sememangnya calon yang layak memimpin dan menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku dalam MCA.

''Tambahan pula, beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang kontroversi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ka Ting bahawa beliau bertanding jawatan presiden pada pemilihan baru parti 28 Mac ini.

Ka Ting mengumumkan perkara tersebut semalam sekali gus mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menurut Fook Heng, walaupun tidak pernah berlaku dalam sejarah MCA seorang bekas presiden kembali bertanding tetapi demi kebaikan parti, ia perlu dilakukan.

''Tiada gunanya kalau serah kepada kepimpinan baru tetapi tidak dapat memikul tanggungjawab dengan baik dan hanya tahu bergaduh.









Mahu muka baru teraju parti

ALOR SETAR 17 Mac - Tindakan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting untuk kembali merebut jawatan yang pernah disandangnya tidak 'digemari' oleh beberapa Ketua MCA Bahagian di Kedah.

Sebahagian daripada mereka menyifatkan 'masa Ka Ting sebagai presiden' telah berlalu dan mahu muka baru menerajui parti berkenaan.

Ketua MCA Bahagian Sik, Saw Heng Giap berkata, Ka Ting perlu memberi peluang kepada muka baru untuk memegang jawatan presiden parti tersebut.

"Ka Ting sudah bersara dan dulu dia (Ka Ting) beritahu dia tidak mahu masuk campur lagi di dalam MCA.

"Kami risau jika Ka Ting kembali merebut jawatan presiden, masalah dalaman MCA akan bertambah buruk," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Heng Giap diminta mengulas mengenai pengumuman Ka Ting yang akan bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan baru parti pada 28 Mac ini.

Bekas presiden MCA itu mengumumkan perkara tersebut semalam sekali gus mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menurut Heng Giap, MCA mempunyai ramai pemimpin baru yang boleh diketengahkan untuk memimpin parti itu.

"Tindakan Ka Ting dikhuatiri akan memburukkan lagi kemelut dalaman yang berlaku di dalam MCA. Kami mahu melihat orang baru yang lebih bagus untuk memimpin parti," katanya.

Ketua MCA Bahagian Padang Terap, Chong Boon Hian juga tidak bersetuju dengan tindakan Ka Ting untuk bertanding jawatan presiden parti itu.

"Dia (Ka Ting) sudah bersara dan dia sepatutnya duduk diam-diam sahaja.

"Dia tidak perlu lagi campur hal ehwal parti dan berilah peluang pada pemimpin baru untuk menentukan hala tuju parti," jelasnya.

Bagaimanapun Ketua MCA Bahagian Sungai Petani, Datuk Beh Heng Teong berkata, keputusan siapa yang bakal menerajui MCA perlulah ditentukan oleh para perwakilan.

"Ka Ting memang layak untuk bertanding namun siapa yang akan dapat menduduki kerusi Presiden akan ditentukan oleh para perwakilan.

"Saya tidak mahu komen panjang dan tunggu sahaja keputusannya nanti," katanya.











9 bahagian di Sabah ikrar sokong bekas timbalan presiden

KOTA KINABALU 17 Mac - Sembilan bahagian MCA Sabah hari ini menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, sekiranya bekas Timbalan Presiden MCA itu bertanding jawatan Presiden pada pemilihan baru parti itu 28 Mac ini

Sembilan bahagian tersebut ialah Sipitang, Pensiangan, Beaufort, Putatan, Keningau, Ranau, Tuaran, Tawau dan Silam.

Ketua MCA Sipitang yang mewakili kumpulan berkenaan, Su See Tung berkata, Soi Lek perlu bertanding bagi menyelesaikan masalah dalaman dan menyatukan semula ahli parti berkenaan.

''Kami mempunyai keyakinan tinggi terhadapnya (Soi Lek), sebab itu kami mahu dia bertanding," katanya ada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah ketua-ketua MCA bahagian tersebut iaitu Wong Wai Yuen (Pensiangan), Vincent Yong Kon Fah (Beaufort), Datuk Tang Ling Sing (Putatan), Jack Chen Siong Yee (Keningau), Than Yin Enn (Ranau), Chua Sheng Kian (Tuaran), Goh Shit Chuan (Tawau) dan Datuk Teah Heok Kuin (Silam).

Semalam, Ketua Bahagian Penampang, Datuk Paul Kong Sing Chu mengumumkan sokongan terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada pemilihan akan datang.

See Tung berkata, Soi Lek wajar bertanding kerana beliau merupakan pemimpin yang mendapat sokongan akar umbi.

Katanya, ini dapat dibuktikan menerusi lawatan serta sikap prihatin Soi Lek terhadap masalah yang menimpa penduduk di kawasan itu.

Ditanya mengenai keputusan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting untuk bertanding pada pemilihan baru itu nanti, beliau berkata, ''Ka Ting tidak sepatutnya tampil pada waktu ini."

Beliau menegaskan, Ka Ting sepatutnya tampil ketika mesyuarat agung luar biasa parti itu sebelum ini.

''Beliau sepatutnya menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti ketika itu, bukannya tampil pada hari ini untuk bertanding jawatan presiden," katanya.










Soi Lek bakal umum 'sesuatu'?


Chua Soi Lek pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam.- UTUSAN/Halim Khalid


ALOR SETAR 17 Mac - Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dijangka bakal mengumumkan 'sesuatu' di Kuala Lumpur, Ahad ini.

Sumber MCA di peringkat negeri Kedah memberitahu, perkara itu dijangka melibatkan keputusan sama ada beliau akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden MCA atau tidak.

"Tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Namun saya pasti isi kandungan pengumuman tersebut adalah mengenai keputusan untuk bertanding kerusi Presiden atau tidak," katanya di sini hari ini.

Semalam, Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden parti itu pada pemilihan baru parti pada 28 Mac ini.

Pengumuman tersebut sekali gus mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Kemelut MCA berlarutan apabila mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu Oktober tahun lalu meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat dan timbalannya, Soi Lek yang dipecat daripada jawatan tersebut.

Ekoran itu, Naib Presidennya, Tiong Lai dilantik Timbalan Presiden, bagaimanapun selepas itu Soi Lek disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih memegang jawatan tersebut.

Pada hujung tahun lalu Tiong Lai dan beberapa ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang menyokongnya meletak jawatan diikuti tindakan sama oleh Soi Lek serta tujuh ahli CC yang menyokongnya berkuat kuasa 4 Mac lalu bagi membolehkan pemilihan baru parti diadakan bagi menyelesaikan kemelut itu.

Berikutan itu, Tee Keat mengumumkan akan mempertahankan jawatan presiden manakala lapan bahagian MCA Johor mencalonkan Ka Ting untuk jawatan itu.












Pemuda MCA hormati pendirian bekas presiden

KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyambut baik kesediaan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding merebut kembali jawatan presiden parti itu pada pemilihan baru 28 Mac ini.

Beliau menghormati keputusan bekas Presiden MCA tersebut memandangkan pemimpin itu mempunyai hak untuk berbuat demikian untuk menyelesaikan kemelut dan krisis dalaman parti.

"Saya menghormati pendirian itu, beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian. Segalanya terpulang kepada perwakilan untuk menentukan pemimpin terbaik bagi menerajui parti ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Ka Ting untuk menerajui parti itu pada pemilihan barunya hujung bulan ini. Tindakannya itu mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ka Ting dilaporkan menerima banyak permintaan daripada perwakilan, veteran dan ahli MCA menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan telefon supaya muncul semula dan bertanding merebut jawatan nombor satu itu.

Tambah Ka Siong, pemilihan kali ini merupakan antara peristiwa terpenting yang bakal dilalui oleh MCA, ia juga ujian terbesar kepada perwakilan untuk mengembalikan kredibiliti parti.









Pemuda MCA hormati pendirian bekas presiden

KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyambut baik kesediaan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding merebut kembali jawatan presiden parti itu pada pemilihan baru 28 Mac ini.

Beliau menghormati keputusan bekas Presiden MCA tersebut memandangkan pemimpin itu mempunyai hak untuk berbuat demikian untuk menyelesaikan kemelut dan krisis dalaman parti.

"Saya menghormati pendirian itu, beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian. Segalanya terpulang kepada perwakilan untuk menentukan pemimpin terbaik bagi menerajui parti ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Ka Ting untuk menerajui parti itu pada pemilihan barunya hujung bulan ini. Tindakannya itu mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ka Ting dilaporkan menerima banyak permintaan daripada perwakilan, veteran dan ahli MCA menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan telefon supaya muncul semula dan bertanding merebut jawatan nombor satu itu.

Tambah Ka Siong, pemilihan kali ini merupakan antara peristiwa terpenting yang bakal dilalui oleh MCA, ia juga ujian terbesar kepada perwakilan untuk mengembalikan kredibiliti parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan